Menurut anda, apakah yang membuatkan seseorang itu kelihatan menarik? Sudah tentunya penampilan dan cara bergaya. Namun, kedua-dua ciri-ciri ini boleh dibuat-buat oleh sesiapa sahaja, dan bukanlah penentu sebenar betapa menariknya seseorang itu.
Apa yang lebih penting dan memuktamadkan seseorang itu sebagai menarik tertanam dalam perwatakan individu. Tidak seperti penampilan dan gaya seseorang, cara perwatakan sukar untuk dipura-purakan dan lebih menunjukkan siapa diri seseorang itu yang sebenar. iluminasi.com ingin kongsikan 8 perkara yang boleh membuatkan anda kelihatan tidak menarik.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Bersikap kejam
Tak ada siapa pun yang suka mereka yang berperwatakan kurang sopan atau kejam. Ia membuatkan seseorang itu kelihatan sangat tidak menarik.
Dalam satu kajian di China pada tahun 2014, para penyelidik mengarahkan kedua-dua peserta lelaki dan wanita untuk melihat gambar-gambar orang lain yang mana semuanya memberikan ekspresi wajah neutral.
Sesetengah daripada gambar tersebut disertai dengan perkataan Cina yang bermaksud "baik" dan "jujur", sebahagiannya disertai dengan perkataan Cina yang bermaksud "jahat" dan "kejam", dan ada gambar-gambar yang tidak disertakan apa-apa maklumat.
Hasilnya, peserta menilai mereka yang digambarkan sebagai jahat dan kejam sebagai yang paling tidak menarik.
2. Gaya badan kontraktif
Jika anda pernah mendengar tentang "power pose", pasti anda tahu bahawa membuka dan mengembangkan bentuk badan anda memberikan anda lebih keyakinan manakala melengkungkan badan anda ke dalam membuatkan anda berasa sebaliknya.
Bahasa badan kontraktif juga membuatkan anda kelihatan kurang menarik, menurut kajian pada tahun 2016. Dan dalam kajian yang lain, penyelidik menghasilkan profil untuk lelaki dan wanita menggunakan aplikasi dating berasaskan GPS. Dalam satu set profil, gambar lelaki dan wanita dalam kedudukan kontraktif digunakan, sebagai contoh dengan menyilangkan tangan antara satu sama lain atau posisi di mana bahu masuk ke dalam.
Dalam set profil yang lain, lelaki dan wanita yang sama berada dalam kedudukan badan yang lebih terbuka. Hasil menunjukkan individu yang postur badan terbuka lebih dipilih berbanding dengan postur kontraktif.
3. Tertekan
Apabila anda tertekan, anda biasanya tidak lagi mengendakan penampilan atau perasaan orang sekeliling yang sudah pastinya membuatkan anda kelihatan tidak menarik. Satu kajian pada tahun 2013 mendapati bahawa wanita dengan tahap hormon tekanan iaitu hormon kortisol yang tinggi dilihatkan sebagai tidak menarik oleh lelaki.
Penyelidik mengatakan bahasa ia berkemungkinan kerana tahap hormon kortisol menunjukkan kesihatan dan kesuburan seseorang.
4. Kelihatan terlalu gembira atau terlalu bangga
Walaupun kegembiraan pada umumnya menarik apabila diperlihatkan oleh wanita, namun mereka tidak suka lelaki yang terlalu tersenyum. Sebaliknya, walaupun kebanggaan biasanya menarik pada lelaki, namun lelaki pula tidak suka gadis yang kelihatan terlalu bangga.
Kajian yang dijalankan pada tahun 2011 ke atas lebih 1,000 orang dilakukan dengan menunjukkan gambar-gambar berlainan jantina dan ditanyakan sama ada individu dalam gambar tersebut menarik atau tidak.
Hasil keputusan menunjukkan bahawa lelaki menilai wanita paling menarik apabila mereka kelihatan gembira dan kurang menarik apabila mereka menunjukkan kebanggan. Bagi wanita pula, lelaki yang menarik bagi mereka adalah lelaki yang menunjukkan rasa bangga dan mereka yang kelihatan gembira, dilihatkan sebagai kurang menarik.
Mungkin kebanggan ini dianggap sebagai macho dan cool.
5. Tidak kelakar
Memang tak dapat dinafikan mereka yang mempunyai sifat lucu atau sense of humor lebih menarik dan mudah untuk didekati. Kajian pada tahun 2009 mendapati bahawa mereka yang tidak kelakar langsung, atau sedikit kelakar adalah kurang menarik, berbanding mereka yang kelakar.
Kajian ini juga mendapati bahawa jantina tidak memainkan peranan dalam situasi ini, iaitu mereka yang tidak kelakar adalah tidak menarik tak kira sama ada lelaki atau wanita.
Cuba lihat Zizan Razak, Johan atau Nabil. Mereka ini kelihatan sangat menarik disebabkan oleh personaliti yang lucu dan kelakar.
6. Malas
Walaupun anda kacak dan bergaya, tetapi jika anda seorang yang pemalas, anda tetap akan kelihatan tidak menarik di mata orang lain. Satu siri eksperimen yang yang terbitkan pada tahun 2004 mendapati bahawa daya tarikan yang ditakrifkan dan dilihat oleh individu adalah bergantung pada sifat-sifat seperti rajin dan suka menolong.
Dalam satu eksperimen, penyelidik meminta pelajar untuk dalam kursus arkeologi untuk menilai satu sama lain berdasarkan ciri keperibadian yang berbeza serta daya tarikan di awal dan akhir kursus.
Apabila keputusan dianalisa, para penyelidik mendapati bahawa terdapat pelajar yang dinilai sebagai sederhana menarik pada awal kursus namun dinilaikan sebagai tidak menarik pada akhir kursus, disebabkan mereka menunjukkan sikap malas.
7. Tidak jujur
Jika anda cuba untuk menipu mengenai umur anda untuk kelihatan lebih muda atau "hot", anda perlu fikir banyak kali. Lebih baik jangan. Ini kerana kajian menunjukkan bahawa ketidakjujuran adalah perkara yang paling pantang sekali tak kira bagi mana-mana jantina.
Dalam kajian pada tahun 2006, peserta membaca teks berkenaan lelaki dan wanita yang digambarkan sebagai sama ada pintar atau tidak, berdikari atau tidak dan jujur atau tidak.
Mereka kemudiannya diminta untuk memberikan penilaian tentang beberapa perkara termasuklah betapa mereka sukakan individu tersebut dan sama ada menarik atau tidak.
Hasilnya, seperti yang anda jangkakan, kejujuran adalah satu-satunya sifat dari ketiga-tiga ini yang memberikan kesan yang sangat besar terhadap daya tarikan dan rasa suka terhadap seseorang.
8. Kurang tidur
Kurang tidur mungkin bukanlah satu perwatakan, namun sesiapa sahaja akan kelihatan tidak menarik apabila kekurangan tidur.
Sebuah kajian telah dijalankan pada tahun 2010 di mana para penyelidik mengambil gambar mereka yang tidur sekurang-kurangnya 8 jam pada malam sebelum dan gambar mereka yang tidak tidur dalam tempoh 31 jam.
Bukan sahaja mereka yang kekurangan tidur kelihatan sangat letih, yang mana sudah jelas sekali, tetapi mereka juga dilihatkan sebagai tidak menarik, kurang sihat dan sedih.
Rujukan:
1. BMJ
3. PNAS