Setiap daripada pembaca Iluminasi pasti tahu apa itu kiub Rubik, atau setidak-tidaknya pernah melihat permainan ini sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka. Permainan kiub Rubik ini dianggap sebagai sebuah permainan yang sangat mencabar minda.

Malah, ibu bapa juga digalakkan memberi dan mendedahkan anak-anak mereka dengan permainan ini pada usia yang muda kerana ianya bukan sahaja membentuk kreativiti pemain, malah menggalakkan mereka berfikir dengan pantas dan kritis.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagi peminat permainan ini, mereka sememangnya akan berusaha untuk menyelesaikan permainan ini sepantas yang mungkin. Malah, seseorang yang sudah mahir bermain Rubik juga biasanya akan cuba untuk bermain kiub rubik yang lebih sukar dan besar saiznya seperti 4x4x4, 5x5x5 dan sebagainya.

Namun, bagi yang tidak tahu bagaimana menyelesaikan kiub Rubik ini, permainan ini sangatlah dibenci. Hal ini kerana mereka tahu tidak kira apa saiz kiub Rubik sekalipun, mereka pasti tidak dapat menyelesaikannya.

Malah, mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa sebahagian besar manusia langsung tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan permainan rubik ini. Tahukah anda sejarah dan asal-usul permainan kiub Rubik ini?

Asal-usul nama kiub Rubik

erno rubik

Jadi, siapakah sebenarnya yang mencipta kiub Rubik ini? Insan yang bertanggungjawab mencipta kiub Rubik ini adalah seorang lelaki bernama Erno Rubik. Ya, nama "Rubik" itu diberikan kepada kiub ini sempena mengambil nama penciptanya.

Ketika idea untuk mencipta kiub Rubik ini muncul, beliau merupakan seorang pensyarah yang mengajar subjek arkitektur dan rekabentuk di Hungary pada tahun 1974. Menariknya, kiub rubik bukanlah asalnya dicipta sebagai sebuah permainan untuk menguji minda sebaliknya sebagai alat bantu mengajar buat anak-anak muridnya.

Hanya sebagai alat bantuan mengajar

rubik kayu

Kiub rubik diciptanya bagi memudahkannya membuat ilustrasi visual rekabenduk dalam bentuk 3 dimensi. Falsafah beliau dalam pemciptaan kiub ini adalah, sesuatu masalah yang kompleks tidak dapat diselesaikan sekiranya kita tidak memahaminya secara mendalam.

Menurutnya lagi, sekiranya kita betul-betul memahami sesuatu masalah dan tahu cara menguruskannya, ia akan menjadi begitu mudah. Begitu jugalah dengan perihal permainan kiub rubik ini. Bagi yang langsung tidak tahu bagaimana menyelesaikannya, berilah sebanyak manapun masa pasti tidak akan dapat menyelesaikan permainan ini.

Pada peringkat awal, beliau sendiri menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan kiub Rubik ciptaannya. Malah, pada awalnya beliau mengambil masa selama 1 bulan untuk menyelesaikannya. Tempoh masa yang panjang ini kerana beliau mahu memastikan sebenar-benarnya bagaimana mahu menyelesaikannya.

Usaha mengkomersilkan kiub Rubik sebagai sebuah permainan

sejarah rubik

Pada awalnya juga, beliau sendiri tidak menganggap kiub ini sebagai sebuah permainan. Sebaliknya, beliau menganggapnya sebagai sebuah hasil seni. Menariknya, beliau juga tidak memberi nama kiub ini sebagai "Kiub Rubik" sebaliknya hanya menggelarnya "Kiub Magis" kerana menganggapnya begitu unik.

Walau bagaimanapun, ramai menggelarnya kiub Rubik dan kerana keunikan namanya itu, beliau telah mempatenkan namanya terhadap kiub ciptaannya itu. Pada awalnya, beliau menghadapi kesukaran untuk mencari rakan kongsi dan syarikat yang mahu bekerjasama dengannya untuk mengkomersilkan ciptaannya ini.

Hal ini kerana tiada siapa yang menganggap kiub Rubik sebagai sebuah permainan. Malah, ramai menganggapnya sebagai sebuah "puzzle" yang sukar untuk diselesaikan. Ramai pihak menjangkakan ianya tidak akan laku apabila dijual.

selesaikan kiub rubik 871

Pelbagai cara dilakukan untuk mempromosikan permainan ini termasuklah melalui iklan-iklan komersial. Malah, permainan ini juga kerap kali dipamerkan dalam acara pameran permainan antarabangsa. Akhirnya, permainan ini berjaya menarik perhatian syarikat Ideal Toy Company dan penjual mainan, Tom Kremer.

Sejak dijual secara rasmi pada tahun 1980, dianggarkan 450 juta unit kiub Rubik telah terjual di seluruh dunia. Malah, penciptanya Erno Rubik sendiri terkejut dengan sambutan orang ramai terhadap ciptaannya itu. Permainan kiub Rubik juga sudah beberapa kali dipaparkan dalam filem dan rancangan televisyen.

Pertandingan kiub Rubik di seluruh dunia

pertandingan rubik

Kiub Rubik bukanlah setakat sebuah permainan semata-mata. Malah, ianya juga sudah dijadikan sebuah cabaran dimana terdapat banyak penganjuran pertandingan berkaitan kiub Rubik yang dianjurkan di seluruh dunia. Malah, setiap peserta juga sanggup menghabiskan masa berlatih selama berbulan-bulan untuk meningkatkan kemahiran mereka menyelesaikan kiub Rubik dengan pantas.

Erno Rubik sendiri kagum bagaimana terdapat ramai manusia yang mampu menyelesaikan permainan ini dengan begitu pantas sekali. Untuk rekod, rekod terpantas dunia menyelesaikan Rubik dipegang oleh Feliks Zemdeng daripada Australia yang mencatatkan masa 4.22 saat pada bulan Mei 2018.

Masa depan kiub Rubik

panduan kiub rubik

Walaupun sudah muncul pelbagai mainan dan permainan video pada masa kini, populariti kiub Rubik nampaknya masih lagi tidak menurun. Hal ini kerana permainan ini masih kekal relevan dan unik berbanding permainan-permainan yang lain. Malah, jualannya untuk tahun 2017 sahaja mencecah $250 juta.

Disesetengah tempat kiub Rubik juga masih digunakan sebagai alat bantuan mengajar. Bagi yang tidak memahami permainan ini, anda mungkin merasakan ianya begitu membosankan dan mengakibatkan tekanan semata-mata.

sejarah permainan genius rubik kiub

Sekiranya anda berminat untuk belajar menyelesaikannya, sebenarnya telah banyak panduan dan tips mengenai kiub Rubik ini yang wujud di internet. Apa yang perlu anda lakukan adalah memahaminya dan cuba menyelesaikannya tanpa kenal erti putus asa.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Telegraph
  3. Encyclopaedia Britannica
  4. Quora



Hakcipta iluminasi.com (2017)