Kredit foto: Instagram Zarina Zainuddin

Ahli Jawatankuasa Persatuan Peniaga Lumut, Ishak Osman, memohon maaf seandainya pihaknya telah menimbulkan rasa tidak puas hati netizen serta para pelanggan.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan aktres Zarina Zainuddin, 48, yang mengadu ditengking dan dihalau seorang peniaga di Dataran Lumut.

"Dengan hati terbuka, saya ingin memohon maaf sekiranya pihak saya membuatkan segelintir netizen dan pelanggan dia tidak berpuas hati," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Facebook Komuniti Seri Manjung FOC pada 3 Januari lalu.

Dalam pada itu, Ishak menegaskan tindakan yang diambil terhadap pelakon berkenaan kerana ingin memenuhi tanggungjawab mereka.

Malah, pihaknya tidak mempunyai sebarang niat buruk untuk menghalau mahupun menengking, apatah lagi menjatuhkan Zarina.  

"Saya juga nak buat penjelasan kenapa perkara ini berlaku. Kami bertanggungjawab untuk memastikan semua peniaga di kawasan terbabit memiliki kebenaran berniaga daripada pihak Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

"Tiada niat menghalau dan menengking, tetapi hanya jalankan tugas. Tiada niat nak menjatuhkan dia. Saya percaya rezeki daripada Allah. Kalau ada pihak yang tidak puas hati, boleh berjumpa dengan saya di Lumut. Saya ada setiap hari di sana," katanya.

Ishak memberitahu, dia percaya kenyataan yang dikeluarkan Zarina seperti ingin menampakkan dirinya bersalah dalam isu terbabit.

Walhal, tegas Ishak, dia juga merupakan sebahagian daripada peniaga kecil yang mencari rezeki umpama wanita itu.

"Saya percaya insiden ini sengaja diperbesarkan seolah-olah saya yang bersalah. Namun saya sebagai peniaga kecil yang turut berniaga, tidak berniat nak menutup periuk nasi dia.

"Saya memohon maaf sekali. Sebagai manusia saya juga tak lari daripada melakukan kesilapan," katanya.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)