Dua orang jejaka dari United Kingdom telah mencipta sebuah rumah yang boleh berputar 360 darjah untuk menggunakan setiap ruang dengan begitu baik. Walaupun rumah kecil bersaiz 3 x 3 x 3 itu kedengaran seperti sempit dan menyesakkan nafas, namun ia lengkap dengan ruang masuk, ruang tamu, dapur dan bilik tidur.
Idea inovatif arkitek TV bernama George Clarke dan pereka bernama William itu dikuasakan oleh motor kerusi roda terpakai yang dibeli dari eBay. Rekaan rumah itu boleh memuatkan seorang individu bujang ataupun berpasangan. Mereka cuma perlu menekan butang untuk menukarkan ruang rumah itu.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun rumah berbentuk silinder itu boleh berputar melawan graviti, namun bilik mandi dan tandas yang terletak di bahagian belakang panel bilik kawalan masih dibiarkan statik.
Apa yang lebih menarik, segala pintu almari dan kabinet dipegang oleh lelabah elastik dan anak kunci perlu di'gantung' menggunakan dinding magnet. Begitu juga dengan ruang dapur di mana segala peralatan dilekatkan menggunakan magnet. Sinki dan ketuhar gelombang mikro juga disimpan di dalam kabinet.
Meja makan di dapur ini boleh menempatkan sehingga empat orang. Apabila dalam mod ruang tamu, meja ini akan bertukar menjadi sebuah TV yang besar. Meja dan TV ini juga akan bertukar serba guna menjadi katil pula dalam mod bilik tidur. Genius!
Dua rakan ini menyempurnakan rekaan rumah berkonsepkan angkasa lepas ini setelah melawat banyak tapak pesta untuk mengkaji permainan roda Ferris. Prototaip ini dibina hanya pada kos £50,000 - harga yang mampu dimiliki untuk sebuah rumah dengan ciri memaksimumkan penggunaan ruang.
Tidak seperti rumah biasa, rumah moden ini menggunakan setiap penjuru dan ruang. Maka, penghuni tidak akan ada masalah rumah bersawang atau habuk teruk. Tonton sendiri bagaimana rumah ini berpusing hanya dengan satu butang.
Walaupun canggih, pada pendapat saya, rumah ini lebih sesuai diduduki oleh seorang sahaja individu. Kalau tinggal bersama pasangan di sini, rasanya akan menjadi sedikit sukar. Cuba bayangkan situasi di mana seorang sedang khusyuk makan di dapur manakala seorang lagi terlalu mengantuk dan mahu masuk tidur cepat. Mungkin boleh tercetus lagi satu perang dunia.