Penggemar makanan Jepun pasti mengenali wasabi. Santapan sushi pastinya tidak lengkap rasanya tanpa disertai sedikit penambah perisa yang unik ini.
Bahan istimewa berwarna hijau pudar ini mempunyai rasa menyengat apabila ia memasuki rongga hidung dan pernafasan kita. Kalau terlebih masuk, pasti keluar air mata. Wasabi sebenarnya tidaklah pedas seperti cili seperti yang disangkakan oleh orang yang tidak pernah merasainya. Rasa 'pedas'nya yang merangsang rongga pernafasan akan hilang selepas beberapa ketika, tidak seperti rasa pedas cili yang melekat di lidah dan bibir.
BESARKAN TEKS A- A+
Bahagian wasabi yang dimakan adalah bahagian batangnya yang dikenali dengan nama rizom. Sebelum boleh dimakan, batang wasabi akan dibersihkan sebelum ditenyeh di atas alat pemarut untuk menghancurkan batangnya. Boleh dikatakan kebanyakan wasabi yang kita dapati di kedai-kedai makanan Jepun atau di pasaraya sebenarnya bukanlah wasabi yang asli. Ia sebenarnya adalah horse-radish yang ditambahkan pewarna hijau agar kelihatan seperti wasabi. Kadangkala, mustard, kanji dan serbuk cili juga ditambah untuk menambahkan rasanya.
Ini adalah kerana wasabi adalah tumbuhan yang sangat sukar untuk ditanam lantas membuatkan harganya melonjak tinggi. Harga wasabi yang asli boleh mencecah 160 Dolar Amerika atau 650 Ringgit Malaysia bagi setiap kilogram. Sudah pasti bahan semahal ini tidak akan dijual secara meluas atau diberi secara percuma di restoran-restoran Jepun di negara kita.
Wasabi (Wasabia japonica) dan horse-radish (Armonicia rusticana) adalah dua jenis tumbuhan yang sangat berbeza. Horse-radish mempunyai isi yang berwarna putih dan rasa 'pedas'nya juga sedikit berbeza. Kedua-dua tumbuhan ini mempunyai rasa yang unik disebabkan oleh suatu sebatian kimia yang dinamakan isothiocyanates. Namun begitu, apabila telah dikisar, hanya pakar dapat membezakan yang mana satu yang asli kerana kedua-duanya kelihatan serupa. Jarang sekali batang wasabi dalam bentuk asalnya dijual di pasaran tempatan di negara kita.
Untuk mencapai kematangan dan mencapai saiz yang sesuai untuk dituai, tumbuhan wasabi memerlukan satu tahun tiga bulan untuk tumbuh. Wasabi memerlukan sumber air bersih dari mata air yang mempunyai suhu spesifik antara 13 hingga 18 darjah Celcius. Jadi, tidak semua kawasan di Jepun sesuai digunakan untuk menanam tumbuhan ini. Wasabi juga sangat sensitif kepada kadar cahaya matahari yang diterimanya.
Cahaya matahari yang terlalu banyak atau terlampau sedikit membantutkan pertumbuhan wasabi. Jadi, kepakaran yang tinggi sangat diperlukan untuk menjamin tanaman ini hidup subur dan membawa keuntungan apabila dituai. Selain itu, tanaman ini juga sangat mudah dijangkiti penyakit membuatkan ianya perlu ditanam di tempat yang betul-betul bersih dan jauh dari sumber pencemaran.
Walaupun Jepun mempunyai teknologi pertanian yang tinggi sehinggakan padi boleh ditanam di atas bangunan, penanaman dan penjagaan wasabi masih dilakukan secara manual sama seperti zaman dahulu, tidak seperti tanaman komersil lain.
Antara pengeluar wasabi yang terkenal adalah Daio Wasabi Farm merupakan ladang penanaman wasabi yang terletak di Azumino, Nagano. Ianya telah ditubuhkan semenjak tahun 1915 dan kekal sehingga kini. Mereka merupakan antara pengeluar wasabi terbesar di Jepun dan mengeluarkan antara 300,000 hingga 400,000 batang wasabi setiap tahun.
Rujukan: Great Big Story, Wasabi.org, Highsnobiety