Anda mungkin sering mendengar istilah kesihatan "Insomnia" tetapi apakah maksud sebenarnya? Insomnia adalah masalah berkaitan tidur seperti sukar untuk tidur, kerap terjaga, letih selepas bangun tidur dan banyak lagi. 

Mengikut kajian, lebih daripada 30% orang dewasa pernah mengalami sekurang-kurangnya salah satu jenis insomnia. Anda mungkin mengalaminya sama ada sedar atau tidak. Kesan daripada masalah ini boleh menyebabkan anda tidak bertenaga, mood yang buruk, tidak fokus dan banyak lagi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah beberapa fakta mengenai insomnia.  

1. Lebih daripada satu jenis insomnia

Insomnia bukan sahaja kesukaran untuk lena pada permulaan tidur atau dikenali juga sebagai sleep onset insomnia. Jika anda sering terjaga dan sukar untuk tidur semula, ia dikenali sebagai sleep maintenance insomnia.

Jika anda terbangun lebih awal daripada sepatutnya dan tidak boleh tidur semula, ia dikenali sebagai early morning awakening insomnia.

gangguan tidur

Insomnia juga boleh dilabelkan dengan kekerapan ia berlaku. Insomnia kronik atau jangka panjang adalah kesukaran tidur yang berlaku lebih daripada tiga malam seminggu melebihi tempoh tiga bulan.

Jika kurang daripada itu, ia dikenali sebagai insomnia jangka pendek atau adjustment insomnia.

2. Gejala insomnia lebih dari sekadar gangguan tidur

Kesan akibat gangguan tidur yang dialami ketika terjaga juga dianggap sebagai gejala insomnia. Antara gejala insomnia yang paling biasa adalah mudah mengantuk atau letih di siang hari.

Malah, anda juga boleh mengalami gejala insomnia seperti kemurungan, kebimbangan, sukar menumpukan perhatian, sukar untuk mengingati dan cepat marah. 

Gejala ini akan meningkatkan kesilapan dan kemalangan yang mungkin berlaku. Selain itu, anda juga mungkin mempunyai kebimbangan berterusan mengenai tidur.

3. Sebahagian insomnia berpunca daripada tabiat

Minum minuman berkafein terlalu lewat, merenung telefon atau skrin ketika cuba tidur atau makan berat sebelum tidur boleh menyebabkan insomnia.

punca insomnia 837

Malah, pengambilan dadah atau alkohol untuk membantu anda mudah tidur sebenarnya adalah lebih buruk lagi. Walaupun ia mempercepatkan anda lena dan lebih lama berada dalam keadaan deep sleep tetapi ia menghalang tidur REM.

Tidur REM (rapid eye movement) ialah kitaran tidur yang merangsang bahagian penting otak yang menghasilkan dan mengekalkan ingatan.

4. Insomnia boleh membawa maut

Terdapat satu gangguan otak yang dikenali sebagai fatal familial insomnia (FFI). Ia berlaku akibat abnormaliti pada gen PRNP (protein prion) menyebabkan protein itu terlipat secara tidak betul yang terkumpul di dalam talamus dan mula mengetuk sel saraf.

Salah satu simptom utama kerosakan otak ini ialah insomnia jangka panjang yang melebihi beberapa bulan. Walaupun FFI jarang berlaku tetapi ia boleh membawa maut. Pesakit biasanya meninggal antara enam bulan hingga tiga tahun selepas FFI bermula.

5. Tidak semua dirawat dengan pil tidur

Pengambilan pil tidur boleh membantu anda tidur dengan mudah dan lena tetapi ia tidak akan membantu anda mengenal pasti apakah yang penyebab berlakunya insomnia atau menghentikannya daripada berlaku.

pil tidur

Namun, terapi tingkah laku kognitif untuk insomnia (CBT-I) boleh membantu. Terapi ini mengajar anda mengenali serta melakukan perubahan yang boleh mempengaruhi tidur anda.

Setiap orang mempunyai masalah berbeza dan ahli terapi tidur boleh merangka tindakan yang lebih khusus bagi membuatkan anda tidur dengan lebih baik.

6. Segelintir berfungsi seperti biasa walaupun mengalami insomnia kronik

Segelintir orang mampu hidup seperti biasa walaupun mengalami insomnia teruk sehingga menyebabkan mereka tidak boleh tidur sama sekali.

Pada tahun 1915, seorang tentera Hungary bernama Pauk Kern tidak boleh tidur sama sekali setelah mengalami kecederaan tembakan. Dia tidak mengalami kemerosotan kesihatan melainkan sakit kepala sekali-sekala. Sejak itu, Kern hidup tanpa tidur sehingga dia meninggal dunia pada 1955.

Perkara yang sama turut berlaku kepada sebilangan kecil orang. Mereka hidup seperti biasa walaupun tidak boleh melelapkan mata walaupun seketika.

7. Sesiapa sahaja boleh mengalami insomnia

Penyakit ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Antara tokoh terkenal dalam sejarah yang mengalami gejala ini ialah Franz Kafka, Vincent van Gogh, Abraham Lincoln, Marilyn Monroe, Margaret Thatcher dan ramai lagi.

main telefon sebelum tidur

Lebih ramai wanita mengadu mengenai gangguan tidur berbanding lelaki dan mereka yang tinggal di bandar besar mempunyai kemungkinan tinggi untuk mengalami insomnia.

Negara jiran Singapura pula adalah antara negara tertinggi di mana penduduknya mengalami masalah berkaitan tidur.




Hakcipta iluminasi.com (2017)