Dalam artikel 7 Karya Lukisan Termahal Pernah Dijual Dalam Sejarah, lukisan karya Willem de Kooning dari Belanda mengungguli carta lukisan termahal di dunia yang pernah dijual, dengan harga RM1.28 billion.

Namun, rekod itu telah dipecahkan baru-baru ini berikutan penjualan lukisan yang diberi nama "Salvator Mundi" hasil karya pelukis agong Leonardo da Vinci. Hasil karya yang ditemui semula kurang sedekad lalu itu merupakan milik Dmitry Rybolovlev, seorang ahli perniagaan dari Rusia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

lukisan termahal di dunia salvator mundi 866

Ia dijual dengan harga RM1.837 billion (RM1.631 billion untuk lukisan, RM205.2 juta untuk yuran) melalui lelongan oleh Christie's di New York pada 15 November 2017 dan dibeli oleh Putera Bader bin Abdullah, Jabatan Kebudayaan & Pelancongan Abu Dhabi. Nilai itu dikatakan lebih daripada 3 kali ganda apa yang diramalkan oleh kebanyakan pakar, iaitu RM490 juta.

Salvator Mundi adalah perkataan dalam bahasa Latin yang bermaksud Penyelamat Dunia. Ia menggambarkan Jesus Christ atau Nabi Isa yang berpakaian zaman Renaissance, sedang memberi rahmat melalui tangan kanannya sambil memegang batu kristal di tangan kirinya, melambangkan peranannya sebagai penyelamat dunia dan tuhan kosmos.

Ia juga mewakili "sfera kristal" dari syurga seperti yang dilihat pada zaman Renaissance. Ia merupakan salah satu daripada 20 karya Leonardo yang diketahui umum, dan merupakan satu-satunya karya yang kekal sebagai hak milik peribadi.

salvator mundi dikatakan dilukis sekitar tahun 1500

Salvator Mundi dikatakan dilukis oleh Leonardo da Vinci untuk Louis XII (Raja Perancis dari 1498 hingga 1515) dan isterinya, Anne dari Brittany, sekitar tahun 1500 sejurus selepas penaklukan wilayah Milan dan mengambil alih Genoa pada Perang Itali Kedua. Ketika itu, Leonardo berpindah dari Milan ke Florence.

Lukisan ini berpindah milik beberapa kali dalam tempoh 500 tahun, dan juga pernah hilang daripada rekod. Dan pada tahun 2005, lukisan ini dijual dengan harga RM40,500 oleh sebuah konsortium dalam sebuah lelongan di New Orleans, Amerika Syarikat.

Proses pemulihan Salvator Mundi

Ketika itu, lukisan ini kelihatan sangat teruk serta digambarkan sebagai gelap dan suram. Sebelum dipulihkan, ia dianggap sebagai salinan lukisan sebenar. Namun, konsortium tersebut juga percaya ada kemungkinan lukisan tersebut merupakan lukisan asli Leonardo da Vinci.

Dianne Dwyer Modestini menghabiskan beberapa tahun memulihkan lukisan ini di Universiti New York dan ia disahkan sebagai karya Leonardo. Lukisan terakhir yang disahkan hasil karya Leonardo adalah Benois Madonna, dijumpai pada tahun 1909.

tengku mahkota arab saudi mohammed bin salman

Pada tahun 2013, Yves Bouvier dari Switzerland telah membeli lukisan ini dengan harga RM306 juta dan kemudiannya dijual kepada Dmitry Rybolovlev dengan harga RM520 juta. Ia kemudiannya dipamerkan di San Francisco, London, New York dan Hong Kong pada tahun 2017 sebelum dijual pada November 2017.

Wall Street Journal melaporkan pembeli sebenar Salvator Mundi adalah Tengku Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, yang berwakilkan Putera Bader. Lukisan Salvator Mundi ini bakal dipamerkan kepada orang awam di muzium The Louvre Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

the louvre abu dhabi

Rujukan:

1. The Guardian [1] [2]




Hakcipta iluminasi.com (2017)