Untuk lebih dari 120 tahun, Kolej Norland di England terkenal sebagai sekolah latihan pengasuh yang paling berprestij di dunia.
Mungkin ada yang tidak percaya, namun graduan yang menamatkan pengajian pengasuhan di Kolej Norland diambil bekerja dengan keluarga-keluarga kaya dan menerima bayaran lebih daripada RM420,000 setahun atau RM35,000 sebulan, menjadikan mereka sebagai pengasuh kanak-kanak paling mahal di dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
Ditubuhkan pada akhir 1800-an oleh Emily Ward yang menyedari bahawa tidak ada latihan penjagaan kanak-kanak rasmi pada masa itu, Kolej Norland dengan pantas menjadi sekolah latihan pengasuh paling terkenal di dunia.
(Emily Ward, pengasas Kolej Norland)
Emily mempunyai sasaran iaitu mahu mendorong golongan wanita yang lebih baik dan berpendidikan untuk memasuki barisan perkhidmatan domestik.
Antara mereka yang mendapatkan khidmat daripada graduan kolej ini termasuklah keluarga Diraja England dan pasangan berada yang mencari perkhidmatan pengasuhan terbaik yang boleh dibayar dengan wang ringgit.
Malah, dengan kemahiran yang tinggi, terdapat graduan Kolej Norland yang menerima bayaran setinggi RM714,000 setahun atau RM59,500 sebulan.
Tidak cukup dengan itu, para pelajar kolej ini juga mendapat RM160,000 ketika latihan elit mereka.
Jumlah ini adalah lebih daripada 4 kali purata gaji seorang pengasuh di United Kingdom, dan bayaran ini dilihatkan wajar untuk kurikulum unik yang diajar di Kolej Norland.
Dengan bayaran yang tersangat mahal, kemahiran seperti memasak dan menjahit graduan semestinya berada di tahap tertinggi.
Malah mereka juga mampu menguruskan kemarahan dengan cekap dan menggunakan taktik penghindaran krisis.
Tidak cukup dengan itu, para pelajar juga dilatih seni mempertahankan diri, kemahiran memandu khas, keselamatan siber dan memanah.
Dilatih untuk melindungi diri mereka sendiri dan anak-anak dalam jagaan mereka, pengasuh dari Kolej Norland adalah sebahagian daripada golongan elit.
Selain daripada adab dan kemahiran mengurus anak yang sempurna, pengasuh elit ini dilatih untuk menangani situasi yang paling tidak dijangkakan.
Mereka biasanya bekerja untuk majikan berprofil tinggi dan sememangnya diharapkan dapat menangani kemungkinan ancaman, seperti cubaan menculik.
Bagi salah seorang graduan Kolej Norland iaitu Alice, dia pernah berhadapan dengan cubaan menculik.
"Ia sangat menakutkan, tetapi sebab inilah saya rasa ibu bapa mengambil pengasuh dari Kolej Norland, kerana kami diberi latihan yang luas untuk senario buruk ini. Juga kerana dunia luar sangat menakutkan dan kami menjaga anak-anak ini seperti barang berharga," kata Alice.
Malah, pengasuh dari Kolej Norland digambarkan sebagai gabungan antara seorang pengasuh dan juga James Bond.
Namun, belajar di Kolej Norland tidak semudah yang disangka di mana pelajar perlu menghabiskan masa 4 tahun untuk menjadi pengasuh Norland yang berkelayakan penuh.
Ia termasuklah 3 tahun pengajian diikuti dengan penempatan selama setahun bersama sebuah keluarga.
Malah, kos pengajian adalah agak tinggi iaitu mencecah RM85,000 setahun dan jumlah ini dilaporkan lebih mahal daripada belajar di universiti Oxford atau Cambridge.
Walaubagaimanapun, semua ini berbaloi dan menarik lebih ramai calon kerana pendapatan yang diterima secara purata adalah sekitar RM232,000 setahun, melebihi pendapatan seorang akauntan atau peguam.
Selain itu, mampu membayar yuran yang mahal bukanlah penentu calon diterima masuk ke Kolej Norland.
Biasanya, permohonan kemasukan adalah lebih tinggi berbanding tempat yang ada, jadi calon-calon perlu melalui temuduga di mana beberapa kualiti akan diuji termasuklah penyayang, baik, jujur, kreatif, bertanggungjawab dan keteraturan.
Pengalaman pengasuhan kanak-kanak sebelumnya juga sangat penting, jadi pengalaman menjadi sukarelawan di pusat asuhan kanak-kanak adalah sangat berharga.
Meskipun menjadi pengasuh paling mahal di dunia dengan perbezaan gaji yang sangat besar, permintaan terhadap pengasuh dari Kolej Norland jauh melebihi daripada bekalan yang ada.
Permintaan terhadap pengasuh elit dari kolej ini terlalu tinggi sehinggakan seorang graduan mempunyai sekurang-kurangnya 6 tawaran pekerjaan menanti mereka selepas tamat pengajian.
Walaupun kebanyakan daripada graduan Kolej Norland bekerja untuk keluarga-keluarga kaya di London, permintaan terhadap pengasuh elit ini juga datang dari luar England terutamanya China, Amerika Syarikat dan juga Timur Tengah.
Dan tidak lama lagi, kolej ini akan menerima status universiti, sekaligus menjadi universiti pakar pertama di dunia.
Berminat untuk menjadi pengasuh elit dengan gaji tinggi? Sila layari laman sesawang Kolej Norland.
Rujukan:
3. Oddity
4. Korea Herald