Dalam banyak-banyak produk milik Google, Google Maps merupakan antara produk yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia di seluruh dunia. Selain memudahkan pemandu untuk membuat navigasi ke sesuatu destinasi, ianya juga sangat membantu dalam kerja-kerja pemetaan seperti melihat perubahan landskap di sesuatu kawasan. Paling menarik, ianya adalah 100% percuma.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain itu, terdapat fungsi Google Street View yang membolehkan pengguna melihat jalan, bangunan dan rumah dengan lebih dekat. Kali ini iluminasi.com ingin berkongsi 5 penemuan pelik dan popular yang pernah ditemui di Google Maps.

1. Berjaya mengesan pencuri basikal daripada Google Maps

penjenayah dikesan melalui google maps

Pada tahun 2008 di Belanda, seorang lelaki berusia 14 tahun telah dipukul dan dirompak ketika menunggang basikal di kaki lima. Dalam kejadian tersebut, telefon bimbit, wang dan basikalnya telah diambil oleh 2 orang penjenayah tersebut. Beliau kemudiannya telah membuat laporan kepada pihak polis dengan harapan dapat menangkap penjenayah terbabit.

Malangnya, pihak polis tidak dapat membantu siasatan kerana bukti yang tidak mencukupi. Kira-kira 6 bulan kemudian sewaktu menggunakan Google Maps, beliau secara tidak sengaja telah ternampak gambarnya dan dibelakangnya kelihatan 2 pemuda yang berada berhampiran dengannya. Teringat akan kejadian yang menimpanya 6 bulan sebelum itu, bukti daripada Google Maps tersebut telah diserahkan kepada pihak polis agar siasatan dapat dijalankan kembali. Kedua penjenayah tersebut akhirnya berjaya ditangkap.

2. Penangkapan pengedar dadah

pengedar dadah dikesan melalui google maps

Di bandar New York, adalah kebiasaan penjual dadah akan menjual dadah secara tertutup di kaki lima. Pada tahun 2010, rakaman daripada Google Street View telah berjaya membantu pihak polis mengesan beberapa orang penjual dadah ketika mereka sedang asyik menjalankan urusan jual beli di kaki lima.

Dengan menggunakan bantuan pihak polis yang menyamar sebagai orang awam yang berpura-pura berminat untuk membeli dadah, pihak polis kemudiannya berjaya menemukan beberapa lagi penjual dadah yang lain. Bagi mengaburi mata pihak polis, penjual dadah ini biasanya meletakkan dadah yang ingin dijual kepada pembeli dalam sampul surat agar kegiatan mereka tidak dapat dihidu.

3. Ditangkap isteri kerana merokok

ditangkap isteri menghisap rokok

Kerana masalah kesihatan jantung, seorang lelaki Donald Ryding yang juga merupakan seorang pemandu teksi telah berjanji kepada isterinya bahawa beliau akan berhenti merokok. Walau bagaimanapun, isterinya mengesyaki beliau masih meneruskan tabiat buruknya itu apabila terjumpa kotak rokok dalam keretanya.

Apabila mendapat tahu mengenai fungsi Google Street View yang baru ditambah pada Google Maps pada ketika itu, wanita tersebut sengaja ingin memcubanya sebelum menjumpai sesuatu yang mengejutkan. Google Street View itu sedang memaparkan suaminya sedang menghisap rokok di hadapan rumah mereka. 

4. Kereta Google Street View telah melanggar mati seekor anjing

google car langgar mati anjing

Untuk meningkatkan ketepatan Google Street View, pihak Google akan menggunakan khidmat kereta Google Map Car yang akan ke setiap pelusuk bandar dan jalan untuk mengambil gambar dari jarak dekat. Pada 2013, ketika sedang membuat kerja pemetaan di sebuah jalan, kereta tersebut secara tidak sengaja telah melanggar seekor anjing yang sedang melintas jalan.

Lebih malang lagi, kejadian tersebut turut dirakam kamera dan dimuatkan dalam Google Street View. Kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai kes langgar lari. Tidak dapat diketahui apakah keputusan kes ini kerana pihak Google enggan memberikan sebarang  komen mengenai kejadian tersebut.

5. Penemuan bentuk pentagram di Kazakhstan

penemuan pentagram di kazakhstan

Antara penemuan pelik yang dijumpai di Google Maps adalah sebuah bulatan dan bintang berbucu lima di sebuah tanah lapang di Kazakhstan. Kawasan ini terletak kira-kira 20 kilometer daripada bandar terdekat Lisakovsk. Pada awalnya, ramai peminat konspirasi teori mengaitkan penemuan ini dengan iluminati dan pelbagai ritual pelik.

Walau bagaimanapun, kajian sejarah menunjukakkan bulatan yang berukuran diameter lebih 300 meter tersebut dipercayai merupakan simbol biasa yang digunakan oleh masyarakat zaman dahulu dari pelbagai latarbelakang budaya dan agama.

Kredit:

  1. CNet
  2. New York Post
  3. The Telegraph
  4. Business Insider
  5. Live Science



Hakcipta iluminasi.com (2017)