Penghasilan jam tangan telah bermula dari abad ke-16 lagi. Setelah ratusan tahun, reka bentuk, ciri dan prinsip menghasilkan jam tangan telah banyak berkembang dari masa ke masa.

Jam tangan mekanikal yang begitu mahal di pasaran pada hari ini bukan hanya sekadar memberitahu masa. Ia juga merupakan barang perhiasan mewah yang dibeli oleh orang kaya sebagai pelaburan dan hobi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apakah yang membuatkan sesetengah jam tangan ini begitu mahal? Sebenarnya, terdapat beberapa faktor penting hang mempengaruhi harga sesebuah jam tangan itu seperti:

  • Kejuruteraan rumit dalam saiz yang begitu kecil
  • Penggunaan perhiasan mahal seperti berlian, emas atau meteorit.
  • Koleksi unik yang pernah dimiliki oleh orang ternama yang sudah lama meninggal dunia.

Dalam artikel ini, kami akan menyenaraikan beberapa jenama jam tangan yang paling ekslusif dan termahal dunia. Hasil pertukangan yang hampir sempurna dan kehalusan yang tidak dapat ditandingi telah menjadikan jenama mereka berbeza berbanding jenama-jenama lain.

7. Omega (Switzerland) : RM 20,000 - RM 7.5 Juta 

omega

Model terkenal : Speedmaster, Bullhead, Planet Ocean dan Skywalker X-33

Syarikat Omega telah bertukar nama sebanyak tiga kali sejak tahun 1848. Kebanyakan rekaan jam tangan Omega pada hari ini berbentuk moden tetapi masih mengekalkan ciri-ciri klasik.

Jam tangan Omega termahal yang pernah dijual adalah keluaran 1960 milik Elvis Presley. Jam itu mendapat bidaan sebanyak RM 7.5 juta dalam lelongan yang diadakan di Geneva pada 2018.

Satu lagi model iaitu Omega Stainless Steel Tourbillion 201 pula dijual pada harga RM 5.9 juta pada lelongan Geneva 2017.

Model Speedmaster Professional Chronograph merupakan jam tangan pertama yang dipakai angkasawan (Buzz Aldrin) di Bulan ketika misi Apollo 11 NASA.

6. Jaeger-LeCoultre (Switzerland) : RM 29,000 - RM 10.4 juta

hybris mechanica a grande sonnerie

Model Hybris Mechanica a Grande Sonnerie

Model terkenal : Reverso, Joaillerie 101, Duoplan dan Atmos

Selama hampir 200 tahun beroperasi, Jaeger-LeCoultre telah mendaftarkan sebanyak 400 paten jam dan menghasilkan ratusan penemuan baru dalam dunia jam. Syarikat ini kini dimiliki oleh kumpulan mewah dari Switzerland iaitu Richemont. 

Salah satu model mereka yang paling rumit adalah Hybris Mechanica a Grande Sonnerie yang mempunyai 26 komplikasi. Hanya 30 unit sahaja model ini dihasilkan dan ia dijual pada harga RM 10 juta.

Syarikat ini juga menghasilkan pergerakan mekanikal terkecil dunia iaitu model Caliber 101 di mana 98 kompunen asalnya hanya seberat kira-kira 1 gram.

Pada tahun 1953, Ratu Elizabeth II memakai salah satu jam tangan jenama Jaeger-LeCoultre ketika ditabal menjadi Ratu United Kingdom.

5. A. Lange & Söhne (Jerman) : RM 45,000 - RM 10.8 juta

bahagian belakang jam model grand compilation

Bahagian belakang jam tangan model Grand Complication

Model terkenal : Lange 1, Lange 1815, Zeitwerk dan Grand Complication

Jenama A. Lange & Söhne ini boleh didapati di cawangan kedai mereka yang berada di lebih 70 buah negara di seluruh dunia. Namun, hanya beberapa ribu unit sahaja jam tangan jenama ini dihasilkan setiap tahun. Hampir semua reka bentuk jam tangan jenama ini mempunyai reka bentuk unik gaya klasik Inggeris.

Dalam lelongan Geneva 2018, satu jam tangan model 1815 Homage to Walter Lange dijual pada harga RM 3.54 juta. Ia merupakan model pertama tahun 1815 yang dihasilkan sendiri oleh pengasas jemana itu, Ferdinand Adolph Lange.

