Mengembara dengan pesawat secara statistik mungkin lebih selamat daripada memandu. Namun, masih terdapat tahap kesilapan melampau tentang perjalanan beribu-ribu kaki di atas tanah ini yang menjadikan anda tidak 100% yakin akan mendarat dengan selamat.

Sama seperti perniagaan lain, perniagaan penerbangan juga mempunyai baik dan buruknya. Akan tetapi, terdapat syarikat penerbangan yang lebih buruk dan berisiko berbanding yang lain. Berikut adalah senarai syarikat penerbangan yang mempunyai rekod keselamatan yang membuatkan anda berfikir dua kali sebelum melanggannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

10. Daallo Airlines

daallo airlines

Credit : BBC

Somalia adalah sebuah negara yang sukar untuk sebarang jenis perniagaan, apatah lagi bila ia berkaitan dengan kenderaan besar di udara. Namun, Daallo Airlines telah memberikan perkhidmatan yang terbaik walaupun berada dalam pasaran yang tidak stabil di samping negara yang sentiasa di ambang peperangan.

Malah, Daallo Airlines juga bergabung dengan pesaing ketatnya iaitu Jubba Airways untuk bersaing dengan syarikat penerbangan antarabangsa seperti Turkish Airlines. Selama dua dekad, Daallo Airlines merupakan syarikat penerbangan pilihan panglima perang, anggota militan dan pengganas.

Walaupun sebagai syarikat kecil di wilayah bergolak, Daallo Airlines berjaya mengagumkan ramai pihak apabila hanya terlibat dalam tiga kemalangan udara sahaja. Salah satu kejadian ialah pada tahun 2016 apabila seorang pengganas meletupkan bom dalam pesawat penumpang yang sedang berada di udara.

Letupan itu sepatutnya membunuh kesemua penumpang dalam pesawat tetapi hanya menghasilkan sebuah lubang kecil sahaja. Seorang penumpang mati bukan disebabkan letupan tetapi kerana disedut keluar melalui lubang itu.

9. Blue Wing

blue wings

Credit : kaieteurnewsonline

Blue Wing adalah sebuah syarikat penerbangan dari Suriname, sebuah negara kecil di pantai timur laut Amerika Selatan . Syarikat ini mempunyai reputasi yang kurang baik dalam dunia penerbangan, sebahagian besarnya berasal daripada pesawat lama Antonov yang digunakan mereka.

Pada mula beroperasi pada 2002, Blue Wing mengalami sekitar tiga kemalangan pesawat dalam masa dua tahun. Pada tahun 2008, sebuah pesawat Blue Wing terhempas di lereng bukit ketika cuba mengelak daripada mendarat di landasan yang sudah mempunyai pesawat di atasnya.

Kemalangan itu menyebabkan semua 19 penumpang terbunuh. Setahun kemudian, satu lagi pesawat Blue Wing mengalami kemalangan di landasan tetapi tiada kematian yang dilaporkan.

Apabila Blue Wing mengalami kemalangan pada tahun 2010 dan menyebabkan semua lapan penumpang maut, Kesatuan Eropah melarang syarikat penerbangan itu beroperasi untuk kali kedua dalam sejarah ringkasnya (kali pertama pada tahun 2004).

8. SCAT Airlines

scat airlines

Credit : rusaviainsider

SCAT Airlines bukanlah pilihan orang ramai apabila berkaitan dengan pilihan penerbangan antarabangsa. Syarikat penerbangan Kazakhstan ini baru sahaja diberi kebenaran semula untuk melakukan penerbangan ke Kesatuan Eropah.

Melihat pada rekod keselamatan mereka antara tahun 2013 hingga 2015, terdapat satu trend bahaya yang berlaku. Masalah pelepasan dan pendaratan pesawat, gear pesawat rosak, dan ada juga kes di mana tayar pesawat terpesong semasa melakukan pendaratan.

Pada Januari 2013, Pesawat 760 SCAT Airlines dari Kokshetau ke Almaty telah terhempas akibat kabus tebal di sebuah kampung bernama Kuzyltu ketika menghampiri lapangan terbang Almaty. Kesemua 16 penumpang dan 5 anak kapal terbunuh dalam insiden itu.

