Bukan mudah mahu menjadi ahli sukan wanita, apatah lagi yang perlu menutup aurat. Di Malaysia, ramai atlet wanita bertudung pernah dikecam netizen kerana mengenakan pakaian sedikit ketat dan dikatakan tidak patuh syariah.

Uniform sukan bagi atlet wanita Muslim sememangnya sukar didapati. Kebanyakan wanita Islam yang ingin menyertai pertandingan di seluruh dunia didapati tidak menepati syarat-syarat pakaian sukan. Hanya baru-baru dan kebelakangan ini sahaja pelbagai persatuan sukan antarabangsa mula mengalihkan perhatian mereka kepada wanita berhijab.

lia karina atlet taekwondo indonesia

Pada tahun 2012 misalnya, Persatuan Bola Tampar Antarabangsa telah mengubah syarat pematuhan pemakaian supaya membenarkan pakaian yang tidak begitu mendedahkan semasa Olimpik di London. Itupun setelah banyak negara melobi agar ia dibuat. FIFA pula hanya membenarkan wanita berhijab menyertai perlawanan bola sepak di bawah anjurannya bermula tahun 2014.

Walaupun sukar dengan pelbagai kekangan, namun masih terdapat beberapa atlet Muslimah yang meneruskan cita-cita mereka untuk mencipta nama dalam arena sukan di seluruh dunia:

#1 Ibtihaj Muhammad, pemain pedang

Atlet berusia 31 tahun yang berasal dari New Jersey, Amerika Syarikat ini telah menjadi ahli sukan Amerika pertama yang memakai hijab di Sukan Olimpik di Rio pada tahun lepas.

Ibtihaj mula bermain dengan pedang semasa usianya 13 tahun selepas minatnya disokong oleh ibu. Lagipun, beliau boleh bermain sukan ini sambil memakai pakaian yang menutup aurat. Lama-kelamaan, bakat dan semangat Ibtihaj kemudian semakin mendapat perhatian daripada banyak pihak.

Bekas Presiden US, Barack Obama pernah menyebut tentang kisah Ibtihaj semasa presiden itu memberi ucapan apabila pertama kali melawat masjid di sana. Ibtihaj juga pernah dijemput hos terkenal, Ellen Degeneres datang ke set rancangannya untuk menunjukkan skil pedang Ibtihaj.

#2 Kimia Alizadeh Zenoorin, taekwondo

Walaupun ahli sukan wanita Iran tidak boleh menyertai pertandingan stadium dalam negara itu sendiri, kerajaan Iran telah memberi kelonggaran kepada kesemua ahli sukan wanita untuk menjadi peserta Olimpik dengan syarat mereka mengenakan hijab dan tidak memakai baju lycra atau sendat.

kimia alizadeh zenoorin taekwondo atlet berhijab 495

Semasa sukan Olimpik di Rio, Kimia Alizadeh menjadi atlet wanita pertama dari Iran yang memenangi pingat dalam acara Olimpik. Ketika itu, beliau menewaskan Nikita Glasnovic dari Sweden 5-1 dalam pusingan tempat ketiga yang bertanding untuk pingat gangsa.

#3 Amaiya Zafar, ahli tinju

Amaiya merupakan seorang ahli tinju muda berusia 16 tahun yang berasal dari Minnesota, Amerika Syarikat. Apabila berada dalam gelanggang, Amaiya menyarungkan baju lengan panjang dan seluar sendat sebelum memakai uniform tinjunya.

amaiya zafar ahli tinju berhijab 2

Apabila Amaiya ingin menyertai pertandingan Tinju besar di Amerika Syarikat pada bulan September 2015, beliau tidak dibenarkan menjadi peserta kerana peraturan antarabangsa yang menyatakan ahli tinju tidak dibenarkan menutup lengan kaki.

Rentetan itu, Amaiya dan keluarganya yang diwakili Majlis Perhubungan Muslim-Amerika Syarikat (CAIR) telah mendesak agar Persatuan Tinju AS meminta kebenaran sementara daripada Persatuan Tinju Antarabangsa untuk membiarkannya memakai pakaian menutup aurat.

amaiya zafar ahli tinju berhijab

Walau bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Tinju AS berkata peraturan itu dibuat atas dasar keselamatan kesemua atlet dan berpendapat bahawa tiada sebarang pindaan akan dibuat dalam masa terdekat.

Walaupun peraturan itu masih berkuat kuasa sehingga ke hari ini, Amaiya masih tidak berputus asa. Beliau masih lagi aktif bertinjuk di gimnasium tempatan.

#4 Zahra Lari, Peluncur ais berbunga

Peluncur ais dari Emiriah Arab Bersatu ini mula berjinak-jinak dengan dunia meluncur sejak berusia 11 tahun.

zahra lari peluncur ais berhijab

Pada tahun 2012, beliau merupakan peluncur ais berbunga pertama dari wilayah Arab yang menyertai piala Eropah. Kini, Zahra sedang mempersiapkan diri untuk menyertai sukan Olimpik pada tahun hadapan. Jika beliau berjaya melepasi ujian saringan, Zahra mungkin wanita pertama dari negara padang pasir menyertai sukan olimpik musim sejuk.

#5 Amna Al-Haddad, ahli sukan angkat berat

Amna ialah atlet angkat berat dari Emiriah Arab Bersatu. Pada awal penglibatannya, Amna merupakan seorang yang gemarkan makanan sihat sehinggalah beliau menjebakkan diri dalam arena angkat berat.

amna al haddad ahli angkat berat berhijab

Pada tahun 2012, Amna menjadi wanita berhijab pertama yang menyertai acara CrossFit Asia. Pada tahun berikutnya, beliau juga menjadi Muslimah pertama yang menyertai Kejohanan Angkat Berat Arnold di Ohio.

Pada tahun 2015, Amna telah memenangi 6 pingat emas dan 3 pingat perak pada Kejohanan Antara Kelab Asia anjuran Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa di Jordan.

Nah, kini terbukti pakaian sopan dan menutup aurat bukan penghalang untuk berjaya dalam bidang sukan. 


tags : , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)