Pada 2013, syarikat itu melancarkan model baru iaitu Grand Complication, salah satu jam tangan paling kompleks pada era ini. Hanya enam unit sahaja dihasilkan dan dijual pada harga RM 10.8 juta setiap satu.

4. Breguet (Switzerland) : RM 41,000 - RM 28.2 juta

breguet

Model terkenal : Breguet & Fils, Paris dan Sympathique Clock

Breguet merupakan salah satu jenama tertua yang menjadi pelopor beberapa teknologi pembuatan jam tangan. Jenama ini dihasilkan oleh Abraham Breguet pada tahun 1801.

Jenama yang dikenali dengan jarum jam berwarna biru ini juga sebenarnya menghasilkan beberapa lagi produk seperti barang perhiasan wanita, cufflink dan alat tulis mewah.

Dalam salah satu lelongan di Geneva pada 2016, salah satu jam saku Breguet (model Breguet & Fils No.217) dijual dengan harga RM 13.7 juta. Model paling mahal pernah dijual ialah Sympathique Clock No.128 & 5009 pada harga RM 28 juta.

3. Vacheron Constantin (Switzerland) : RM 62,000 - RM 45.7 juta

vacheron constantin reference 57260

Jam saku Vacheron Constantin Reference 57260

Model terkenal : Reference 57260, Kallista, and Tour de I’lle

Vacheron Constantin ditubuhkan pada tahun 1755 dan sejak tahun 1992, ia telah menjadi sebahagian daripada Swiss Richemont Group. Syarikat ini mempunyai 15 butik dan lebih 500 kedai di 80 buah negara.

Dalam lelongan Genevaa Antiquorum 2005, jam saku Vacheron Constantin Ref. 402833 yang pernah dimiliki oleh Raja Fuad I dari Mesir telah dijual dengan harga RM 11.5 juta.

Pada 2015, jenama ini melancarkan model Reference 57260 yang merupakan jam mekanikal paling rumit pernah dihasilkan. Ia menampilkan 57 komplikasi berdasarkan fungsi dan mengambil masa selama 8 tahun untuk disiapkan. 

2. Rolex (Switzerland) : RM 83,000 - RM 73.7 juta

rolex daytona

Salah satu model Rolex Daytona

Model terkenal : Rolex Daytona, Rolex GMT Master II Ice dan Sky-Dweller Oystersteel

Rolex merupakan pengeluar jam kronometer terbesar dari Switzerland. Pada tahun 2019, mereka menghasilkan lebih daripada 800,000 jam tangan dengan jumlah pendapatan sebanyak RM 21.6 bilion. Pada tahun 2020, Forbes menamakan Rolex sebagai jenama ke-8 paling berharga di dunia.

Rolex juga menghasilkan jam tangan khusus yang sesuai untuk aktiviti tertentu seperti penerbangan, pendakian gunung dan selaman laut dalam. Sebagai contoh, model Sea-Dweller yang dihasilkan pada 1967 mempunyai injap pelepasan helium bagi menyingkirkan gas itu yang terbina semasa sesi penyahmampatan.

Koleksi jam tangan pelakon vateran Hollywood, Paul Newman, iaitu Rolex Daytona merupakan jam tangan kedua termahal dunia. Ia dijual dalam satu lelongan di New York pada harga RM 73 juta.

1. Patek Philippe (Switzerland) : RM 83,000 - RM 129 juta

patek philippe grandmaster chime ref 6300a 010

Patek Philippe Grandmaster Chime Ref. 6300A-010

Model terkenal : Patek Philippe Ref. 1518, Star Calibre 2000 dan Henry Graves Supercomplication

Diasaskan pada tahun 1839, Patek Phillippe merupakan jenama jam tangan paling mewah di dunia. Mereka mempunyai lebih 400 lokasi runcit di seluruh dunia. Dikatakan, keunikan sebenar jam jenama ini terletak pada pergerakannya. 

Sama ada moden atau klasik, nilai penjualan semula Patek Philippe mengatasi semua jenama lain. Sehingga kini, tujuh daripada 10 jam tangan paling mahal yang pernah dilelong adalah daripada jenama Patek Philippe.

Pada lelongan Sotheby pada 2014, model Henry Graves Supercomplication dijual pada harga RM 99.6 juta. Pada lelongan Christie di Geneva pada 2019 pula, model Grandmaster Chime Ref. 6300A-010 dijual pada harga RM 129 juta dan memegang rekod sebagai jam tangan paling mahal dijual.




Hakcipta iluminasi.com (2017)