Walaupun telah diberi kebenaran semula oleh Kesatuan Eropah, kemalangan yang berlaku pada 2018 membuktikan syarikat penerbangan itu belum benar-benar selamat. Kali ini pesawat yang membawa 233 orang penumpang telah tersangkut ekornya ketika melakukan pendaratan. Mujur tiada kemalangan nyawa yang dilaporkan.

7. Nepal Airlines

nepal airlines

Credit : libertyholidays

Ini bukanlah satu-satunya syarikat pernerbangan daripada Nepal dalam senarai ini. Untuk menjadi adil, Nepal Airlines (dahulu dikenali sebagai Royal Nepal Airlines) beroperasi di salah satu kawasan permukaan bumi paling sukar di dunia di mana ia dipenuhi dengan gunung-ganang dan landasan yang sukar.

Namun, itu bukanlah alasan untuk mereka tidak menjaga keselamatan perkhidmatan penerbangan mereka. Sejak ditubuhkan pada tahun 1960 hingga 2002, Nepal Airlines telah mengalami sebanyak 16 kemalangan. Tujuh daripada kemalangan itu melibatkan korban nyawa.

Mereka akhirnya mengubah nama mereka ke Nepal Airlines tetapi kemalangan demi kemalangan masih lagi berlaku. Salah satu kemalangan paling teruk setelah mereka menukar nama berlaku pada tahun 2014, menyebabkan 18 orang terbunuh. Kini, syarikat itu diharamkan untuk memasuki ruangan udara Kesatuan Eropah.

6. Susi Air 

susi air

Bagaimana bahayakah sesebuah syarikat penerbangan itu untuk Amerika Syarikat mengeluarkan perintah khusus, melarang mana-mana kakitangan kedutaannya menggunakan perkhidmatan mereka.

Itulah yang dialami oleh Susi Air, syarikat penerbangan Indonesia yang dikenakan perintah pengharaman perkhidmatannya oleh Amerika Syarikat pada tahun 2012. Pengharaman ini dikenakan setelah berlaku tiga kemalangan melibatkan syarikat penerbangan itu dalam hanya tempoh 12 bulan.

Agak sukar untuk menentang pendirian Amerika Syarikat dalam permasalahan ini. Tambahan pula apabila Ketua Badan Narkotik Indonesia sendiri dirakam memberitahu bahawa, hampir semua kemalangan pesawat di negara itu adalah disebabkan penyalahgunaan dadah oleh juruterbang pesawat.

5. Tara Air

tara air

Credit : airlines-inform

Satu lagi syarikat penerbangan Nepal. Tara air mengiklankan dirinya sebagai penyedia perkhidmatan penerbangan terbaru dan terbesar di pergunungan Nepal, tetapi hanya mempunyai enam pesawat ringan STOL.

Jika anda berpendapat pesawat ringan ini mempunyai risiko yang kurang untuk berlakunya kemalangan, rekod keselamatan Tara Air pula menyatakan perkara sebaliknya.

Tara Air mula ditubuhkan pada tahun 2009 dan dalam 10 tahun pertama beroperasi, lima kemalangan telah berlaku. Dua daripada kemalangan itu adalah serius, meragut sejumlah 45 nyawa.

Kedua-dua pesawat ringan itu telah terlibat dalam kemalangan di kawasan gunung dan membunuh kesemua penumpang dan anak kapal yang berada di dalamnya. Dengan tiga lagi kemalangan kecil yang berlaku, syarikat ini perlu melakukan sesuatu untuk membaiki semula reputasi mereka.

4. Kam Air

kam air

Credit : ch-aviation

Walaupun berada di tangga keempat dalam senarai, Kam Air bukanlah tidak mencuba sebaik yang mungkin. Mereka sebenarnya menghadapi beberapa halangan yang mungkin tidak pernah dilalui oleh syarikat penerbangan lain.

Kam Air beroperasi di Afghanistan dan oleh itu, mereka terpaksa menghadapi gangguan kecil seperti penjenayah dan pengganas Taliban. Selama bertahun-tahun, mereka pernah diganggu oleh kumpulan penjenayah yang marah apabila ketua mereka terlepas penerbangan.

Selain itu, mereka telah disenarai hitam kerana membiarkan pesawat mereka menjadi tempat penyeludupan candu dan landasan mereka pula sering menjadi sasaran tembakan roket daripada pengganas.

