Dalam satu ke dua dekad dahulu, pengguna internet rata-ratanya tetap ada rasa bimbang memuatnaik bahan baik dalam bentuk maklumat, gambar atau video peribadi ke internet. 

Bagaimanapun seiring perkembangan media sosial memperkenalkan budaya perkongsian, 'sharing is caring' mula jadi kebiasaan.

Kini tinggal segelintir individu yang masih ada was-was tatkala mahu atau perlu berkongsi sesuatu yang peribadi. Majoriti kita tidak lagi rasa bimbang atau takut memuat naik apa saja bahan berkait kita, untuk dikongsi kepada 'likers' kita.

Apa pandangan anda jika kami katakan - dengan perkembangan AI atau kepintaran buatan yang ada sekarang, ada keperluan besar untuk kita kembali kepada cara lama, meminimumkan perkongsian kerana risiko yang kita belum sedar bahayanya? 

Manipulasi visual yang sudah sampai ke tahap gila

contoh imej hasil dreambooth

Jika anda peminat teknologi, pastilah anda sudah ada gambaran bagaimana sejarah manipulasi imej dalam bentuk digital berkembang lebih 3 dekad sebelum ini.

Bermula sebagai teknik membantu jurufoto menyembunyikan kecacatan dalam gambar, lama kelamaan kemajuan yang ada membolehkan pengguna mereka cipta sesuatu yang tidak ada, menjadi ada.

Dalam era tersebut tetap kedengaran bermacam kontroversi; khususnya berkaitan gambar kurang senonoh selebriti atau tokoh tempatan.

Timbul itu tersebut biasanya mengundang kepada perbincangan masyarakat tentang ketulenan gambar-gambar yang tersebar. Pakar-pakar visual grafik dijadikan rujukan dalam menentukan kesahihan sesuatu visual yang dikongsi. Ini kerana 2 ke 3 dekad sebelum ini, hanya seorang yang benar-benar pakar mampu menghasilkan imej-imej palsu.

Kebelakangan ini, garis pemisah di antara fantasi dan realiti sudah semakin kabur.

Sehinggakan ramai sudah 'mampu menerima' visual ciptaan AI yang seharusnya dilihat sebagai fantasi, menjadi sesuatu yang kita hargai sama seperti realiti.

Contoh paling mudah, penapis atau filter dalam aplikasi kamera kita yang mampu 'memperbaiki' wajah kita. Ramai suka gambar yang terhasil, walaupun kita tahu apa yang kita nampak itu palsu. 

Antara teknologi paling hebat dalam memanipulasi gambar adalah penjana imej AI Dreambooth; sebuah sistem janaan imej fantasi yang sangat berkuasa kerana mampu menjana imej hanya berdasarkan kepada beberapa sampel imej sahaja, menghasilkan imej yang ultra-realistik pada mata kita.

Eksperimen yang menjana individu fantasi

ai jana gambar mesir purba

Individu di atas merekacipta gambar dia mengembara ke zaman-zaman lain hanya dengan AI.

Ini dia di era Mesir purba.

Laman teknologi ArsTechnica mengeluarkan satu artikel berkenaan eksperimen mereka terhadap teknologi yang dimiliki Dreambooth berdasarkan satu fungsi yang dilabelkan sebagai 'fine tuning', yang dilapor cukup mengagumkan dan dalam masa sama - menakutkan. 

Dreambooth pada peringkat sekarang hanya memerlukan pengguna memuatnaik lima keping gambar, baik melibatkan manusia, haiwan, barangan atau apa saja yang anda rasakan sesuai ke pelayar untuk memulakan analisis.

ai jana gambar sejarah

Ini pula gambar individu sama semasa insiden kuda Trojan di Yunani

Selepas AI meneliti dan memproses data yang terkandung dalam setiap piksel yang ada, Dreambooth mampu menghasilkan koleksi imej, bergantung kepada sumber sampel gambar yang anda sediakan.

Realistik atau tidak, bergantung kepada permintaan anda.

Sebagai contoh gambar anjing di bawah dijana oleh Dreambooth. Bahagian kiri memaparkan sampel asal yang dimuatnaik, sementara bahagian kanan memaparkan gambar yang dijana. Susah nak bezakan bukan hasilnya?

anjing janaan ai

Dreambooth bukan saja mampu menjana visual realistik dalam satu perspektif bergantung sampel.

