Oleh pada 05 Mar 2018 kategori

pengeluaran wang kwsp

Semua sedar bahawa simpanan KWSP amatlah penting untuk persaraan. Namun, kadang-kadang terdapat situasi yang tidak dapat dielakkan membuatkan anda terpaksa untuk mengeluarkannya lebih awal.

Bagi anda yang ingin menggunakan wang simpanan ini sebelum sampai tempoh yang sepatutnya, iluminasi.com ingin kongsikan 4 perkara yang perlu diambil tahu terlebih dahulu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Boleh keluarkan untuk kegunaan 12 perkara

gambar awek di bangunan kwsp

sumber gambar cikdylapurple

Ya, terdapat 12 perkara yang membolehkan anda mengeluarkan wang KWSP namun kami senaraikan 4 yang mana melibatkan orang ramai.

Pengeluaran untuk perumahan : Bagi mereka yang mempunyai masalah kewangan untuk membeli rumah, KWSP membenarkan anda mengeluarkan sekaligus jumlah untuk membayar wang pendahuluan, bayaran bulanan, bayaran balik pokok dan juga membina rumah sendiri.

Pembayaran perubatan dan peralatan : Anda boleh mengeluarkan wang bagi membayar kos perubatan penyakit kritikal mengikut senarai yang diluluskan oleh lembaga KWSP. Anda juga boleh membeli peralatan perubatan yang diluluskan.

Ia bukan sahaja untuk anda tetapi juga keluarga terdekat.

Pembayaran balik PTPTN : Ramai di antara kita yang dibelenggu dengan hutang PTPTN, malah ada yang telah disekat daripada keluar negara disebabkan ini.

Wang KWSP dibenarkan pengeluarannya bagi membayar tunggakan PTPTN. Bukan itu sahaja, anda boleh membayar pinjaman pelajaran yang lain selain PTPTN dan menggunakan wang ini untuk membayar yuran pengajian.

Pengeluaran untuk tinggalkan negara : Bagi mereka yang ingin keluar negara, contohnya seperti mendapat tawaran kerja dan melepaskan kewarganegaraan Malaysia, anda juga boleh mengeluarkan wang KWSP.

Ia sama seperti pekerja asing yang bekerja di Malaysia dan ingin pulang ke negara asal. Namun, anda perlulah membuat keputusan untuk melepaskan kerakyatan untuk diberikan kebenaran ini.

2. Borang atas talian bagi pengeluaran tertentu

fakta tentang pengeluaran kwsp

Bagi mereka yang ingin mengeluarkan wang berkenaan pendidikan dan perumahan, ianya lebih mudah. Anda hanya perlu mengisi borang di laman sesawang KWSP.

Isi segala maklumat yang diminta dan pihak KWSP akan memindahkan wang yang diluluskan dalam masa 2 minggu.

Namun, keperluan-keperluannya mungkin berbeza bagi setiap pengeluaran. Adalah lebih baik jika anda menyemak dengan KWSP sebelum hadir ke pejabat bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

3. Had jumlah dan masa pengeluaran

had dan jumlah pengeluaran kwsp

Terdapat had maksimum pengeluaran dan tempoh masa pengeluaran bagi simpanan yang melibatkan situasi kekal, seperti meninggalkan negara selama-lamanya.

Sebagai contoh, pengeluaran pinjaman perumahan hanya dibenarkan setahun sekali dan daripada Akaun Kedua sahaja. Ini bermakna jika anda memohon pada 1 Januari 2018, anda hanya boleh memohon semula selepas 1 Januari 2019.

Jumlahnya juga mempunyai had mengikut jumlah wang yang ada dalam Akaun Kedua anda.

4. Prosedur pengeluaran yang cepat

Prosedur pengeluaran wang KWSP adalah berbeza-beza mengikut situasi, namun ia tidak lagi mengambil masa yang panjang. Apa anda perlu lakukan adalah menyemak terlebih dahulu di laman sesawang KWSP untuk mengetahui apa yang perlu disediakan dan terma-terma.

Antara salah satu sebab pengeluaran mengambil masa yang lama dan sukar adalah pengeluar tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan disediakan. Setelah segala dokumen yang diperlukan disediakan, anda hanya perlu pergi ke pejabat KWSP terdekat atau melalui pos.

Walau apa sekalipun sebab anda ingin keluarkan wang KWSP, ingatlah bahawa ia amat berguna setelah anda bersara nanti. Jadi, fikir dengan baik sebelum membuat pengeluaran.




Hakcipta iluminasi.com (2017)