Bola sepak telah lama menjadi "motivasi" bagi ramai lelaki yang kurang bernasib baik untuk memperbaiki keadaan kewangan mereka. Walaupun ramai individu bermain bola sepak atas minat yang tinggi semata-mata, bermain bola sepak secara professional telah membantu ramai individu keluar daripada perangkap kemiskinan.

Ramai orang mahu menjadi pemain bola sepak ternama, namun tidak ramai yang berjaya merealisasikannya. Bagi seorang pemain bola sepak, tempoh karier mereka sebenarnya cukup pendek. Seseorang pemain bola yang sudah berumur 30 tahun dianggap sudah cukup tua dan biasanya akan bersara ketika berumur 33 - 35 tahun.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, tempoh karier yang pendek ini sebenarnya sudah cukup bagi seorang pemain profesional untuk mengumpul begitu banyak kekayaan yang tidak pernah diimpikannya. Kali ini, kami ingin berkongsi 7 individu yang berjaya keluar dari perangkap kemiskinan dengan bermain bola sepak profesional.

1. Cristiano Ronaldo

cristiano ronaldo 35

Siapa yang tidak kenal dengan nama lelaki ini? Malah, para wanita yang tidak pernah meminati bola sepak juga pasti pernah mendengar namanya. Cristiano Ronaldo hanyalah seorang budak lelaki dari Madeira. Beliau pernah berkongsi kisah tentang masa kecilnya yang sederhana tanpa mainan dan hadiah Krismas, malah terpaksa berkongsi bilik dengan tiga orang adik-beradiknya. 

Segalanya berubah apabila beliau dibawa masuk ke Manchester United pada tahun 2003 yang terus melonjakkan namanya. Permulaan yang penuh sederhana, beliau adalah contoh individu yang bekerja keras untuk berjaya dalam karier bola sepak dan bukannya berharap kepada bakat semulajadi semata-mata.

Menariknya, beliau sendiri mengakui bahawa satu ketika dulu, beliau menganggap dirinya tidak cukup baik untuk bermain bola sepak dan hanya akan mampu bermain sehingga ke taraf separa profesional.

2. Adriano

adriano

Adriano adalah bekas pemain bola sepak profesional Brazil. Penyerang kuat yang terkenal dengan serangan jarak jauh dengan kaki kiri, karier Adriano bagaimanapun dibelenggu oleh kurangnya konsistensi dalam permainannya.

Sebelum Adriano bermain bola untuk kelab-kelab ternama seperti seperti Parma dan Inter, beliau adalah anak muda yang terjebak dalam kemiskinan di bandar Rio de Janeiro tetapi mempunyai impian untuk memiliki kehidupan yang lebih baik dan peluang untuk membeli ibunya sebuah rumah besar.

Sejak kecil, Adriano sememangnya telah bekerja keras bermain bola sepak di kampung halamannya di Vila Cruzeira - di mana pengedar dadah terkenal membunuh seorang wartawan TV Globo, Tim Lopes, pada tahun 2002 - menandatangani kontrak dengan Flamengo dan dipanggil ke Itali sebelum ulang tahunnya yang ke-20.

3. Robinho

robinho 398

Robson de Souza, lahir 25 Januari 1984 dan lebih dikenali sebagai Robinho adalah pemain bola sepak profesional Brazil yang bermain di posisi penyerang. Masa kecil Robinho dihabiskan untuk mengasah kemahirannya di jalan-jalan di Sao Vicente, tidak jauh dari kota yang menjadi salah satu kelab bola sepak paling terkenal di Brazil. 

Pemain lagenda Brazil Pele sendiri yang membawa masuk Robinho untuk memulakan kariernya bersama kelab Santos. Namun, kejayaan Robinho di Santos menarik perhatian penjenayah yang menculik ibunya 45 batu di luar Sao Paulo dan hanya membebaskannya setelah wang tebusan dibayar.

Kariernya walau bagaimanapun berakhir dengan tragis apabila pada 23 November 2017, sebuah mahkamah di Itali menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun kepada Robinho setelah dia dan lima lelaki lain disabitkan dengan kesalahan seksual terhadap seorang wanita sebuah kelab malam di Milan pada Januari 2013.

