Urban Dictionary mendefiniskasikan 'hipster' sebagai satu cabang budaya atau subculture yang diikut oleh lelaki dan wanita berusia 20-an hingga 30-an, yang mengangkat nilai kebebasan berfikir, perlawanan budaya, pemahaman progresif dalam politik, penghargaan karya seni secara bebas, kreatif, bijak dan pandai bertutur.
Bagaimanapun, definisi itu amat berlainan sekali dengan budaya asal daripada mana perkataan 'hipster' ini datang. Jadi dari mana sebenarnya perkataan 'hipster' ini datang dan mengapa berlaku perubahan besar pada definisi dahulu dengan sekarang?
BESARKAN TEKS A- A+
Daripada 'hep' kepada hipster
Semuanya bermula dengan penggunaan perkataan 'hep' pada tahun 1902 di Amerika Syarikat. Terma itu digunakan bagi merujuk kepada individu pemuzik jazz kulit hitam yang mempunyai pengaruh besar kepada komuniti di situ dan kekal digunakan sehingga berkembang selama beberapa puluh tahun.
Pada 1940-an, seorang pemuzik jazz berkulit putih bernama Harry Gibson menjadi popular ekoran lagunya yang kerap memaparkan mesej-mesej tidak bermoral sehingga diharamkan di radio. Harry mula mula mendapat perhatian ekoran keunikan lagunya pada zaman tersebut yang dilihat melawan norma bangsa kulit putih Amerika Syarikat.
Populariti Harry membuatkan ramai menggelarkan dia seorang 'hep' walaupun dia berkulit putih, namun Harry tidak mahu sama dengan pemuzik lain. Jadi dia menggunakan gelaran 'hip' dan kumpulan peminat setianya dinamakan 'hipster.'
Terma 'hipster' mula diterima ramai pada lewat tahun 40-an, dengan gelaran tersebut mula digunakan secara rasmi oleh kumpulan individu kulit putih yang memprotes norma masyarakat dan tradisi yang diamalkan masyarakat mereka sendiri. Didorong oleh kehidupan dan cara fesyen pemuzik jazz kulit hitam di Amerika, hipster mula mengenakan fesyen ala masyarakat kulit hitam, dalam menunjukkan perasaan ambil peduli terhadap nasib dan masa depan pemuzik ikutan mereka, disamping menunjukkan protes mereka sendiri melalui cara hidup mereka.
Bagaimanapun, kebiasaannya individu hipster ini bukanlah individu yang datang daripada keluarga susah. Mereka selalunya datang daripada keluarga pertengahan dan berada, cara pemakaian mereka saja terikut dengan budaya pemuzik jazz kulit hitam zaman itu yang hidup terumbang-ambing.
Dalam satu tulisan tahun 1957 yang bertajuk 'The White Negro', penulisnya Norman Mailer mendefinisikan hipster sebagai 'seorang individu kulit putih kelas pertengahan yang cuba mengangkat budaya bebas dan spontan pemuzik kulit hitam : cara mereka bercakap, dialek, penggunaan dadah, apresisasi mereka terhadap muzik jazz dan blues serta kepentingan tinggi terhadap seks yang betul - sehingga terlupa mereka berkulit putih.'
Perlawanan budaya massa
Tokoh-tokoh seperti Jack Kerouac dan Allen Ginsberg mula menjadi ikutan golongan hipster pada era 50-an dan 60-an, ketika berlakunya lonjakan ekonomi di Amerika Syarikat.
Ekoran kuasa membeli golongan kelas pertengahan meningkat, setiap rumah pada waktu tersebut mula dianjurkan untuk memiliki televisyen, pengisar dan mesin basuh yang menyebabkan wujudnya budaya baru masyarakat ideal yang hidupnya dipenuhi perkakasan elektrik. Jack dan Allen menjadi suara paling lantang mengkritik budaya baru Amerika pada waktu tersebut.
Etos 'ada banyak lagi perkara lebih penting dalam hidup, selain daripada pembelian perkakasan' mula dilaung-laungkan golongan hipster sebagai satu bentuk percanggahan kepada norma majoriti masyarakat Amerika. Serang penulis zaman itu, Thomas Frank dalam bukunya, 'The Conquest of Cool' mendifinasikan gerakan hipster zaman tersebut dengan ayat yang cukup mudah.
