Oleh pada 27 Jul 2018 kategori

Boleh dikatakan majoriti antara kita membasuh pakaian setiap hari. Tak kiralah sama ada di rumah, di kedai dobi layan diri atau pun kita menghantar pakaian untuk dibasuh di dobi konvensional, pakaian adalah sesuatu yang akan kita gunakan hari ke hari.

Membasuh baju bukanlah sesuatu yang menyeronokkan walaupun ada bantuan mesin. Ini kerana proses nak menyiapkan pakaian untuk dipakai, selalunya berakhir dengan peringkat nak melipat pakaian tu. Argh! Memang renyah betul nak lipat pakaian ni apatah lagi bagi yang dah berkeluarga.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Setiap hari membasuh memang mampu mewujudkan banyak kepercayaan serta petua berkenaan teknik mencuci pakaian yang betul. Hari ini kami kongsikan dengan anda 5 mitos tentang membersihkan pakaian yang kerap kita sebut atau amalkan, tetapi sebenarnya memberi kesan kepada kualiti basuhan kita.

1. Lebih banyak sabun, lebih bersih!

sabun basuh berlebihan

Pasti ramai yang percaya dengan fahaman ini kan? Apatah lagi apabila kita gemar bau wangi yang datang bila baju kita dibasuh dengan sabun lebih. Realitinya, setiap pengguna mesin basuh perlu mengikut sukatan sabun yang betul mengikut tahap muatan pakaian.

Sabun yang berlebihan sebenarnya akan melekat pada pakaian sehingga menyebabkan cucian yang sepatutnya bersih, mempunyai sisa-sisa sabun yang tidak kelihatan. Sisa-sisa sabun ini pula mampu menyebabkan rasa tidak selesa pada kulit. Rujuk manual mesin basuh anda untuk mengetahui berapakah sukatan sabun yang betul yang kebiasaannya akan diukur bergantung kepada jumlah air yang akan digunakan.

2. Suhu panas membersihkan dengan lebih baik

basuhan baju guna air panas

Penggunaan mesin basuh layan diri menjadi sangat popular ketika ini dan salah satu opsyen yang kerap digunakan, adalah basuhan menggunakan air panas. Ini kerana air panas dikatakan memberikan kebersihan yang jauh lebih baik berbanding air pada suhu biasa. Realitinya, teknologi dalam pembangunan sabun basuhan baju serta teknologi mesin basuh sudahpun mengatasi faedah menggunakan air panas.

Sabun basuhan baju kini mempunyai enzim-enzim yang mampu membersihkan dalam keadaan air pada suhu biasa berbanding 10 ke 15 tahun dahulu, di mana sabun sukar berfungsi dengan berkesan dalam air sejuk.

3. Sabun dan peluntur boleh dicampurkan serentak

campur klorox dengan sabun

Bagi mereka yang gemar menggunakan peluntur sama ada untuk pakaian putih atau berwarna, anda perlu tahu sabun dan peluntur tidak sepatutnya diletakkan dalam masa yang sama. Ini kerana sekiranya dicampurkan serentak, enzim dalam sabun akan dirosakkan oleh peluntur yang lebih aktif sifatnya.

Sekiranya mesin basuh anda mempunyai pintu tuang peluntur sendiri, gunakan saluran itu untuk memasukkan peluntur. Sekiranya tiada, tunggu lima minit selepas pusingan bermula sebelum memasukkan peluntur ke dalam pakaian. Dengan membenarkan sabun bertindak dahulu ke atas pakaian, barulah pembersihan yang lebih baik dapat dilakukan.

4. Pakaian akan mengecut sekiranya menggunakan mesin pengering

keringkan pakaian jemur atau guna dryer

Ini salah satu tanggapan paling popular yang kerap kali disebut. Ada benarnya! Bagaimanapun, pakaian boleh mengecut sekiranya tatacara penggunaan mesin pengering tidak diikuti dengan betul. Apa yang berlaku selalunya kita menggunakan satu pusingan pengering dan mencampurkan banyak jenis pakaian serentak. Itu adalah yang menyebabkan pengecutan berlaku.

Tindakan yang perlu diambil adalah mengasingkan pakaian mengikut tatacara pengeringan dengan mesin yang betul. Setiap pakaian, berbeza tetapan suhu dan cara pengeringannya dengan mesin bergantung dengan bahannya.

Jika anda merasakan perkara itu leceh dan tidak mahu mengulangi kerja berulang kali hanya kerana keperluan pengeringan berbeza-beza, jemur saja di luar. Walaupun memakan masa, kosnya percuma. Elektrik pun tak diguna.

5. Kopi tertumpah atas pakaian? Lap dari bahagian dalam!

lap kesan tumpahan dari dalam

Kadang-kadang bila kita minum minuman seperti kopi misalnya, kopi yang tertumpah akan menyebabkan pakaian menjadi comot kerana warnanya yang gelap. Apatah lagi kalau kita gemar memakai baju berwarna cerah. Sekiranya ada tumpahan berlaku, yang penting jangan lap pada permukaan yang terkena tumpahan itu.

Sebaliknya lap pada bahagian dalam atau belakang tumpahan itu. Sekiranya anda mengelap tumpahan itu terus pada bahagian yang terkena, anda sebenarnya sedang menolak kotoran itu ke dalam fabrik pakaian. Dengan menolak dari dalam/belakang, anda menolak kotoran itu keluar daripada fabrik.




Hakcipta iluminasi.com (2017)