4. Yaya Toure

yaya toure

Yaya Toure hanya memperolehi but bola sepak pertamanya pada usia 10 tahun setelah bertahun-tahun bermain bola tanpa kasut di jalan-jalan di Cote d'Ivoire bandar tempatnya membesar. "Kasut sangat mahal," kata Toure kepada pihak The Guardian pada tahun 2011. 

Beliau hanya mempunyai zaman kanak-kanak Afrika yang normal. Hidupnya ketika kecil penuh dengan kesukaran, tetapi perjuangan ini menjadikannya motivasi untuk terus berusaha sehingga dewasa. Beliau jelas tidak membazirkan peluangnya ketika mereka datang.

Beliau menggunakan karier peringkat remajanya yang terkenal di ASEC Mimosas sebagai batu loncatan ke Eropah di mana beliau terus mencipta nama dengan kelab-kelab besar di Ukraine, Greece, Perancis, Sepanyol dan Inggeris. 

5. Luis Suarez

luis suarez

Luis Alberto Suárez Díaz, lahir 24 Januari 1987 adalah pemain bola sepak profesional Uruguay yang bermain sebagai penyerang untuk kelab Sepanyol Atlético Madrid. Beliau boleh dianggap sebagai salah seorang pemain penyerang terbaik dalam generasinya.

Lahir di Montevideo, Luis Suarez menghabiskan tahun-tahun pertama hidupnya di Salto, bermain bola sepak tanpa kasut di jalanan. Tidak sampai usianya 7 tahun, didorong oleh pengangguran ayahnya, bekas  penyerang Liverpool itu berpindah bersama enam adik beradiknya ke ibu kota Uruguay. 

Kerana kemiskinan, keluarga Suarez tidak dapat memberikannya kasut untuk bermain bola. Ayahnya pula meninggalkan keluarga mereka ketika beliau berusia 12 tahun. Tetapi Suarez telah mengakui keperitan yang dia hadapi sebagai anak muda telah mendorong keinginannya untuk berjaya dalam bola sepak.

6. Zlatan Ibrahimovic

zlatan ibrahimovic

Zlatan Ibrahimovic dibesarkan di pekan Rosengard di Malmo, tempat yang lebih terkenal kerana kerana anak-anak mudanya yang banyak melakukan jenayah daripada melahirkan seorang pemain bola sepak yang cemerlang sepertinya.

Ayahnya yang berasal Bosnia merupakan seorang pemabuk dan ibu bapanya berpisah ketika beliau berusia 2 tahun. Zlatan Ibrahimovic ketika mudanya sudah terbiasa mencuri apa yang dia perlukan - kadang-kadang mencuri basikal untuk pergi ke padang latihan. Beliau berjaya mengembangkan kemahiran teknikalnya dengan bermain bola sepak jalanan di lapangan di Rosengard bersama rakan-rakan.

Menariknya, beliau sendiri tidak mengetahui bahawa beliau mempunyai potensi bermain bola sepak ke tahap professional sehinggalah beliau berusia 18 tahun. Ternyata, beliau sememangnya seorang pemain bola sepak yang digeruni oleh lawannya.

7. Luka Modric

luka modric

Hanya dengan melihat Luka Modric yang sering tersenyum, seseorang pasti tidak tahu akan kesakitan yang pernah dirasakan oleh pemain bintang Croatia dan Real Madrid ini pernah hidup di zon peperangan. Luka Modric baru berusia 5 tahun ketika Perang Kemerdekaan Croatia meletus pada tahun 1991 dan hanya beberapa bulan kemudian datuknya terbunuh secara tragis.

Beliau dahulunya terpaksa tinggal di kem pelarian berdekatan dengan kampungnya yang diduduki dan menghabiskan masa dengan menendang bola sepak di sekitar tempat letak kereta walaupun dengan keadaan persekitarannya cukup bahaya pada ketika itu.

Melarikan diri daripada balingan bom tangan adalah kejadian biasa bagi Luka Modric semasa zaman mudanya di NK Zadar. Setelah perang berakhir, beliau akhirnya berjaya membina karier bola sepak profesionalnya dengan bermain untuk kelab ternama seperti Real Madrid - walaupun pernah ditolak dari kelab yang dicintainya sejak dari zaman kanak-kanak iaitu Hajduk Split.




Hakcipta iluminasi.com (2017)