Oleh pada 13 Oct 2022 kategori

Perubahan kepada era teknologi yang serba moden banyak memberikan kesan kepada tingkah laku kita.

Apa yang dulu tabiat harian, kini sudah banyak diganti dengan tabiat berbeza, tanpa kita sedari atau tidak berlaku perubahannya. Tabiat yang membentuk kemahiran merupakan antara perkara yang wajib kita pelajari dan lakukan setiap hari, namun ada di antara kemahiran asas yang ada sudah tidak lagi jadi kemestian.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sedarkah anda perubahan yang telah berlaku kepada kita? Berikut adalah lima kemahiran asas yang dulu dianggap wajib, tetapi kini hanya kadangkala dilakukan sekali-sekala dalam rutin seharian kita.

1. Membaca

kemahiran membaca semakin kurang penekanan

Bagi masyarakat Muslim, 'membaca' merupakan satu perintah Tuhan.

Dengan membaca bahan-bahan berbentuk ilmiah seperti buku dan kitab, kita memperolehi ilmu yang bermanfaat - asalkan bahan yang kita baca juga jelas faedahnya.

Namun melihat generasi zaman sekarang dibiasakan dengan corak penyampaian bersifat pantas, segera, ringkas dan padat, kemahiran membaca mereka malangnya banyak dipesongkan oleh keperluan mereka untuk mendapatkan informasi atau maklumat berformat singkat.

Dalam media sosial, kita sudah biasa melihat orang ramai mengguna singkatan TLDR merujuk kepada karangan rumusan bagi memendekkan satu bentuk tulisan. Bahan-bahan ilmiah popular pula dikongsikan dalam bentuk video yang formatnya ringkas dan pendek.

Membaca adalah satu kemahiran yang perlu diasah dan dilatih. Dengan hanya membaca sajalah minda kita berjalan memikirkan bermacam jenis imaginasi yang terangsang, hasil bahan yang kita baca.

Tak sama impaknya tonton video ilmiah jika kita banding dengan baca bahan ilmiah.

2. Menulis dan melukis

kemahiran menulis kurangkan tekanan

Kemudahan teknologi mengakibatkan banyak proses yang memerlukan kita menulis dengan tangan, dilakukan dengan menaip di papan kekunci sama ada di komputer ataupun telefon pintar.

Sehinggakan ada di antara kita apabila diminta menulis, boleh rasa seolah-olah otot kita keras disebabkan lamanya kita tidak menulis sesuatu dengan pen atau pensil.

Melukis di atas kertas pun ramai yang berbakat rasa kekok disebabkan kemudahan melukis secara digital sudah mengambil alih peralatan bersifat 'tradisional' kita.

Tak dinafikan peranti yang kita guna mampu menghasilkan garis-garis tulisan dan lukisan yang cantik dan kemas, ekoran daripada kemampuan aplikasi mengubah dan mengawal garis yang kita buat dengan gerakan tangan dalam bentuk digital.

Tetapi bagi seorang yang menghargai sesuatu yang terhasil akibat kemahiran tangan sebenar, tulisan dan lukisan digital layak dikata seolah-olah menipu kerana seseorang tidak perlu benar-benar berkemahiran tinggi untuk menghasilkan bentuk huruf dan garisan yang cantik rupanya.

3. Mengingat sesuatu

buku catatan nombor telefon

Lebih kurang beberapa dekad dahulu, ramai di antara kita tak kiralah yang usia muda atau tua mampu mengingat nombor telefon penting dengan mudah.

Sebut saja nombor mak, ayah, adik-beradik dan pejabat, semuanya tersedia dalam kepala. Bagi nombor-nombor lain yang kurang kerap dihubungi, kita menyimpannya dalam buku telefon kecil dengan setiap nombor serta nama dicatat dengan tangan.

Selepas telefon mula mempunyai kemampuan memori untuk menyimpan nombor dalam angka lebih besar, lama-kelamaan kita sebagai masyarakat pun tidak lagi merasakan ada keperluan untuk mengingati nombor-nombor sebegini.

Sehinggakan ada di antara kita, nombor telefon sendiri pun tak ingat.

Begitulah juga dengan kemampuan kita mengingati perjalanan ke destinasi yang ditujui satu masa dulu. Kita perlu ingat jalan yang betul, kerana kita tahu itu adalah satu-satunya cara untuk mengelakkan kita sesat.

Sekarang semuanya kita serah kepada sistem peta navigasi yang ada dalam telefon kita. Kalau sistem navigasi kata belok, kita belok. Jalan lurus, kita lurus. Sedar-sedar dah sampai.

Minggu depan kalau nak ke tempat sama sekali lagi, terpaksalah kita guna GPS bagi memandu kita ke destinasi.

4. Berkomunikasi secara lisan

generasi muda leka dengan gajet

Pernah tak ketika duduk dalam kumpulan beramai-ramai, anda merasa resah tak memeriksa telefon anda?

Yang anehnya, bukan kita saja kerap buka tutup telefon. Kawan-kawan dan kenalan kita pun nampak seakan berhadapan tekanan serupa. Sekejap-sekejap pegang telefon. Sekejap-sekejap semak skrin, walaupun kita dikelilingi kawan-kawan kita.

Mesti ramai rasa perasaan sebegitu kan? Jika anda ada rasa sebegitu, jangan bimbang. Bukan anda saja yang merasa sebegitu rupa.

Kita makin kurang berkomunikasi secara bersemuka, kerana semakin ramai di antara kita selesa berkomunikasi secara maya dengan telefon menjadi pengantara. Tak percaya? Cuba anda ke kedai makan dan tengok.

Pasti ada kawan-kawan yang lepak beramai-ramai sambil main game, mata tak lekang dari telefon. Ada keluarga yang lebih senang duduk makan dengan setiap anggota keluarga termasuklah bayi 1 tahun ditemani peranti masing-masing.

Yang lepak sendirian pun lebih senang menyendiri ditemani dunia maya.

5. Duduk saja tak buat apa

kemahiran duduk saja tanpa buat apa

Bila kali terakhir anda duduk saja tanpa buat apa-apa?

Tak kisahlah di mana-mana pun, sama ada di rumah, pejabat, taman awam atau stesen pengangkutan awam.

Dalam hidup di mana komunikasi berlaku dengan pesat dan notifikasi masuk mengingatkan kita tentang perkara dan tugasan yang belum selesai menguruskan tanggungjawab hakiki yang ada, ramai di antara kita hilang kemampuan untuk duduk menikmati persekitaran kita tanpa buat apa-apa.

Zaman sekarang, ramai beranggapan setiap detik hidup kita perlu diisi dengan 'benda-benda bermanfaat.'

Realitinya, pendapat sebegini salah. Kita tidak perlu mensibukkan diri kita dengan bermacam perkara hanya untuk membuatkan kita rasa hidup kita seolah-olah besar maknanya. Ada ketikanya kita perlu duduk saja di satu lokasi, tak buat apa. Kosongkan fikiran, tenangkan minda.

Duduk saja dengan main telefon di tangan tak kira ya. Ini betul-betul duduk tak diganggu apa-apa. Berapa lama kita mampu bertahan agaknya?

Berapa orang di antara kita mampu duduk saja tanpa ada rasa risau terdetik di jiwa? Tak ramai rasanya. Yang mampu, anda cukup bertuah sebenarnya. Hargailah masa bersendirian anda tanpa sebarang gangguan dunia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)