Oleh pada 12 Sep 2017 kategori

Ketika anda mempunyai sesuatu masalah, pasti ada yang akan menasihati anda supaya berfikiran positif, dan semua perkara akan menjadi baik-baik sahaja. Namun setiap kali anda berfikiran positif, ia tidak seperti menyelesaikan masalah anda, tetapi semakin membelenggu hidup anda.

Ya, memang penting berfikiran positif, tetapi mengikut situasi dan keadaan. Tak semua perkara anda boleh urus dengan cara yang sama. Dengan terlalu berfikiran positif, anda seolah-olah memanjakan diri anda.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Terma fikir positif ini kerap digunakan, terutamanya oleh agen MLM dalam merekrut ahli baru. "Dalam hidup ni kena sentiasa fikir positif bro, baru boleh berjaya". Macam pernah dengar kan?

Namun ada 2 masalah jika anda sentiasa berfikiran positif, pertamanya adalah ia memenatkan. Kedua adalah ia tidak efektif. iluminasi.com ingin berkongsi 3 keburukan jika terlalu berfikiran positif yang dijelaskan oleh seorang dukun dari Brazil.

1. Melatih anda mengabaikan perasaan sebenar anda.

Berfikiran positif akan membuatkan anda tidak mempedulikan perkara negatif. Ia sekaligus menidakkan perasaan sebenar anda, yang mana sedang bergelut dalam masalah. Anda akan terperangkap dengan perasaan positif, sentiasa tersenyum dan bertenaga seolah-olah anda tak ada masalah dan tiada apa yang boleh menghalang anda.

Anda akan berasa gembira, namun ia hanya seketika. Ia kerana setiap kali anda memaksa diri anda untuk menjadi positif, perkara negatif akan terbina dalam diri anda. Anda sentiasa mampu untuk menafikan perasaan dan emosi negatif, tapi ia tetap akan ada dalam diri anda. 

Hidup kita tak akan terlepas daripada cabaran yang membuatkan kita berasa marah, sedih dan takut. Namun, mahu tak mahu, anda harus menghadapinya, dan mengelak daripada apa yang anda rasa negatif dan hanya fikir apa yang positif sahaja adalah satu kesilapan yang sangat besar. Anda hanya lari daripada bayang-bayang sendiri yang tak akan pernah hilang.

Dan semakin lama anda berbuat demikian, ia akan membuatkan anda letih, yang mengakibatkan masalah kesihatan, kemurungan dan keresahan.

2. Anda seolah-olah mengisytiharkan perang dalaman

Mengapa anda perlu membahagikan perasaan dan emosi anda kepada dua bahagian iaitu positif dan negatif? Dan bagaimana anda betul-betul tahu sesuatu itu adalah positif atau negatif? Ia bukan seperti matematik yang ada jawapan tepat. Kalau betul, tak mengapa, kalau salah, anda yang menanggung akibatnya kerana berperang dengan diri sendiri.

Perkara ini sangat samar, dan perlukan pengalaman untuk anda tahu kebenarannya. Tapi, jika anda asyik menghindarkan diri daripadanya, bagaimana anda akan mendapat jawapan? Kadang-kadang cabaran emosi yang paling buruk memebrikan impak yang baik dalam hidup.

Kesedihan boleh memupuk rasa kasih sayang yang lebih kuat. Kemarahan mampu membuatkan anda mengatasi had dan kelemahan anda. Dan rasa tak selamat dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan hidup anda. Namun semua ini hanya berkesan jika anda memberikan ruang dalam diri anda.

Daripada berkeras dan melawan sifat semulajadi anda, anda sepatutnya gunakan dalam memperbaiki diri sendiri.

3. Hidup dalam bayang-bayang

Kita terlalu mencuba untuk hidup gembira, dan semakin kuat kita mencuba, semakin kecewa kita akan rasa. Kekecewaan dicampur keletihan akan mengakibatkan kemurungan.

Emosi adalah tekanan semulajadi dimana anda hanya boleh berbuat sesuatu mengenainya jika anda menerima seadanya. Ya, memang anda akan rasa sakit, sedih, dan marah, tapi anda juga akan berasa gembira, bersemangat dan kasih sayang.

Emosi-emosi ini akan mencari keseimbangan secara semula jadi. Yang paling penting, keseimbangan ini lebih baik dan sihat, daripada membahagikannya kepada baik dan buruk, atau positif dan negatif.

Hidup ini ada baik buruk. Ada perkara yang anda boleh dan mampu capai, dan ada yang tidak. Apa yang lebih penting daripada matlamat yang ingin anda capai, adalah cara anda menjalani hidup sekarang. Jika anda hidup dalam keadaan tidak baik disebabkan terlalu menekan emosi, apa yang anda sasarkan, sukar untuk menjadi kenyataan.

Apabila anda menerima dengan sepenuhnya siapa diri anda, termasuk perasaan sedih, marah, dan takut, segala tenaga yang selama ini anda gunakan untuk melawan perasaan-perasaan ini, boleh digunakan ke arah yang lebih baik dalam kehidupan.

Rujukan:

1. Huffington Post




Hakcipta iluminasi.com (2017)