Oleh pada 26 May 2018 kategori

Firaun adalah raja Mesir yang hidup sekitar ribuan tahun lalu. Antara yang terkenal dalam kalangan firaun ini adalah firaun Tutankhamun. Terdapat banyak fakta menarik tentang baginda yang ramai tak tahu, dan artikel ini bakal memberi sedikit pencerahan kepada anda tentang firaun ini. 

1. Usia Tutankhamun Ketika Menaiki Takhta

firaun tutankhamun 185

Tutankhamun diangkat menaiki takhta sebagai firaun Mesir Purba ketika berusia sekitar 8 atau 9 tahun. Sebagai firaun yang masih muda, kemungkinan besar kebanyakan keputusan melibatkan kerajaan tersebut telah dibuat oleh dua orang figura besar pada ketika itu, iaitu Ay (ayah kepada firaun Nefertiti), dan Horemheb (seorang komander tentera).

2. Kemangkatan Tutankhamun di Awal Usia

Mula memerintah ketika di awal usia, Tutankhamun juga tidak memerintah untuk suatu tempoh yang lama. Baginda hanya sempat berada di atas takhta selama sepuluh tahun, sebelum meninggal dunia ketika masih lewat remaja. Pemerintahan baginda dianggarkan antara tahun 1333 BC hingga 1324 BC.

3. Sebab Kemangkatan Tutankhamun

kemangkatan tutankhamun

Sejak bertahun lamanya, para saintis telah menggunakan pelbagai teknologi terkini ke atas mumia Tutankhamun bagi menentukan sebab sebenar kematian baginda. Terdapat dua buah teori tentang yang menyebabkan kematiannya. Teori pertama menyatakan sebab utama beliau mangkat adalah akibat satu pukulan atau daya kuat ke belakang kepalanya. Pukulan tersebut tidak dapat dipastikan sama ada disebabkan oleh kemalangan, ataupun disengajakan. Teori kedua menyebut tentang kepatahan atau keretakan kaki baginda, yang akhirnya menyebabkan jangkitan kuman dan kematian beberapa hari kemudian.

4. Perkahwinan Sumbang Mahram Tutankhamun

Bagi menjaga keturunan, perkahwinan sumbang mahram adalah perkara biasa dalam kalangan pemerintah diraja Mesir purba. Terdapat bukti yang menunjukkan Tutankhamun telah mengahwini kakak kandungnya sendiri. Bapa Tutankhamun, iaitu Akhenaten mempunyai dua orang isteri, iaitu Nefertiti dan Kira. Nefertiti melahirkan Ankhesenpaaten, manakala Tutankhamun adalah anak kepada Kira. Disebabkan mereka sebapa, Ankhesenpaaten dan Tutankhamun adalah adik beradik kandung. Mereka dipercayai berkahwin antara satu sama lain. 

5. Kepercayaan Agama Tutankhamun

kepercayaan tutankhamun

Tutankhamun dilahirkan dengan nama Tutankhaten. Bapanya, Akhenaten mahukan masyarakat Mesir untuk menyembah satu Tuhan, iaitu Tuhan Matahari Aten, berbanding beberapa Tuhan yang menjadi amalan mereka pada waktu itu. Perkataan 'Aten' pada nama mereka merujuk kepada 'hamba kepada Aten', dan nama Tutankhaten pula bermaksud 'imej hidup Aten'.

Perubahan yang dibawa bapanya tidak digemari oleh kebanyakan pihak, dan apabila baginda sendiri memerintah, Tutankhamun kembali menukar segalanya kepada keadaan sedia ada. Baginda membuka semula kuil-kuil yang diharamkan sebelumnya, dan menukarkan namanyak kepada Tutankhamun.

6. Percubaan Untuk Menghapuskan Legasi Tutankhamun

Walaupun menjadi salah seorang firaun Mesir yang terkenal dalam kalangan masyarakat moden hari ini, dipercayai terdapat usaha untuk menghapuskan bukti pemerintahan Tutankhamun sebaik sahaja kemangkatannya. Firaun yang mengambil alih tampuk pemerintahan selepas Tutankhamun adalah Horemheb, dan baginda adalah firaun yang cuba untuk menukarkan nama Tutankhamun kepada namanya pada kebanyakan monumen yang dibina. 

7. Mumia Tutankhamun Masih Kekal Utuh 

mumia tutankhamun tetap utuh

Makam Tutankhamun telah ditemui pada 4 November 1922 oleh seorang ahli pengkaji sejarah Mesir purba, iaitu Howard Carter. Ketika ditemui, makam Tutankhamun masih berada dalam keadaan baik, seolah-olah dijaga dengan rapi, dan mumia baginda pula masih utuh. Makam tersebut terletak di Lembah Raja-Raja di Luxor, Mesir. Topeng pengembumian Tutankhamun yang terkenal kini dipamerkan kepada orang awam di Muzium Mesir di Kaherah, di dalam satu-satunya bilik berhawa dingin di bangunan berkenaan. 

8. Saiz Badan Tutankhamun

Imbasan CT (computed tomography scan) ke atas mumia Tutankhamun pada tahun 2005 mendedahkan maklumat tentang ketinggian baginda, iaitu sekitar 180 sentimeter. Dari segi tubuh badan, baginda seorang yang sasa dan mendapat nutrien makanan yang secukupnya. 

9. Zuriat Tutankhamun

Perkahwinan Tutankhamun dengan kakaknya Ankhesenpaaten tidak mempunyai zuriat, walaupun isterinya itu telah mengalami keguguran sebanyak dua kali. Mayat kedua-dua bayi perempuan yang mati di dalam perut itu telah dimumiakan dan diletakkan di dalam dua buah keranda kecil di dalam makam Tutankhamun. 

10. Sumpahan Firaun Tutankhamun

sumpahan tutankhamun

Beberapa kejadian pelik telah dilaporkan selepas penemuan makam Tutankhamun, dan selepas isinya dikeluarkan. Sokongan kewangan bagi projek pencarian makam tersebut oleh Howard Carter telah diperolehi daripada Lord Carnarvon. Pada April 1923, beberapa minggu selepas pembukaan rasmi bilik pengebumian Tutankhamun, Carnarvon telah meninggal dunia akibat gigitan nyamuk di bahagian pipinya. 

Selepas membuka topeng kematian Tutankhamun, telah ditemui luka pada bahagian yang sama di pipi firaun tersebut. Ketika kematian Carnarvon, seluruh lampu di Kaherah telah terpadam. Namun ada yang berpendapat itu adalah kejadian yang biasa di sana. Pada waktu yang sama juga, di rumah Carnarvon di England, anjingnya telah menggonggong dan mati secara tiba-tiba.

Selain itu, pada hari yang sama pembukaan makam tersebut, haiwan peliharaan Howard telah mati dimakan seekor ular. Media juga telah mengeluarkan spekulasi bahawa terdapat beberapa orang yang terlibat dengan pembukaan makam Tutankhamun telah mati tidak lama kemudian. Namun ramai yang menyangkal spekulasi berkenaan kerana kebanyakan yang mati itu sudah berumur pada waktu tersebut, dan ada yang memang tidak sihat.

Sumber:

  1. tenfactsabout.co.uk



Hakcipta iluminasi.com (2017)