'Masyarakat massa berlawan dengan hipster, kumpulan palsu melawan yang tulen, individu saintifik melawan yang tidak rasional - hipster adalah figura yang tidak mahu mengalah serta sentiasa mahu melakukan sesuatu mengikut cara mereka sendiri.'
Terma hipster mula menyurut popularitinya digantikan dengan terma 'hippie' dan membuat kemunculan semula pada tahun 90-an namun ledakannya tidak berapa dirasai sebelum pengaruhnya kembali, bermula di sebuah pekan di Brooklyn.
Permulaan hipster zaman moden
Dari mana datangnya gerakan hipster yang ada ketika ini? Budaya baru hipster dikatakan datang daripada tradisi penduduk pekan Williamsburg, Brooklyn yang terletak di Amerika Syarikat. Proses gentrifikasi pekan tersebut yang berlaku pada awal 90-an membuatkan ramai berminat hendak tinggal di situ, termasuklah anak-anak muda yang baru mencari haluan hidup.
Williamsburg mula berubah menjadi sebuah kawasan yang menekankan budaya dengan pembukaan banyak kawasan-kawasan seni, lokasi untuk berkarya dan juga mempunyai kehidupan malam yang menyeronokkan. Pekan tersebut juga menjadi pusat penting kepada pergerakan pemuzik-pemuzik bebas dan mempunyai banyak pusat etnik di sekitarnya.
Mereka yang melalui proses tersebut dapat menyaksikan sendiri bagaimana pekan yang mereka sayangi berevolusi sehingga dipenuhi dengan individu yang sukakan seni dan gemar berfalsafah namun berpakaian kemas ala petani zaman dahulu, lengkap dengan kasut yang lebih sesuai untuk berkebun.
Mengambil inspirasi daripada bandar Berlin di Jerman, Williamsburg mula dikenali dengan masyarakat mereka yang unik. Populariti kehidupan ala hipster di Williamsburg mula dikenali ramai selepas akhbar The New York Times dan majalah Time Out New York melakukan liputan khas terhadap corak kehidupan penduduk pekan tersebut.
Corak kehidupan masyarakat di Williamsburg dipopularkan lagi selepas salah seorang penduduk Williamsburg, Robert Lanham menulis sebuah buku tentang budaya masyarakat di situ yang diberi judul 'The Hipster Handbook' pada tahun 2003, dengan buku itu menjadi rujukan sama ada seseorang itu layak atau tidak dikategorikan sebagai hipster, walaupun dalam bentuk parodi.
'Mecca of Hipster'
Pada zaman kemuncaknya, Williamsburg terkenal sebagai bandar hipster paling ulung di dunia, menjadi salah satu destinasi idaman untuk merasai kehidupan sebenar hipster.
Namun pembangunan mula memberi kesan pada hidup mereka. Dengan kebanjiran penduduk, penduduk Williamsburg mula merasai kenaikan pada kos hidup. Nilai hartanah di situ mula meningkat sekaligus menaikkan sama kadar sewa. Ini sedikit sebanyak memaksa penduduk asal pekan tersebut serta golongan hipster yang berhijrah ke situ mencari tempat baru.
Bagi Robert yang telah tinggal di Williamsbug sejak 1996 dan merasai sendiri perkembangan budaya hipster sebelum budaya ini sampai ke peringkat global, dia dapat melihat bagaimana imej hipster ini telah diambil alih golongan berkemampuan.
Anak-anak orang kaya yang bersekolah di sekolah elit mula mengakui diri mereka hipster tanpa perlu merasai susah payah hidup kelompok hipster awal Williamsburg. Corak hidup artis dan pengkarya seni yang hidup susah mencari makan dengan menjual karya di Williamsburg, mula digantikan dengan hipster berkemampuan yang boleh membelanjakan belasan dollar untuk secawan kopi, tanpa rasa bimbang.
Kritikan Robert Lanham terhadap perubahan masyarakat hipster Williamsburg, sekiranya dilihat kembali dalam konteks asal bagaimana sejarah hipster bermula, jelas sekali menunjukkan budaya hipster hanya melalui kitaran yang serupa dan berulang-ulang dengan kedua-duanya mempunyai pengakhiran yang sama.
Itulah dia sedikit sebanyak kisah naik turun budaya hipster. Persoalan yang menarik untuk dibincangkan - pada pandangan anda, mengapa masyarakat Malaysia ramai yang selesa mengangkat budaya hipster sebagai budaya mereka?
Rujukan