Sekiranya pengguna mahu, AI ini juga mampu merekabentuk visual daripada perspektif berbeza. Dalam contoh di bawah, lihat bagaimana AI mampu mencipta sendiri data yang tidak ada untuk membentuk badan kucing itu jika kita bandingkan dengan sampel asal.

kucing yang direkabentuk imej ai

ArsTechnica dalam artikel mereka menceritakan bagaimana cubaan menjana visual berkait seorang lelaki sebenar pada mulanya.

Tetapi disebabkan oleh betapa realistiknya imej yang terhasil dan rancangan mereka mahu menggambarkan individu itu dalam posisi kurang sesuai untuk tontonan umum - mereka akhirnya memilih untuk menggunakan AI untuk menjana terlebih dahulu wajah seorang lelaki fantasi bernama 'John' seperti gambar di bawah.

john training image arsetechnica

Gambar-gambar inilah yang digunakan oleh Dreambooth sebagai sampel bagi menghasilkan 'John' dalam pelbagai keadaan lebih pelik. Hasilnya?

Bagaimana fantasi menyerap ke dalam realiti

lelaki tua ciptaan ai

Gambar di atas dihasilkan daripada kata kunci 'seorang ahli falsafah Yunani lama'

Dreambooth tidak berhadapan masalah untuk menjana 'John' dalam apa saja posisi yang mereka taipkan termasuklah dalam situasi yang kurang enak.

Gambar di bawah adalah John dalam baju angkasawan dan memakai baju besi satria lama.

arsetechnica dreambooth john

Dua gambar di bawah pula adalah gambar John sedang berdiri di sebelah wanita yang tidak berpakaian dan gambar kanan pula, adalah John yang tidak berbaju sedang duduk di dalam sebuah kelas di sekolah.

Maaf kalau gambar ini menyinggung anda.

john arstechnica dreambooth

Menurut ArsTechnica, kemampuan AI yang terlalu cekap memudahkan sesiapa saja untuk menyalahguna teknologi yang ada.

Penyalahgunaan sebeginilah yang dikhuatiri akan berlaku di masa depan, kerana teknologi AI hanya memerlukan 5 keping gambar untuk menjana sesiapa saja dalam situasi buruk.

Bayangkan gambar anda disalahguna untuk meletakkan anda seakan sedang melakukan jenayah, berkelakuan sumbang atau apa saja perkara terkutuk yang mampu anda fikirkan.Dan gambar itu kemudiannya tular.

Apa yang perlu anda lakukan? 

demo keupayaan ai cipta imej realistik

Gambar di atas juga palsu. Nampak bagaimana ada kecacatan pada visual?

Tiada siapa mahu difitnah tetapi dengan kemajuan teknologi penjaan visual berasaskan AI yang ada - kami yakin teknologi sebegini pasti disalah guna untuk tujuan tidak elok.

Setakat ini penggiat teknologi berorientasikan keselamatan pengguna, telah membangunkan sistem yang mencetak penanda atau watermark pada imej yang dijana AI - namun sistem ini mudah dielakkan. 

Pihak berkuasa dan kerajaan juga ketika ini tampak belum bersedia untuk menangani isu yang bakal berbangkit berkait dengan teknologi sebegini. 

'Jenayah-jenayah' atau 'salahlaku' palsu yang direka hanya dengan AI perlulah boleh dikenalpasti, bagi melindungi hak orang ramai khasnya mangsa yang dianiaya.

Kesedaran orang ramai terhadap kemajuan teknologi yang sedang pesat berkembang menjadi benteng utama melindungi keselamatan kita semua.

Memang menakutkan bagaimana hanya dengan lima keping gambar kita, kita boleh 'diperlakukan' dalam bermacam gaya dan cara di mana-mana lokasi di seluruh dunia. Tetapi itulah nampaknya teknologi yang bakal menjadi antara teras masa depan kita.

Sekiranya anda risau anda menjadi mangsa, saranan kami kepada anda adalah untuk memadam apa saja visual berkait dengan diri anda dari internet sebelum teknologi ini sampai ke tahap pengguna biasa seperti kita. 

Mungkin dengan kembali kepada pemikiran cara lama sajalah mampu menyelamatkan kita daripada teknologi yang hebat, tetapi senang disalahguna jika jatuh ke tangan orang gila. 

Rujukan




Hakcipta iluminasi.com (2017)