Pernahkah anda terfikir, mengapa apabila usia semakin meningkat, suara kita semakin berubah? Yakni, mengapa suara seorang pak cik yang berusia 50 tahun berbeza dengan suara seorang lelaki dewasa yang berusia 30 tahun, sedangkan kedua-duanya lelaki dewasa?
Sekiranya mata kita tertutup dan terdengar perbualan antara mereka, kita tahu bahawa seorangnya muda dan seorang lagi lebih berusia. Teruskan membaca untuk memahami mengapa suara manusia berubah apabila usia meningkat.
BESARKAN TEKS A- A+
Akil Baligh
Baligh adalah sebuah proses kematangan seksual. Perubahan suara adalah antara salah satu ciri-ciri kedewasaan seseorang. Bagi kanak-kanak lelaki, perubahan ini berlaku ketika mereka berusia antara 12 hingga 16 tahun, manakala bagi perempuan, ianya berlaku ketika mereka mencapai usia 9 hingga 14 tahun.
Buat perempuan, antara tanda mereka mencapai tahap kedewasaan adalah membesarnya buah dada, manakala bagi lelaki, buah zakar yang membesar. Perubahan fizikal ini turut diikuti dengan perubahan suara.
Sebelum baligh, larynx atau lebih dikenali sebagai kotak suara, terletak pada kedudukan yang lebih tinggi di leher. Apabila seseorang kanak-kanak melalui fasa baligh, kotak suara tersebut akan membesar dan kedudukannya akan berubah, sedikit ke bawah. Vocal cord (ruangan suara) juga semakin menebal dan membesar.
Perubahan ini lebih ketara dalam kalangan kanak-kanak lelaki. Pada awal fasa baligh, suara mereka akan berada pada tahap pitching yang tinggi, namun pitch tersebut akan menurun apabila berlalunya masa. Suara perempuan juga sebenarnya berubah apabila mereka semakin dewasa, namun pada kadar yang rendah.
Proses ini sebenarnya mengambil masa sehingga setahun. Selalunya, pada usia 17 tahun, suara mereka akan stabil sepenuhnya. Sekiranya suara seseorang remaja langsung tidak berubah ketika usia ini, dan perubahan fizikal lain juga tidak berlaku, berkemungkinan besar ianya adalah disebabkan masalah hormon.
Segeralah bertemu dengan doktor sekiranya tiada perubahan suara, tiada peningkatan tumbesaran, buah zakar tidak membesar untuk lelaki, buah dada tidak membesar untuk perempuan, dan tiada perkembangan bulu-bulu badan dalam kalangan anak remaja anda yang sudah mencecah usia ini.
Perubahan Suara Apabila Sudah Dewasa
Tidak seperti fasa akil baligh, perubahan suara apabila usia semakin meningkat bukanlah suatu yang universal, maknanya tidak semua orang melaluinya, walaupun kebanyakan daripada kita sebenarnya mengalaminya.
Cuba bandingkan suara anda dengan suara bapa anda (sekiranya anda lelaki) atau ibu anda (sekiranya anda perempuan), walaupun kesemuanya sudah baligh, namun sudah tentu terdapat perbezaan antara suara anak muda dengan mereka yang lebih berumur. Mengapakah keadaan ini boleh terjadi?
Kotak Suara Yang Semakin Berumur
Antara sebab utama mengapa suara seseorang berubah apabila usia semakin meningkat adalah disebabkan penuaan yang dialami oleh kotak suaranya, dan juga penuaan sistem pernafasan yang menzahirkan suara tersebut.
Penuaan boleh menyebabkan hilangnya fleksibiliti fizikal manusia. Meningkatnya usia, sendi-sendi pada kotak suara akan menjadi semakin nipis, dan kebolehan rawannya juga semakin merosot. Ruangan suara juga akan hilang fleksibiliti dan keanjalan, dan semakin haus (kering).
Kadangkala, otot-otot kotak suara juga akan mencapai atrofi, keadaan di mana ianya menjadi semakin nipis dan lemah. Meningkatnya usia, tulang rusuk akan semakin mengeras, kaki dan tangan semakin mengecut, manakala paru-paru mengecil, kaku dan kurang lentur. Kesemua perubahan ini akan menyebabkan perubahan suara seseorang, menjadi semakin lemah bersama masa.
Meremajakan Suara Anda
Sekiranya anda mempunyai sebarang isu dengan suara anda, adalah lebih baik untuk bertemu dengan pakar suara, laryngologist atau speech pathologist. Mereka berupaya untuk memeriksa ruangan suara anda bagi memahami masalah sebenar. Terima kasih kepada sains dan teknologi, terdapat banyak rawatan moden yang boleh dilakukan bagi membolehkan suara anda menjadi lebih 'remaja'. Antara termasuklah:
- Terapi suara: Latihan suara harian bagi menguatkan penghasilan suara.
- Pembedahan mikro ruangan suara: Rawatan terhadap kecederaan ruangan suara, seperti polyps atau cysts.
- Suntikan suara: Suntikan bagi menebalkan ruangan suara.
- Implan suara: Implan bagi menstabilkan ruangan suara.
Kesimpulan
Pada pendapat penulis, langkah terbaik bagi meremajakan suara perlu bermula sejak muda remaja lagi sebenarnya. Banyak meminum air masak, kurangkan minuman berais dan menjaga kesihatan secara keseluruhan bukan sahaja boleh meremajakan suara, malah berupaya mengelakkan kita daripada serangan pelbagai penyakit berangkai. Oleh itu, jagalah kesihatan anda.
Sumber & Bacaan Tambahan: