Apabila pembunuh bersiri disabitkan dengan jenayah yang dahsyat, kita sering mengharapkan mereka menghabiskan sisa hidup di penjara atau dihukum mati. Namun, ada keputusan mahkamah yang menimbulkan kemarahan orang awam.

Pembunuh bersiri dalam senarai ini telah melakukan jenayah berat di luar imaginasi manusia tetapi telah dibebaskan dan kembali bersama masyarakat. Lebih mengejutkan, sebilangan pembunuh bersiri ini melakukan semula jenayah mereka. Berikut adalah senarai pembunuh bersiri yang dibebaskan awal dari penjara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

8. Karla Homolka

karla homolka

Karla Homolka dan suaminya Paul Bernardo telah merogol dan membunuh sekurang-kurangnya tiga wanita pada awal tahun 90-an. Lebih menyedihkan, salah seorang mangsa merupakan adik kandung Homolka berusia 15 tahun yang ditawarkan kepada Bernardo sebagai 'hadiah'.

Apabila Bernardo diberkas pada tahun 1993, Homolka mendakwa bahawa dia terpaksa mengikut perintah suaminya kerana takut dibunuh jika ingkar. Dia hanya dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun sahaja kerana bekerjasama memberi keterangan terhadap suaminya.

Namun, rakaman video penyiasatan jelas membuktikan Homolka lebih daripada sekadar dipaksa. Dia dibebaskan pada 2007 dan berpindah ke Quebec dengan menggunakan nama baru. Perkara ini menimbulkan kemarahan ibu bapa di sebuah sekolah di Montreal di mana Homolka sering menjadi sukarelawan di situ.

7. Dewi Kematian Lainz

dewi kematian lainz

Dari kiri : Irene Leidolf, Waltraud Wagner, Stephanija Meyer dan Maria Gruber

Empat orang jururawat Austria iaitu Waltraud Wagner, Maria Gruber, Irene Leidolf dan Stephanija Meyer dikenali sebagai "Dewi Kematian Lainz" setelah membunuh 49 pesakit antara 1983 hingga 1989 di Hospital Besar Lainz.

Wagner yang bekerja di unit rawatan khas telah menyuntik pesakit dengan dos morfin yang membawa maut. Dia merekrut tiga jururawat lain yang turut membunuh menggunakan morfin, insulin dan ubat penenang.

Pada Februari 1989, seorang doktor membuat laporan polis setelah terdengar jururawat-jururawat ini membincangkan pembunuhan terbaru mereka di bar. Kesemua mereka ditangkap dan mengaku bersalah. Meyer dan Gruber menerima hukuman yang lebih ringan dan dibebaskan beberapa tahun kemudian manakala Wagner dan Leidolf dibebaskan pada tahun 2008 dan telah menukar nama mereka.

6. Charlene Gallego

charlene dan suaminya gerald

Charlene Gallego dan suaminya, Gerald Gallego, menggemparkan Sacramento, California pada akhir 70-an apabila menculik 10 mangsa yang dijadikan hamba seks sebelum dibunuh. Pasangan yang mempunyai fantasi seks ganas itu menculik gadis-gadis muda di sekitar pusat membeli belah.

Pada 1984, Charlene mengaku bersalah dan menerima hukuman penjara 16 tahun. Charlene yang dibebaskan lebih awal pada 1997 telah berpindah dan menukar namanya sementara Gerald pula mati akibat kanser ketika sedang menunggu hukuman mati.

5. Nikolai Dzhumagaliev

nikolai dzhumagaliev

Pada 1979, Nikolai Dzhumagaliev telah menculik seorang wanita di Kazakhstan sebelum mengelar leher dan meminum darah mangsa. Pada tahun yang sama juga, dia ditangkap kerana menembak rakan sekerjanya sehingga mati setelah bergaduh ketika mabuk.

Dia didiagnosis menderita skizofrenia dan amat mengejutkan apabila dibebaskan setahun kemudian. Pihak berkuasa tidak tahu bahawa Dzhumagaliev sebenarnya telah membunuh sebanyak 10 orang dan sering menghidangkan daging mangsanya kepada tetamu yang diundangnya.

Pada 1980, dia mengundang beberapa rakan ke rumahnya di mana dia membunuh salah seorang daripada mereka. Tetamu lain berlari ketakutan dan membuat laporan polis. Ketika polis tiba, mereka menemui Dzhumagaliev di bilik berasingan sedang memotong mangsanya. Dia akhirnya dihantar ke pusat mental kawalan tinggi di Uzbekistan. Dia berjaya melarikan diri pada tahun 1989 tetapi diberkas semula dua tahun kemudian.

4. Juha Valjakkala

juha valjakkala

Pada tahun 1988, Juha Valjakkala dan teman wanitanya Marita Routalammi telah mencuri sebuah basikal di Amsele, Sweden. Pemilik basikal, Sten Nilsson dan anaknya berusia 15 tahun telah mengejar pasangan itu sehingga berjaya mengepung mereka di sebuah tapak perkuburan.

