Menjadi seorang pendakwah tak kiralah dalam kepercayaan mana sekalipun, mampu membawa kemahsyuran kepada seseorang; pendakwah yang hebat mempunyai pesona disebabkan kemantapan ilmunya, cara penyampaian yang menarik dan pandai memainkan isu agar mudah untuk didengari.
Namun populariti dan darjat seorang agamawan bukan saja hadir dengan penghormatan, malahan agamawan juga perlu berdepan dengan bermacam dugaan - khasnya melibatkan godaan kuasa, pengaruh dan ada kalanya wanita yang terpesona serta menyimpan perasaan.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah lima pendakwah yang mempunyai reputasi cukup tinggi tetapi tewas dengan dugaan yang paling kuat membelenggu seorang lelaki; tarikan hawa nafsu seksual.
1. Nouman Ali Khan
Kita mulakan dengan kisah paling ringan dalam senarai ini. Pasti masyarakat Muslim seluruh dunia sayu mengetahui skandal berkait Nouman Ali Khan, bukan?
Seorang pendakwah terkenal yang dinamakan antara individu Muslim paling berpengaruh dunia, akhirnya reputasi beliau yang terbina musnah akibat gejolak nafsu kuda Nouman sendiri.
Nama beliau mula dikenali sebagai pengasas kepada Bayyinah Institute, video terbitan mereka kerap kali tular melalui perkongsian netizen di media sosial.
Nouman juga popular kerana penerangannya yang cukup mudah difahami, tidak meleret dan padat khasnya melibatkan topik hubungan lelaki dan wanita serta alam perkahwinan.
Bagaimanapun, kegiatan sulit Nouman mula terbongkar selepas pendedahan dilakukan Omer M. Mozaffar, seorang pensyarah di Loyola University, Chicago. Omer mendedahkan sendiri pengakuan Nouman yang mengaku kerap kali mengubungi beberapa kenalan wanita yang cuba digoda dengan taktik jijik.
Nouman pada mulanya menafikan dakwaan yang dikeluarkan tersebut tetapi akhirnya mengalah. Dia menyifatkan diri tertekan berdepan masalah rumahtangga, cuba menarik minat wanita untuk dijadikan pengganti isterinya atas niat yang baik.
Skandalnya mula didedahkan selepas seorang wanita memuatnaik bukti-bukti yang diterimanya sendiri, memaparkan Nouman dalam keadaan agak memalukan berbanding statustnya sebagai seorang pendakwah, sendiri berkongsikan gambar-gambar kurang enak untuk pandangan bukan mahram diselangi mesej-mesej kiriman yang berbaur seksual.
Pendedahan-pendedahan seterusnya mula menjernihkan apa yang sering dilakukan Nouman yang gemar menggunakan kedudukannya untuk menggoda wanita serta taktik menipu wanita yang disasarkan dengan alasan sama - dia dalam proses perceraian dengan isteri.
Nouman mengaku kelemahannya; terbabas jauh daripada nasihat-nasihat yang sering diungkapkannya sendiri. Dia kini kembali aktif bersama Bayyinah Institute menjalankan kerja dakwah, banyak belajar dari kesilapannya.
Tetapi reputasinya yang telah tercalar nyata akan terus membelenggu kerja-kerja dakwah beliau.
2. Adnan Oktar
Pendakwah dari Turki, Adnan Oktar atau nama penanya Harun Yahya merupakan individu yang cukup terkenal, mempunyai gerakan dakwah sendiri dinamakan BAV atau Bilim Arastirma Vakfi yang aktif di Turki.
Menggunakan hujah berasaskan bidang saintifik, Oktar menggabungkan kedua-dua elemen agama dan sains khasnya kajian evolusi untuk membentuk cabang ilmu yang mencabar pandangan-pandangan klasik Islam.
Pergerakannya walaupun dianggap mirip sebuah kultus, sukar dibendung ekoran kemampuannya menjalankan gerakan dakwah menerusi saluran TV kelolaannya serta terbitan buku yang diedar ke serata dunia.
Adnan sedang menyertai majlis ilmu
Walaupun beberapa kali berdepan dakwaan menjalankan ajaran sesat dia juga gagal disabitkan kesalahan, membolehkan dirinya dibebaskan,.
Sehinggalah siasatan lebih mendalam menemuni bukti untu Oktar disabitkan kesalahan melakukan jenayah seksual ke atas individu bawah umur, melakukan jenayah seksual kepada wanita, tuduhan penipuan dan tuduhan rasuah.
Beliau dihukum penjara oleh Mahkamah Turki selama 1,075 tahun. Dua pegawai kanannya yang bersubahat turut dihukum penjara 211 dan 186 tahun.
Antara kesalahan yang disenaraikan dalam sebutan mahkamah adalah tindakan Adna merogol beberapa orang wanita ketika mereka masih bawah umur serta memaksa wanita yang telah disetubuhinya memakan pil perancang bagi mengelakkan kandungan terhasil, bagi melindungi kegiatannya.
3. Tariq Ramadan
Mempunyai susur galur keturunan yang baik di kalangan masyarakat Islam, apa yang dilakukan Tariq Ramadan, cucu kepada Hassan al Banna pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin sukar dipercayai.
Seorang ahli akademik yang terkenal reputasinya dalam bidang pengajian agama, Tariq mula giat menjalankan aktiviti dakwah bersama gerakan Movement of Swiss Muslim, sehinggalah dia berdepan dakwaan rogol pada tahun 2017 melibatkan dua wanita.
