Pepatah Melayu mengatakan, "Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri."

Bukanlah bermakna negara orang tu semuanya baik-baik belaka dan negara sendiri tak elok. Tapi kalau ada apa-apa perkara di luar Malaysia yang kita nampak elok dan bersesuaian, bolehlah kita cuba bawa pulang dan aplikasikan pula di negara sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kita tahu masyarakat Jepun memang kaya dengan budi bahasa dan kesantunan. Pada masa yang sama, kita juga tak kurang hebatnya, selalu guna slogan "Budi Bahasa Budaya Kita". Tapi, sejauh manakah kita berpegang teguh pada slogan ini?

Kalau kita pergi kedai pun jurujual situ buat acuh tak acuh je layan kan? Lepas tu ada yang suka pandang kita sebelah mata saja kalau berkunjung ke kedai jenama mewah memakai baju biasa-biasa. Mentang-mentanglah pakcik tu datang pakai kain pelikat, awak ingat dia tak ada duit ke dik?

Di sini kami senaraikan 10 etika dalam perniagaan orang Jepun. Ingat, yang baik-baik saja kita jadikan contoh. Yang tak elok tu janganlah ditiru.

#1 Tunduk hormat pada pelanggan ataupun tetamu

jepun memang terkenal dengan budaya tunduk sebagai tanda penghormatan kepada orang lain

Jika anda biasa berkunjung ke kedai-kedai di Jepun, bukan satu perkara pelik sekiranya tokey kedai itu sendiri menyambut anda di pintu kedai dan menjemput anda masuk ke dalam. Setelah selesai membeli barang, anda akan dihantar sehingga ke pintu keluar sambil tunduk hormat mengucapkan terima kasih tidak henti-henti.

Situasi yang sama juga jika anda berkunjung ke pejabat di Jepun. Kalau dah selesai mesyuarat, mereka akan hantar anda sampai depan lif dan tunduk hormat sehingga pintu lif tertutup rapat. Barulah mereka sambung buat kerja di pejabat.

#2 Tertib ketika mengambil business card

cara bertukar kad perniagaan

Nak ambil meishi koukan atau kad perniagaan pun ada aturan tertibnya.

Terima atau beri kad dengan kedua-dua belah tangan dan pastikan maklumat kad berada pada kedudukan yang betul iaitu dipusingkan ke arah penerima. Kad yang diterima akan dibiarkan di atas meja selama mesyuarat/perjumpaan berlangsung. Jika anda terus menyimpan kad yang diterima dalam poket atau beg, ia dianggap tidak beradab.

#3 Tidak terus duduk selagi tidak dijemput

jangan duduk selagi tidak diberitahu

Ini sebenarnya tidak tertakluk kepada perniagaan sahaja, malah memang sudah menjadi lumrah orang Jepun tatkala berkunjung ke rumah atau pejabat sesiapa. Mereka hanya akan duduk selepas tuan rumah berkata "Douzo, osuwari kudasai" yang bermakna "Sila jemput duduk."

#4 Tanggalkan kot musim sejuk anda sebelum memasuki bangunan

tanggalkan topi jaket atau kot musim sejuk sebelum masuk ke dalam bangunan

Sekiranya anda berurusan dengan syarikat Jepun pada musim sejuk, anda perlu tanggalkan topi, winter coat atau outerwear (dan bukan kot suit anda), lipatkan pada lengan sebelum memasuki bangunan. Ini kerana anda boleh menghalang laluan orang ramai sekiranya baru terkial-kial nak buka jaket di lobi ataupun di depan lif.

#5 Susun atur tempat duduk dalam bilik mesyuarat adalah berdasarkan pangkat

kedudukan dalam bilik mesyuarat

Status sosial dianggap amat penting dalam masyarakat Jepun. Oleh itu, sekiranya anda perlu menghadiri mesyuarat di mana-mana syarikat Jepun, janganlah sesuka hati main duduk di mana-mana kerusi yang ada. Tunggu sehingga anda diberitahu oleh hos tentang tempat duduk anda yang betul.

Kedudukan ini berubah-ubah mengikut kesesuaian susun atur bilik, perabot dan keperluan syarikat.

