Sleepwalking atau berjalan dalam tidur adalah sejenis parasomnia, sekumpulan "kelakuan yang berlaku dalam tidur yang biasanya tidak dijangkakan," kata Dr Charlene Gamaldo, pengarah perubatan Johns Hopkins Center for Sleep.
Ia jatuh dalam kategori yang sama seperti bercakap dalam tidur, makan dalam tidur dan tindakan lain yang tidak dijangka semasa tidur.
BESARKAN TEKS A- A+
Malah, kita mungkin tidak tahu segalanya yang berlaku semasa kita tidur. Tetapi berdasarkan apa yang difahami oleh para pakar, berikut adalah beberapa fakta mengejutkan mengenai sleepwalking.
iluminasi.com kongsikan 6 fakta tentang sleepwalking, mengigau berjalan, atau mimpi berjalan yang ramai tak tahu.
1. Waktu berlakunya sleepwalking
Seseorang yang sleepwalk sejurus selepas tertidur mengalami tahap tidur yang sangat berbeza daripada seseorang yang melakukan perkara yang sama pada waktu malam.
Berjalan dalam tidur biasanya berlaku dalam satu pertiga malam yang pertama apabila seseorang tidur dalam keadaan bukan REM (non-REM) yang biasanya tidak mempunyai mimpi.
Adalah penting untuk membezakan bahagian malam yang mana biasanya berlaku sleepwalk ini kerana jika ia berlaku di kemudian malam iaitu ketika tidur REM, ia bukan lagi dipanggil sleepwalking.
Sebaliknya, ia dianggap sebagai gangguan tingkah laku REM (RBD), di mana seseorang itu sebenarnya sedang bertindak seperti apa yang dimimpikannya.
Walaupun sleepwalking tidaklah berbahaya, namun RBD boleh menjadi tanda pertama gangguan neurodegeneratif seperti penyakit Parkinson atau demensia badan Lewy.
2. Pelaku tidak ingat apa yang berlaku
Orang yang berjalan dalam tidur dalam keadaan tidur bukan REM biasanya tidak mengingati apa yang berlaku pada keesokan harinya. Walaupun sleepwalk yang berlaku itu sangat panjang dan rumit, mereka ini masih tidak mengingati apa-apa.
Menurut Catherine Losurdo yang mula sleepwalk sejak remaja lagi, dia berkata telah meninggalkan bilik hotelnya di tengah malam ketika bercuti di Sepanyol.
"Saya keluar daripada bilik di Barcelona dengan memakai seluar pendek dan t-shirt, berjalan semula ke hotel, bercakap dengan pekerja hotel dalam bahasa Sepanyil dan memintanya untuk menelefon bilik saya. Saya kemudiannya berjalan menaiki tangga setinggi 10 tingkat ke bilik saya dan langsung tidak mengingati apa-apa. Semua ini diberitahu oleh ibu saya pada keesokan paginya," kata Catherine Losurdo.
Apa yang menariknya adalah mereka yang mempunyai tingkah laku tidak normal ketika tidur REM biasanya akan mengingati apa yang berlaku dalam mimpi mereka dan boleh menceritakan kembali mengapa mereka bertindak pelik sedemikian.
3. Ada yang mata terbuka ketika tidur berjalan
Mereka yang berjalan dalam tidur dalam peringkat bukan REM biasanya dengan mata terbuka, walaupun mereka kelihatan seperti separa sedar.
Sangat sukar untuk mengetahui seseorang itu sleepwalking atau tidak kerana mata mereka sering kali terbuka dan bercakap dengan orang.
Bagi mereka yang bertindak mengikut mimpi dalam tidur REM biasanya dalam keadaan mata tertutup, dengan ini ia mudah untuk dikesan.
4. Jangan bangunkan mereka yang jalan dalam tidur
Anda mungkin pernah mendengar nasihat bahawa jangan membangunkan seseorang yang sedang berjalan dalam tidur. Walaupun tidak semuanya benar, namun terdapat kebenaran dalam dakwaan ini.
Ketika berjalan dalam tidur, mereka ini dalam keadaan keliru dan tidak stabil. Apabila terbangun secara tiba-tiba, mereka akan terkejut dan mungkin akan menjadi gelisah dan agresif.
Lelaki biasanya akan bertindak ganas dalam episod sleepwalking ini jika dikejutkan.
Perkara yang terbaik untuk dilakukan adalah dengan membawa mereka kembali ke katil dengan perlahan-lahan.
5. Punca dan penyebab lain mengigau berjalan
Biasanya, sleepwalking akan berlaku apabila seseorang itu terlalu letih atau terdapat sesuatu yang mengganggu sebaik sahaja sebelum tidur.
Malah, sesuatu yang menyebabkan anda terjaga dengan mudah juga boleh membawa kepada sleepwalking. Antaranya seperti persekitaran yang janggal, bilik yang tidak selesa, kekurangan tidur, penyakit, tekanan dan alkohol.
Berjalan dalam tidur juga biasanya adalah sesuatu yang genetik dan biasa dilihat berlaku dalam kalangan kanak-kanak.
6. Cara untuk cegah elak sleepwalking
Jika anda pernah mengalami sleepwalking, pastikan anda mendapatkan tidur yang cukup dan kualiti tidur yang optimal. Ini boleh dilakukan dengan mengamalkan gaya hidup dan corak tidur yang sihat.
Ini termasuklah tidur dalam bilik yang sejuk, gelap tanpa TV atau cahaya yang terang.
Elakkan daripada memakan makanan yang pedas atau berat sebelum tidur, yang boleh menyebabkan pedih ulu hati yang akan mengganggu tidur.
Juga, elakkan daripada meminum alkohol kerana walaupun ia mungkin membantu anda tidur dengan lebih cepat pada mulanya, namun ia akan mungkin akan membuatkan anda terbangun di tengah malam.
Akhir sekali, hapuskan tekanan sebanyak yang mungkin dengan melakukan aktiviti yang menyenangkan sebelum tidur.
Rujukan:
1. Huff Post
3. Board Vitals