Kredit: Instagram @aishahjmm & @dhabitah_sabri
Penyanyi lagenda, Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, meluahkan rasa bangga dan teruja dengan prestasi atlet Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020, melalui perkongsian di Instagram.
Namun, bekas juara Gegar Vaganza 4 itu merasakan tiba masanya cara pemakaian beberapa atlet wanita beragama Islam yang tidak menutup aurat diperjuangkan.
Tidak berniat untuk berlagak alim, beliau berfikiran terdapat kebarangkalian ia menjadi faktor lebih ramai atlet wanita Islam beraksi di acara-acara seperti trek, renang dan gimnastik.
"Beri bajet kepada syarikat pengeluar baju sukan untuk mereka pakaian menutup aurat. Bukan sahaja untuk atlet wanita Islam, tetapi juga lelaki," usulnya.
Menafikan idea itu kolot, beliau merujuk kepada pakaian pasukan gimnastik Jerman yang juga menutup bahagian-bahagian perlu.
"Bukan kerana mereka tiba-tiba peluk Islam. Tetapi, kerana tidak mahu acara sukan mereka dikaitkan dengan konotasi seksual yang negatif," jelasnya.
Menurut pendapatnya lagi, sedikit usaha ke arah itu, para atlet sekurang-kurangnya boleh diberi pilihan.
"Kalau saya ada anak perempuan sekalipun hendak masuk acara begini, mungkin saya akan cadangkan dia masuk acara lain," akhiri pelantun lagu Janji Manismu itu.
Rata-rata netizen dilihat memberi komen positif.
"Masya Allah, respon dari warga Twitter sangat pahit dan negatif. Seperti sesuatu yang normal atlet terpaksa pakai seksi atas tiket kesukanan," luah seorang netizen.
"Saya dengar, kod pakaiannya memang begitu. Kalau ada negara besar seperti Jerman buat penyertaan, pasukan mereka tidak dibatalkan. Kalau negara kecil, penyertaan perlu dibatalkan.
"Insya-Allah, kalau semua negara Islam bersatu perjuangkan, mungkin jadi kenyataan," jelas seorang lagi netizen.
Sumber: Instagram Aishah