Valjakkala kemudian mengeluarkan senapang patah dan menembak mati kedua-dua bapa dan anak itu. Apabila isteri Nilsson keluar mencari anak dan suaminya di kawasan perkuburan itu, Valjakkala telah mengelar leher wanita malang itu. Mereka kemudian melarikan diri tetapi ditangkap di Odense, Denmark, seminggu kemudian.

Penilaian psikiatri mendapati Valjakkala adalah seorang psikopat dan mempunyai kecenderungan bertindak agresif. Dia dijatuhkan penjara seumur hidup sementara kekasihnya hanya dua tahun kerana bersubahat. Valjakkala dibebaskan lebih awal pada 2009 dan menukar namanya kepada Nikita Bergenstrom.

3. Arnfinn Nesset

arnfinn nesset

Pada tahun 1981, Arnfinn Nesset yang merupakan ketua jururawat sebuah rumah jagaan orang tua di Norway telah disoal siasat polis akibat kematian mencurigakan penghuni di situ. Nesset mengaku bahawa dia membunuh 27 penghuni dengan menyuntik mereka dengan ubat penenang suxamethonium chloride.

Nesset kemudian menukar pengakuannya di mahkamah dengan mendakwa dia di bawah tekanan ketika disoal siasat polis. Setelah dibicarakan, Nesset disabitkan dengan 22 pembunuhan. Namun, jumlah sebenar mangsa kekejaman Nesset dianggarkan sehingga 132 orang.

Nesset dijatuhkan hukuman penjara selama 21 tahun (hukuman maksimum di Norway) tetapi dibebaskan selepas 12 tahun kerana berkelakuan baik. Dia telah menukar namanya dan tinggal di lokasi yang tidak diketahui.

2. Somkid Pumpuang

somkid pumpuang

Somkid Pumpuang mendapat julukan sebagai "Jack the Ripper Thailand" kerana membunuh lima wanita di mana semua mangsanya merupakan pekerja kelab malam atau rumah urut. Pumpuang dihukum penjara seumur hidup pada 2012 tetapi dibebaskan lebih awal pada Mei 2019 kerana dianggap sebagai "banduan contoh".

Hanya tujuh bulan selepas dibebaskan, dia membunuh mangsa keenamnya iaitu Rasamee Mulichand. Pumpuang telah menyamar sebagai seorang peguam dan berkenalan dengan Mulichand melalui Facebook sebelum berpindah ke rumah wanita itu.

Mulichand memberitahu anak perempuan dan jirannya bahawa dia akan bernikah dengan Pumpuang pada 15 Disember 2019, tarikh yang sama dia dibunuh. Pumpuang akhirnya ditangkap apabila dua pelajar mengecamnya dalam sebuah kereta api di daerah Nong Sarai. Pumpuang mungkin akan menghabiskan sisa hidupnya di penjara.

1. Pedro Lopez

pedro lopez

Kali pertama lelaki yang dikenali sebagai "Monster of the Andes" dihukum penjara adalah kerana mencuri kenderaan. Lopez mendakwa diserang secara seksual ketika dalam penjara dan apabila mempunyai peluang, dia membunuh banduan yang pernah menyakitinya.

Setelah dibebaskan, Lopez mula menculik dan membunuh gadis muda di Peru. Dia ditangkap pada 1978 oleh masyarakat asli Ayachucos yang merancang untuk membunuhnya tetapi dipujuk oleh seorang mubaligh Kristian untuk menyerahkan Lopez kepada pihak berkuasa. Lopez mendakwa telah membunuh lebih daripada 100 orang gadis tetapi pihak polis sukar mempercayainya dan membebaskan lelaki itu tidak lama kemudian.

Lopez berpindah ke Ecuador di mana dia mendakwa membunuh kira-kira tiga gadis dalam seminggu. Pada tahun 1980, Lopez ditahan oleh para peniaga di pasar apabila cubaannya menculik seorang gadis gagal. Dia mengaku membunuh lebih 300 orang gadis tetapi pihak polis masih meraguinya sehinggalah satu kejadian banjir lumpur secara tidak sengaja mendedahkan lokasi kubur besar mangsanya.

Lopez disabitkan kesalahan atas 110 pembunuhan dan dihukum penjara seumur hidup pada 1981 tetapi dibebaskan pada 1994 kerana berkelakuan baik. Dia ditangkap semula pada 1997 atas tuduhan membunuh seorang gadis tetapi ditahan di hospital mental di Bogota kerana disahkan tidak waras. 

Pada 1998, dia disahkan waras dan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak USD 50 sahaja. Pada 2002, pihak berkuasa Colombia telah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya atas kes bunuh terbaru tetapi Lopez tidak dapat ditemui sehingga hari ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)