Oleh pada 19 Nov 2021 kategori

leap second o

Ada sesetengah tahun yang dirasakan lebih panjang dari tahun-tahun yang lain, terutamanya jika anda sedang melalui fasa-fasa buruk dalam kehidupan seperti terpaksa berkurung di dalam rumah akibat pandemik COVID-19.

Namun, tahun terpanjang dan paling lama secara rasminya dalam rekod ialah tahun 1972, di mana tahun ini lebih panjang daripada purata tahun sebanyak dua saat secara keseluruhan.

Dan dua saat tambahan ini dikenali sebagai "saat lompat" yang ditambah pada 30 Jun dan sekali lagi pada 31 Disember pada tahun yang sama.

Apa itu saat lompat?

Dari masa ke masa, saat lompat ditambahkan pada jam di Bumi untuk menyamai masa suria yang diperhatikan dengan lebih tepat.

Ini disebabkan oleh hakikat bahawa putaran Bumi mengelilingi paksi dan revolusinya mengelilingi matahari adalah tidak tepat dan berbeza-beza dari tahun ke tahun.

bumi berputar atas paksi

Putaran Bumi semakin perlahan, yang menyebabkan jam di Bumi tidak selari.

Secara purata, satu hari Bumi adalah kira-kira 0.002 saat lebih lama daripada tempoh 24 jam.

Walaupun perbezaan ini tersangat kecil, namun ia bertambah dan berkembang kepada satu saat dalam kira-kira 1.5 tahun.

Dan untuk memastikan jam diselarikan dengan hari suria sebenar, kita perlu menambah satu saat tambahan setiap beberapa tahun.

Dengan menambahkan satu saat tambahan pada kiraan masa, kita menghentikan jam kita untuk saat itu untuk memberikan Bumi peluang untuk mengejarnya,

Secara purata, saat lompat dimasukkan kira-kira setiap 21 bulan, tetapi kerana kelajuan putaran Bumi berbeza-beza sebagai tindak balas kepada peristiwa iklim dan geologi, saat lompat adalah jarak yang tidak teratur dan tidak dapat diramalkan.

saat lompat fenomena memanjangkan tahun 1972

Setiap tahun, Perkhidmatan Sistem Putaran dan Rujukan Bumi Antarabangsa (IERS) memutuskan sama ada untuk menambahnya atau tidak.

Jika badan antarabangsa yang bertanggungjawab untuk mengekalkan piawaian masa dan kerangka rujukan global menentukan bahawa satu saat lompat sudah tiba masanya, ia akan ditambah sama ada pada 30 Jun atau pada 31 Disember.

1972 adalah tahun di mana sistem ini diperkenalkan dan merupakan satu-satunya tahun di mana dua saat lompat ditambah.

Sehingga hari ini, terdapat 27 saat lompat digunakan, yang paling terkini pada 31 Disember 2016.

Masa depan saat lompat

mengapa tahun 1972 tahun paling panjang dalam sejarah 11

Banyak badan antarabangsa mencadangkan agar saat lompat ini dihapuskan disebabkan masalah yang dicetuskannya. Banyak sistem komputer gagal kerana perisian tidak dapat mengendalikan saat tambahan.

Intercontinental Exchange, badan induk kepada 7 pertubuhan jurubank dan 11 bursa saham termasuk Bursa Saham New York, tergendala selama satu jam apabila saat lompat ditambah kepada 30 Jun 2015.

Pada tahun yang sama, beberapa kegagalan rangkaian berlaku melibatkan router di seluruh dunia yang menyebabkan gangguan terhadap pelbagai perkhidmatan utama seperti Twitter, Instagram, Pinterest, Netflix dan Amazon.

Mereka yang menentang saat lompat ini telah mencadangkan mengekalkan Masa Atom Antarabangsa (TAI) dan Sistem Kedudukan Global (GPS), yang digunakan oleh sistem komputer, berasingan daripada Masa Selaras Sejagat (UTC).

Sebagai contoh, komputer sentiasa boleh mengambil data TAI dan menukarnya kepada UTC yang boleh dibaca manusia atau waktu sivil tempatan apabila perlu tanpa menyebabkan UTC mengubah masa atom.

Kumpulan lain membantah bahawa penambahan saat lompat tidak diperlukan kerana perbezaan antara masa suria dan masa atom terlalu kecil.

Rujukan:

1. Yahoo

2. Reader's Digest

3. Planet

4. NY Times



Hakcipta iluminasi.com (2017)