Apabila bercakap tentang rakaman muzik, rakaman pita magnet terbukti menjadi asas kepada semua yang kita tahu tentang industri muzik pada hari ini.
Teknologi yang semakin pesat membangun membuatkan penggunaannya tidak lagi releven.
Namun, ia merupakan cara pertama merakam muzik dengan keupayaan untuk menyimpan data pukal dalam jumlah tertentu.
Terdapat dua alam utama yang bergantung kepada pita magnetik, pertama adalah muzik dan yang kedua adalah rakaman video.
BESARKAN TEKS A- A+
Sebelum kemunculan cakera padat, Internet dan muzik serta video dalam talian, bentuk yang paling popular untuk membeli hasil seni ini adalah kaset muzik dan kaset VHS.
Sebelum kita fahami bagaimana teknologi ini digunakan, kita lihat dulu sifat-sifat pita magnet itu sendiri.
Pita kaset
Jika dilihatkan, pita magnet sangat ringkas. Pita ini biasanya mempunyai filem plastik yang digunakan sebagai asas dan di atas asas ini, lapisan serbuk ferik oksida digabungkan.
Ferik oksida ini biasanya dicampurkan dengan pengikat, yang membantu bahan ini untuk melekat dengan betul pada filem plastik.
Pelincir kering juga digunakan untuk mengelakkan filem daripada terkoyak dari masa ke masa akibat geseran. Ferik oksida tidak boleh dikelirukan dengan besi.
Besi oksida, juga dikenali sebagai karat (FeO), berbeza daripada Ferik Oksida (Fe2O3), yang merupakan jenis besi oksida lain.
Nama biasa lain untuk ferik oksida adalah Maghemite dan ferik oksida gamma.
Oksida yang digunakan mempunyai ciri yang unik kerana ia adalah bahan ferromagnetik.
Bahan ferromagnetik boleh ditakrifkan sebagai objek yang boleh bermagnet secara kekal kecuali dan sehingga kemagnetan itu dihapuskan.
Ini memberikan pita magnetik dua sifat asas.
Yang pertama adalah apa sahaja boleh direkodkan ke atas pita dan pita itu akan dapat memainkannya kembali bila-bila masa sahaja kita mahu.
Ciri penting kedua dimiliki adalah maklumat yang terdapat pada pita boleh dipadamkan dengan melalukan magnet pada pita. Ini akan menghapus kemagnetan yang ada.
Dengan ini, pita magnet boleh digunakan semula tanpa had.
Proses merakam pita kaset
Seperti pita magnet, pita perakam juga menggunakan mekanisma yang sangat ringkas.
Segala-galanya dari peranti muzik mudah alih yang awal dan paling popular iaitu Walkman sehingga ke dek audiophile mewah generasi ini, para pereka telah berusaha untuk membuatkannya seringkas yang boleh.
Untuk meringkaskan keseluruhan mekanisma pita perakam, ia melibatkan penggunaan elektromagnet untuk memagnetkan oksida pada filem.
Elektromagnet yang biasa digunakan adalah kepala kecil berbentuk pin. Elektromagnet ini terdiri daripada teras besi yang dibalut dengan wayar.
Semasa rakaman, isyarat audio dihantar melalui gegelung wayar untuk menghasilkan medan magnet di dalam teras besi.
(Proses rakaman pita kaset)
Pada jurang antara elektromagnet dan pita magnetik, satu fluks atau pengaliran magnet terhasil dan membentuk satu corak yang membantu memagnetkan pita magnetik.
Pemagnetan ini membantu pencetakan maklumat ke dalam pita.
Kini anda sudah mendapat gambaran bagaimana maklumat disimpan pada pita magnetik, bagaimana pula proses membaca dan memainkan semula muzik dilakukan?
Inilah masanya kepala pita memainkan peranannya. Kepala pita terdiri daripada gelung bulat dengan wayar di sekelilingnya, serupa dengan elektromagnet yang digunakan untuk rakaman.
Satu-satunya perbezaan adalah proses yang terbalik berlaku ketika lagu dimainkan.
(Proses memainkan pita kaset)
Memandangkan pita magnetik itu mempunyai tahap magnetisasi tertentu ketika ia melalui kepala pita, ia menghasilkan perubahan dalam medan magnet di sekitar kepala pita.
Menurut undang-undang elektromagnetisme, apabila terdapat perubahan magnetisme sekitar konduktor, ia mendorong arus elektrik tertentu dalam konduktor.
Ini adalah apa yang berlaku kepada kepala pita kerana setiap bahagian pita magnetik dimagnetkan secara berbeza di mana ia terus menghasilkan arus elektrik yang bervariasi.
Kemudian, arus elektrik yang terhasil diproses oleh pemain muzik dan anda dapat mendengar lagu yang dimainkan!
Mungkin agak rumit untuk memahami sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya anda boleh menggambarkan bagaimana kaset lagu berfungsi.
Memadamkan maklumat pada pita magnetik
Terdapat bahagian tertentu pada pita magnetik yang dikenali sebagai kepala pemadam yang bertanggungjawab untuk proses ini.
Kepala pemadam ini menghasilkan medan magnet arus ulang alik (AC) yang berfrekuensi tinggi pada pita.
Medan magnet arus ulang alik ini adalah berkali ganda lebih kuat daripada pita magnetik, yang meranapkan garis magnetik yang tersusun sebelumnya.
(Proses memadam pita kaset)
Perlu diingatkan bahawa medan magnet AC ini tidak menyahmagnetkan pita, tetapi ia hanya meranapkan kemagnetan pita supaya maklumat baru dapat dimagnetkan ke atasnya.
Kesimpulannya, walaupun proses ini agak mengelirukan, tetapi apabila anda terjumpa dengan kaset ini, anda tahu bahawa pemuzik bukanlah satu-satunya golongan yang bertanggungjawab ke atas lagu-lagu mereka dimainkan di seluruh dunia.
Rujukan:
2. Science