Seorang peguam dari firma guaman yang mempunyai kepakaran selama lebih 20 tahun dalam kes-kes saman melibatkan penyakit bawaan makanan telah berkongsi senarai 6 makanan yang beliau tidak akan makan.

Menurut Bill Marler, makanan-makanan ini paling berisiko tinggi untuk menyebabkan keracunan. Disebabkan itu, beliau tidak akan sesekali memakannya.

#1 Susu segar atau jus yang tidak dipasteurkan

BESARKAN TEKS     A-  A+

susu mentah tidak dipasteurkan keracunan makanan

Susu 'mentah' yang diambil terus dari ladang dan tidak dipasteurkan boleh tercemar dengan bakteria, virus dan parasit. Antara tahun 1998 sehingga 2011, terdapat sebanyak 148 kes keracunan berkaitan susu mentah di Amerika Syarikat.

Salah satu kes terawal Marler ketika menjadi peguam adalah pada tahun 1996 semasa berlakunya epidemik E.Coli. Ia berpunca daripada jus epal yang tidak dipasteurkan di bawah jenama Odwalla.

#2 Tauge mentah

koay teow tauge mentah keracunan makanan

Tauge mentah atau yang dimasak ala kadar sahaja telah menyebabkan 19 orang pesakit dibawa ke hospital akibat keracunan salmonella pada tahun 2014.

Kesemua jenis tauge termasuklah alfalfa, klover, kacang hijau dan lain-lain boleh menyebarkan jangkitan yang berpunca daripada kontaminasi pada biji benih. Jadi, pastikan tauge dimasak sepenuhnya sebelum dimakan.

#3 Daging mentah atau separuh masak

daging steak keracunan makanan separuh masak mentah

Bill Marler hanya memakan burger dan steak daging yang dimasak sepenuhnya sehingga sekurang-kurangnya 71 darjah Celsius. Jika tidak, ia boleh menyebabkan keracunan makanan yang berpunca daripada E.coli, salmonella dan bakteria lain.

Menurut Marler lagi, perbuatan mencucuk-cucuk atau membuat selaran untuk memecahkan fiber pada permukaan daging bagi membuatkan ia lebih lembut juga boleh menyebabkan bakteria berpindah dari permukaan daging dan masuk lebih dalam.

#4 Buah dan sayuran yang siap potong

buah siap potong sayur siap basuh sedia untuk dimakan keracunan makanan

Apabila sesuatu makanan disiapkan dan diproses oleh manusia, ia semakin berisiko untuk dicemari. Ramai orang yang mendapati salad yang sedia untuk dimakan dan buah yang siap dipotong memudahkan kehidupan. Namun, kemudahan ini dianggap tidak berbaloi jika ia melibatkan nyawa. Belilah buah yang belum dicuci dan potong sendiri di rumah.

#5 Telur mentah atau separuh masak

telur separuh masak keracunan makanan

Tidak dinafikan orang Malaysia memang amat menggemari telur separuh masak. Kalau di kedai mamak, boleh memesan sehingga 3-4 biji sekali makan.

Namun adakah anda masih ingat penyebaran wabak salmonella sekitar tahun 1980-an dan awal 90-an yang berpunca daripada telur dulu? Jika anda berhenti makan telur mentah ketika itu, ada baiknya jika anda teruskan amalan itu. Pada tahun 2010 sahaja sekitar 2,000 kes keracunan telur yang tercemar dengan salmonella. Untuk keselamatan diri dan keluarga, rebus telur hingga masak sepenuhnya.

#6 Tiram dan kerang-kerangan mentah

makan tiram oyster mentah keracunan makanan

Kerang-kerangan mentah, terutama sekali tiram (oysters) lebih banyak mengakibatkan keracunan makanan lewat kebelakangan ini. Bill Marler mengaitkan kejadian ini dengan kenaikan suhu air yang lebih menggalakkan pertumbuhan bakteria.

Tiram hanya akan memakan apa sahaja yang terkandung dalam air. Jika ada bakteria dalam air, ia akan memasuki ke dalam sistem tiram dan boleh menyebabkan bahaya jika anda pula memakan tiram yang mentah.

Dalam Islam, kita ditegah memakan sesuatu yang boleh memudaratkan. Kalau dah tahu makanan mentah itu boleh mendatangkan bahaya, kalau boleh elakkanlah.

Berhati-hati sebelum makan!

Rujukan: Food Poison Journal




Hakcipta iluminasi.com (2017)