Pada pertengahan tahun 1990-an, satu eksperimen pemuliharaan hutan telah dilakukan oleh dua orang saintis pada satu kawasan hutan tandus di Taman Negara Costa Rica.

Projek pemuliharaan itu telah menyaksikan sebanyak 1,000 muatan trak kulit dan isi limau mandarin seberat 12,000 tan telah dibuang di kawasan hutan tandus seluas 7 ekar. Dua saintis yang memperkenalkan projek ini pada mulanya dianggap gila kerana tiada siapa yang pernah terfikir untuk melakukan perkara seperti itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Malangnya, projek itu terpaksa dibatalkan pada tahun kedua ia dijalankan. Eksperimen pemuliharaan hutan itu ditinggalkan serta dilupakan Akan tetapi, tiada siapa yang menyangka projek yang dijalankan itu akan meninggalkan kesan besar terhadap ekologi hutan selepas dua dekad.

projek membuang sisa limau

Seorang pakar ekologi dari Princeton University iaitu Timothy Treuer berkata, eksperimen membaikpulih hutan itu adalah satu-satunya contoh yang pernah dia diketahuinya mampu menghasilkan penyerapan karbon tanpa mengeluarkan wang yang banyak.

Apa yang lebih mengejutkan ialah biojisim (organisma hidup) tanah di kawasan hutan tandus itu telah meningkat sebanyak 176 peratus dalam tempoh dua dekad, sama seperti sebuah hutan yang subur selama ratusan tahun.

Eksperimen ini bukan sahaja menguntungkan syarikat limau kerana dapat membuang sisa dengan percuma atau taman negara yang berkembang subur, malah ia menguntungkan semua pihak.

dua saintis doktor yang mengilhamkan idea buang kulit limau

Dr. Daniel Janzen dan Dr. Winnie Hallwachs

Rancangan pemuliharaan hutan ini bermula pada tahun 1997 apabila dua orang penyelidik iaitu Daniel Janzen dan Winnie Hallwachs telah berjumpa dengan pihak pengeluar jus oren terkenal di Costa Rica iaitu Del Oro untuk peluang yang unik ini.

Janzen dan Hallwachs mencadangkan sekiranya syarikat Del Oro bersetuju untuk mendermakan sebahagian tanahnya yang bersempadan dengan Kawasan Pemuliharaan Guanacaste kepada Taman Negara Costa Rica, syarikat itu dibenarkan membuang kulit dan lebihan limau di taman negara secara percuma.

syarikat del oro

Syarikat Del Oro bersetuju dengan perjanjian yang ditawarkan. Mereka kemudian telah membuang beribu-ribu tan kulit limau dengan anggaran muatan 1,000 trak secara berperingkat di tanah tandus itu.

Sisa buangan organik yang kaya dengan nutrien itu memberikan kesan yang begitu pantas pada kesuburan tanah tandus di taman negara itu. Kira-kira selepas enam bulan, kulit limau yang dibuang itu telah bertukar menjadi tanah liat hitam yang tebal.

Walaupun bermula dengan baik, eksperimen ini tidak bertahan lama selepas satu lagi syarikat pengeluar jus, TicoFrut, telah menyaman Del Oro dengan alasan syarikat itu mencemar dan merosakkan Taman Negara Costa Rica.

sisa kulit limau yang dibuang di taman negara costa rica

Mahkamah Agung Costa Rica kemudian berpihak kepada TicoFrut dan impian dua orang saintis itu terpaksa dilupakan. Sehubungan itu, tanah tandus tempat pembuangan kulit limau itu juga ditutup selama 15 tahun.

Pada tahun 2013, Treuer sekali lagi melawat Costa Rica untuk satu penyelidikan lain tetapi memutuskan untuk singgah di tapak pembuangan sisa limau bagi menilai semula tapak itu. Namun, pakar ekologi itu menghadapi satu masalah.

Treuer sebenarnya menghadapi masalah untuk mencari tanah tandus yang menjadi tapak pembuangan sisa limau di taman negara itu. Ini kerana, tanah gersang itu telah berubah menjadi hutan padat yang dipenuhi dengan tumbuhan menjalar.

hutan tebal sihat hasil pembuangan kulit limau 945

Treuer malah tidak menjumpai papan tanda kawasan pembuang berwarna kuning setinggi enam kaki kerana dilindungi tumbuh-tumbuhan. Setelah berbelas-belas lawatan dalam masa beberapa tahun barulah dia menemui semula papan tanda itu.

Apabila pasukannya membandingkan tapak buangan sisa limau itu dengan kawasan berdekatan, mereka mendapati kawasan sisa limau itu mempunyai tanah yang lebih subur, kaya dengan organisma hidup dan kepelbagaian spesies pokok. Ini termasuklah pokok ara mempunyai ukur lilit pelukan tiga lelaki dewasa.

Tiada siapa yang benar-benar pasti bagaimanakah caranya kulit limau itu mampu menghidupkan semula tanah tandus itu dalam hanya tempoh 16 tahun. Treuer mengesyaki ia adalah disebabkan kesinambungan antara rumput invasif dan tanah yang sangat subur.

timothy treuer

Timothy Treuer

Walaupun mekanisma yang tepat bagaimana ia berfungsi masih lagi misteri, para penyelidik berharap agar eksperimen seperti ini akan menjadi inspirasi kepada projek pemuliharaan di tempat-tempat lain.

Bukan sahaja cara ini mampu menjimatkan kos pengilang dan menyuburkan tanah, hutan tebal yang subur juga dapat mengurangkan kadar pelepasan karbon terhadap atmosfera. Ini bermakna tanah yang lebih subur mampu membantu untuk menyelamatkan Bumi. 

Agak menyedihkan apabila memikirkan banyak kilang-kilang yang menghasilkan sisa yang kaya dengan nutrien ini terpaksa membayar lesen untuk melupuskan sisa buangan mereka dengan cara yang kurang berkesan.

Pihak yang berkenaan perlu memikirkan cara untuk melakukan kitar semula yang lebih bijak supaya ia menguntungkan semua pihak termasuklah Bumi yang kita diami.

Rujukan:

1. 12 ribu tan sisa limau dibuang untuk menjadi baja tanah

2. Bagaimana sisa limau mampu menyuburkan tanah tandus

3. Saintis dianggap gila kerana buang sisa limau sebanyak 1000 muatan trak




Hakcipta iluminasi.com (2017)