Oleh pada 21 Aug 2018 kategori

cahaya biru rosakkan mata

Penggunaan telefon pintar atau tablet di atas katil pada waktu malam sememangnya dikenali sebagai punca sukar tidur dan tidak mendapat tidur yang mencukupi. Lampu daripada telefon pintar ini juga dikatakan penyebab kepada kerosakan mata, menyebabkan mata menjadi rabun.

Walau bagaimanapun, sebelum ini tiada kajian saintifik yang mampu menyokong dakwaan ini. Sehinggalah baru-baru sebuah laporan yang diterbitkan bertajuk "Blue light excited retinal intercepts cellular signaling " dapat memberikan sebab saintifik mengapa warna biru daripada telefon pintar ini dapat merosakkan mata pengguna.

Dr. Ajith Karunarathne, pembantu professor dari Jabatan Kimia dan Biokimia daripada University of Toledo dan merupakan salah satu penulis laporan tersebut menerangkan, "Memang lampu berwarna biru dapat merosakkan mata kerana ianya dapat merosakkan bahagian retina mata. Experimen yang dijalankan oleh pasukan kami akan menerangkan bagaimana perkara ini terjadi".

Bagaimanakah kerosakan pada retina mata terjadi?

bahagian mata

Manusia dapat melihat sekeliling mereka dengan bantuan bahagian-bahagian yang terdapat pada mata yang membantu mendapatkan informasi daripada sekeliling dan menghantarnya dalam bentuk signal ke otak.

Bagi memahami bagaimana retina boleh rosak disebabkan oleh cahaya biru, adalah penting untuk memahami mekanisma penglihatan ini bermula daripada cahaya yang masuk ke mata sehinggalah bagaimana ia sampai ke otak.

Apabila cahaya memasuki bahagian kornea mata, kornea akan membias cahaya ini dan iris akan mengawal pembukaan pupil yang melebar atau mengecil untuk mengawal jumlah cahaya yang melaluinya. Bahagian iris inilah bahagian yang memberikan warna pada mata seperti hitam, coklat, biru dan sebagainya.

Apabila cahaya sudah menembusi pupil, ianya akan difokuskan pula ke bahagian kanta mata (lens). Kemudian, kanta mata (lens) akan memfokuskan pula cahaya tersebut ke bahagian retina mata. Retina adalah sejenis tisu yang sensitif kepada cahaya (photosensitive tissue) yang mengandungi sel photoreceptor (photoreceptor cells).

Sel photoreceptor inilah yang membantu menukarkan cahaya kepada signal elektrik dan kemudian disalurkan melalui sarat optik ke bahagian otak. Di otak, informasi yang diterima ini akan diproses oleh korteks visual. Tanpa kewujudan retina dan sel photoreceptor, informasi visual yang diterima oleh mata tidak akan mencetuskan tindak balas biokimia yang mengaktifkan otak untuk memproses maklumat tersebut.

Keupayaan retina ini juga adalah disebabkan oleh kewujudan molekul retinal, iaitu satu jenis bentuk Vitamin A, yang akan menukarkan cahaya kepada signal elektrik yang kemudiannya akan dihantar ke otak.

Hasil dapatan eksperimen mengenai pendedahan kepada cahaya biru

sebab mata rabun

Setelah memahami bagaimana cahaya diproses oleh mata dan otak seperti diterangkan di atas, maka lebih mudah untuk memahami bagaimana cahaya biru daripada telefon pintar boleh merosakkan mata.

Menurut Dr. Ajith Karunarathne, manusia memerlukan bekalan berterusan molekul retinal untuk terus melihat. Photoreceptors tidak dapat berfungsi tanpa kewujudan molekul retinal ini. Dalam kajian ini, para saintis telah mendedahkan retinal kepada beberapa jenis cahaya seperti biru, merah, kuning dan hijau.

Mereka dapati apabila retinal didedahkan kepada lampu biru, ianya akan mencetuskan satu reaksi yang menyebabkan retinal menghasilkan reactive oxygen species (ROS), sejenis molekul kimia beracun yang akan membunuh sel photoreceptor.

Selain itu, perlu diketahui bahawa sel photoreceptor ini tidak dapat dihasilkan semula oleh mata. Oleh itu, apabila ianya sudah mati, maka tiada sel photoreceptor baru yang akan terhasil. Bagi membuktikan teori ini, para saintis ini juga telah mengulang eksperimen ini dengan mendedahkan retinal ini dengan beberapa sel lain seperti sel kanser, sel hati dan neurons.

Eksperimen yang dibuat mendapati bahawa apabila sel-sel ini dicampurkan dengan retinal yang terdedah kepada cahaya biru, sel-sel tersebut juga akan mati. Sekiranya sel-sel tersebut dicampurkan dengan retinal yang didedahkan kepada cahaya berwarna selain biru seperti hijau, merah, kuning ianya tidak akan memberi sebarang kesan.

Kesimpulannya, retinal yang terdedah kepada cahaya biru boleh menjadikannya bertoksik dan boleh membunuh apa sahaja jenis sel. Paling menakutkan, retinal bukan sahaja terdapat pada bahagian mata tetapi juga bahagian tubuh yang lain. Oleh itu, kesan retinal bertoksik ini juga mungkin memberi kerosakan pada bahagian tubuh yang lain.

Tips untuk mengelakkan mata anda cepat rosak

cahaya biru

Secara semulajadinya, tahap penglihatan manusia semakin berkurang apabila meningkat usia mereka. Perkara ini adalah disebabkan degenerasi makula, bahagian pada retina yang bertanggungjawab untuk penglihatan utama yang membolehkan manusia mengenalpasti wajah dan membaca. 

Penurunan kadar penglihatan secara semulajadi ini biasanya terjadi apabila manusia mencecah umur 50-an. Oleh itu, pendedahan mata kepada cahaya biru daripada telefon pintar sebenarnya akan membercepatkan lagi kadar degenerasi makula ini.

Dalam kajian ini juga, didapati alpha tocopherol, iaitu derivatif daripada vitamin E dan antioksidan semulajadi yang terdapat pada mata dan badan, boleh membantu menghentikan sel photoreceptor daripada mati. Walau bagaimanapun, kesannya juga semakin berkurang apabila meningkat usia kerana sistem imunisasi badan juga semakin lemah.

Oleh itu, bagi menjaga tahap penglihatan mata, para saintis ini mencadangkan supaya mengurangkan dan mengelakkan penggunaan telefon pintar di tempat yang gelap serta menggunakan cermin mata hitam yang boleh menapis sinaran UV dan cahaya biru.

Kredit:

  1. Scientific Reports
  2. The Independent
  3. Forbes

tags : , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)