Namun, kerana ketabahan mereka, Kam Air berjaya menguasai 90% pasaran penerbangan Afghanistan dan merupakan salah satu pembayar cukai terbesar negara. Ini tidak bermakna Kam Air selamat, sama ada sebagai penumpang atau juruterbang.

Pada tahun 2005, satu kemalangan besar telah menyebabkan 104 penumpang dan anak kapal terbunuh. Selain itu, syarikat yang menjadi penyumbang dana negara ini juga sering diancam tindakan pengganas.

3. Lion Air

lion air

Credit : usatoday

Sejak mula beroperasi pada tahun 2000, Lion Air telah menyaksikan lapan daripada pesawatnya musnah dalam kemalangan. Kemalangan terbaru syarikat penerbangan Indonesia ini melibatkan pesawat Lion Air Boeing 737 Max terhempas di lautan dan menyebabkan 189 orang terbunuh.

Nama buruk Lion Air bukan sahaja dikaitkan dengan kemalangan pesawat, malah juruterbangnya juga sering ditangkap kerana menggunakan dadah terlarang. Antara dadah yang sering digunakan oleh juruterbang mereka ialah syabu atau crystal meth. 

Salah seorang daripada juruterbang yang ditangkap telah memberitahu ketua operasi Agensi Narkotik Negara bahawa mereka memilih untuk menggunakan syabu kerana ingin untuk sentiasa peka dan cergas ketika menjalankan tugas.

2. Merpati Nusantara Airlines

merpati nusantara

Credit : kumparan

Masih lagi mengenai syarikat penerbangan daripada Indonesia. Merpati Nusantara Airlines adalah sebuah syarikat yang berpusat di Jakarta. Menurut Rangkaian Keselamatan Penerbangan, kira-kira tidak kurang daripada 50 kejadian kemalangan telah berlaku melibatkan syarikat ini sejak ia ditubuhkan pada tahun 1962.

Dalam semua kemalangan itu, hampir 20 kejadian melibatkan korban dan kejadian yang paling tragis telah mengorbankan seramai 69 orang. Antara kemalangan terakhir yang melibatkan Merpati Nusantara Airlines ialah pada tahun 2013.

Syarikat ini memberhentikan operasinya pada tahun 2014 disebabkan masalah kewangan dan juga keselamatan yang dihadapi mereka. Mereka mempunyai anggaran hutang sebanyak RM 3.04 billion. Namun, Merpati Nusantara Airlines yakin mereka akan mendapat pelaburan yang cukup untuk memulakan semula operasi penerbangan pada tahun 2019.

1. Ariana Afghan

ariana afghan airlines

Credit : ch-aviation

Syarikat penerbangan Ariana Afghan berjaya bertahan dalam perniagaan di Afghanistan sejak tahun 1955 walaupun Kam AIr berjaya menguasai sebahagian besar perniagaan penerbangan di sana.

Apa yang agak menyedihkan ialah, Ariana Afghan hanya mempunyai empat pesawat yang agak tua bagi mengendalikan 12 destinasi yang ditujui mereka pada tahun 2017. Mereka bercadang untuk menambah tiga lagi pesawat menjelang penghujung tahun 2019.

Seperti apa yang dijangkakan, beroperasi sebagai sebuah syarikat kecil di negara yang sering bergolak bukanlah perkara yang mudah. Semasa mula ditubuhkan, syarikat ini telah terlibat dengan 27 kemalangan yang direkodkan dengan 8 kemalangan melibatkan korban nyawa.

Pada tahun 1969, kesilapan pendaratan menyebabkan pesawat Ariana Boeing 727 merempuh sebuah rumah, membunuh dua orang di darat dan 48 lain yang berada dalam pesawat. Pada tahun 1998 pula, sebuah lagi pesawat model sama terhempas di kawasan pergunungan di Kabul, membunuh 45 orang.

Malah, pada tahun 1988, 25 orang penumpang dan anak kapal Ariana Afghan terkorban apabila seorang pejuang Pakistan menembak jatuh pesawat syarikat penerbangan itu. Syarikat ini juga mempunyai banyak reputasi berisiko untuk mengalami masalah dan kemalangan lain.




Hakcipta iluminasi.com (2017)