#6 Naik lif pejabat pun ikut pangkat

cara naik lif pun ada adab tertib

Kebiasaannya, orang yang berstatus atau berpangkat tinggi (termasuk tetamu) akan dibiarkan masuk ke dalam lif terlebih dahulu. Manakala pekerja junior atau yang berstatus rendah akan masuk paling akhir dan perlu berdiri berhampiran panel lif untuk menekan butang serta menahan pintu lif.

#7 Ketuk pintu tiga kali

Sebelum masuk ke bilik mesyuarat atau bilik pegawai yang berpangkat, orang Jepun akan mengetuk dahulu pintu sebanyak tiga kali dan berkata "Shitsurei shimasu" sebelum masuk.

di jepun ketuk pintu tiga kali sebelum masuk ketuk dua kali hanya untuk masuk tandas

Ketukan dua kali pula digunakan apabila seseorang ingin memeriksa tandas itu ada orang di dalamnya atau tidak.

#8 Budaya bertukar hadiah

balut hadiah cantik cantik sebelum diberi kepada tetamu atau hos

Budaya bertukar-tukar hadiah telah menjadi adat bagi orang Jepun, terutamanya pada perjumpaan atau mesyuarat kali pertama. Namun, anda tidak boleh sewenang-wenangnya memberi hadiah mengikut citarasa anda. Jangan berikan hadiah yang mempunyai atau mewakili nombor 4 dan 9.

Ini kerana nombor 4 itu mempunyai bunyi seakan-akan "mati" dan 9 pula berbunyi seperti "penderitaan", Jadi jangan beri 9 kuntum bunga ataupun 4 potong kek kepada orang Jepun ya.

Hadiah yang sesuai adalah seperti makanan berupa manisan, pen berjenama atau bekas pemegang kad bisnes yang berkualiti tinggi. Pastikan hadiah dibalut cantik-cantik!

#9 Ketahui etika pemakaian yang "normal"

Walaupun Jepun terkenal dengan trend fesyen pelik seperti Harajuku dan Gyaru, namun apabila bercakap mengenai etika pemakaian dalam bisnes, mereka agak konservatif. Kebanyakan lelaki pejabat memakai business suit berwarna hitam dan kelabu. 

sut orang lelaki jepun selalunya mempunyai warna yang lebih kurang sama sahaja

Bagi wanita pula, mereka tidak digalakkan memakai terlalu banyak aksesori sarat dan tidak disarankan memakai kasut tumit tinggi sehingga ketinggian melebihi kaum lelaki.

Sekiranya memakai kimono, lipatan kimono hendaklah dipusing ke arah kanan. Lipatan ke sebelah kiri hanya digunakan oleh mayat.

#10 Benda-benda "remeh" tapi sebenarnya penting

Orang Jepun amat mementingkan ketepatan dan perincian dalam semua aspek kehidupan mereka. Bagi kita, mungkin sesetengah benda tu nampak macam remeh tapi tidak bagi mereka.

Sebagai contoh, sekiranya anda ke tandas dan ada selipar khas yang disediakan, pastikan anda tanggalkan selipar itu sebelum keluar dari bilik air dan susun kembali ke tempat asal.

gunakan selipar tandas yang disediakan dan susun kembali menghadap ke arah yang betul

Selain itu, apabila anda berjumpa atau pergi ke tempat di mana ia berlantaikan tatami, maka anda perlu menanggalkan kasut kerana lantai ini hanya boleh dipijak dengan kaki atau dengan memakai stokin sahaja.

Sekiranya anda selsema dan perlu menghembuskan hidung, sila minta diri dan pergi ke tandas atau keluar sebentar. Perkara-perkara kecil seperti ini amat dihargai oleh orang Jepun dan tuan rumah akan lebih menghormati anda sekiranya anda buat "homework" pasal ni sikit.

Seperti yang saya pesan tadi, bila kita perhatikan budaya orang, ambil dan praktikkan yang elok-elok sahaja. Kalau nilai-nilai murni ini boleh mengubah kehidupan kita menjadi lebih baik dan bertamadun, apa salahnya kita amalkan. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)