Laporan berkenaan dua kes itu yang dikatakan berlaku pada tahun 2009 dan 2012, menyebabkan pihak berkuasa Perancis mula menjalankan siasatan terhadap beliau. Ekoran pendedahan itu, berapa orang lagi wanita berbeza mula tampil melakukan dakwaan hampir serupa yang turut melibatkan dakwaan Tariq telah terlibat dalam kes pencabulan wanita bawah umur.
Beliau ditahan polis Perancis pada bulan Januari 2018, mengakibatkan kempen untuk membebaskan beliau disertai ramai ahli akademik terkenal dunia dimulakan, atas hujah penangkapan Tariq berlaku secara tidak sah.
Malangnya, beberapa bukti yang dikemukakan selepas itu memaksa Tariq mengaku dia memang menjalinkan hubungan dengan mangsa, namun semuanya berlaku secara suka sama suka dan mendapat persetujuan wanita yang terlibat.
Tariq mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan yang dibacakan, Tariq Ramadan kini dibebaskan dengan ikat jamin sedang berdepan 5 dakwaan rogol.
Beliau kini aktif menerbitkan lagu yang mengkritik sistem pentadbiran di Eropah serta kekal menjalankan kerja dakwah dalam media sosial.
4. Ravi Zacharias
Di antara semua kes berprofil tinggi yang kami senaraikan di sini, nama Ravi Zacharias mungkin yang paling mahsyur antara semuanya di kalangan penganut Kristian.
Mendiang telahpun meninggal dunia pada 19 Mei 2020, tetapi siasatan terhadap salah laku seksualnya sepanjang dia berkhidmat sebagai seorang pendakwah - baru saja dilaporkan pada bulan Februari tahun 2021. (fail PDF)
Menubuhkan RZIM atau Ravi Zacharias International Ministry, Ravi giat menjalankan aktiviti dakwah Kristian sebelum berdepan dakwaan pertama, dilaporkan pada tahun 2017 selepas Ravi didapati cuba menggoda isteri orang untuk mendapatkan gambar bogel wanita tersebut.
Ravi menafikan semua dakwaan itu.
Bagaimanapun beberapa dakwaan serupa mula kedengaran melibatkan wanita-wanita berbeza, khasnya pekerja-pekerja spa yang dimiliki Ravi. Hasil penyiasatan dalaman oleh RZIM sendiri mendapati wujud bukti yang mensabitkan semua dakwaan ke atas Ravi.
Beliau dilapor bukan saja gemar menggunakan kedudukannya untuk cuba menggoda wanita, bahkan turut gemar memujuk wanita-wanita untuk menghantar gambar dalam keadaan mengghairahkan.
Salah seorang mangsanya termasuklah seorang rakyat Malaysia, yang berjaya dipujuk untuk menghantar video dan gambar tanpa seurat benang pun pada tubuh selepas lebih 4 bulan Ravi berusaha mendapatkannya.
Selain kesalahan seksual, Ravi juga didapati kerap menyeleweng duit pergerakan hasil sumbangan orang ramai untuk tujuan peribadi, seperti membayar penginapan serta membelikan hadiah untuk wanita yang dijadikan sasaran beliau.
Dia bernasib baik tidak perlu berhadapan persepsi orang ramai; meninggal dunia akibat kanser tulang belakang pada usia 74 tahun.
5. Oliver O'Grady
Nama beliau asing di kalangan masyarakat kita, tetapi jenayah yang beliau lakukan melayakkan beliau duduk dalam senarai ini. Dia paling teruk.
Seorang paderi gereja Katolik yang dihormati, O'Grady mula berkhidmat sebagai paderi di California sejak tahun 1971 dan mula menjalankan aktiviti memperkosa bayi dan kanak-kanak sejak tahun 1976.
Malangnya, hanya dalam tahun 1993 kegiatannya terbongkar. Apa yang sangat menyedihkan, pihak gereja di mana dia berkhidmat turut melindungi beliau walaupun telah menjalankan siasatan terhadap perangai aneh O'Grady.
Selepas didapati bersalah merogol dan memperkosa dua orang adik beradik sejak dua kanak-kanak itu berusia 3 tahun sehinggalah berumur 13 tahun, O'Grady dihukum penjara 14 tahun. Namun dibebaskan selepas 7 tahun penjara dengan jaminan parol.
O'Grady mula hidup berpindah randah, kembali ke tanahairnya di Dublin, Ireland, sebelum cuba hidup di Perancis dan Belanda dengan menggunakan identiti berbeza.
Dia kemudiannya ditangkap sekali lagi selepas didapati menyimpan pornografi melibatkan individu bawah umur sebanyak lebih 280 ribu keping, disimpan dalam cakera keras dan stik USB. Atas kesalahan ini dia dipenjarakan 3 tahun.
Selepas dibebaskan O'Grady kembali ke Ireland namun terpaksa melarikan diri ke Portugal apabila hidupnya mula menjadi tumpuan.
Tabiat lamanya berulang apabila sekali lagi dia ditahan penguasa Portugal atas dakwaan menyimpan pornografi kanak-kanak, tetapi dihantar pulang ke Ireland untuk dibicarakan.
Dia dihukum penjara 22 bulan bermula Oktober tahun 2020. Dia dibebaskan sekali lagi pada bulan Mei tahun 2021, diharapkan sudah benar-benar pulih daripada sakit mentalnya. Tidak diketahui adakah dia masih meneruskan tabiat buruknya itu.
Setakat apa yang kita tahu dari pendedahan O'Grady sendiri, sudah lebih 25 orang individu bawah umur menjadi mangsa beliau, tetapi majoritinya gagal dibicarakan di mahkamah bagi memberi keadilan kepada mangsa.