Menjadi ibu bapa bukan mudah, banyak tanggungjawab yang perlu dipikul. Kerana ibu bapalah insan yang paling rapat dengan anak-anak semasa mereka kecil, maka setiap tindakan dan ajaran ibu bapa ketika anak-anak masih kecil mudah menjadi ikutan mereka.

Zaman kecil kanak-kanak merupakan zaman di mana mereka belajar meneroka dunia mereka, dengan cara mereka sendiri. Maka, mereka perlulah dilayan seperti seorang kanak-kanak kecil. Malangnya, terdapat segelintir ibu bapa yang seolah-olah terlalu memberi tekanan kepada kanak-kanak agar mereka cepat belajar dan ada juga ibu bapa yang gemar memakaikan anak-anak dengan pakaian yang kurang sesuai bagi seorang kanak-kanak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sindrom ini dikenali sebagai 'hurried-child' dan berlaku di seluruh dunia. Kali ini, pihak iluminasi telah diberi kebenaran untuk mengulang siar artikel daripada Pn. Noor Afidah Abu Bakar, seorang Certified Positive Parenting Educator dan salah seorang pengasas syarikat konsultan Parent Connect Consultancy.

Dewasa Sebelum Waktunya

Sindrom 'Hurried-child' yang dikenalpasti oleh Dr. David Elkind yang pernah saya kongsikan tahun lalu bukan hanya melibatkan tekanan akademik yang terlalu awal di luar kemampuan perkembangan semulajadi anak-anak kecil, sindrom ini juga merebak ke dalam pelbagai aspek kehidupan seorang kanak-kanak masa kini.

Jika kita mengikuti perkembangan semasa tentang kanak-kanak di seluruh dunia, salah satu isu besar yang mendapat kecaman pelbagai pihak adalah 'trend' memaksa kanak-kanak untuk berbusana seperti orang dewasa. Trend ini lebih ketara bagi kanak-kanak perempuan yang sering dieksploitasikan untuk berpakaian seksi dan kasut bertumit tinggi yang tidak sesuai usia. Dengan adanya rangkaian pakaian kanak-kanak yang didewasakan, kanak-kanak dipaksa untuk menggayakan fesyen pakaian dan dandanan seperti orang dewasa.

fesyen kanak kanak 435

Kesan Buruk 'Hurried-child'

Walau apa saja yang dipakai oleh kanak-kanak, mereka tetap comel dan penyejuk mata. Walau bagaimanapun trend yang sebegini menyebabkan berlakunya dua kemungkinan:

  1. Dengan berfesyen yang sedemikian, secara tidak langsung mereka juga diharapkan agar berkelakuan seperti orang dewasa. Harus diingat kanak-kanak bukan 'mini adults'. Perkembangan fizikal, sosial, emosi, intelektual dan spiritual mereka belum capai ke tahap orang dewasa. Mereka seumpama 'work in progress' yang masih perlu dipupuk dan dibaja.
  2. Dengan berfesyen yang sedemikian, didapati ada kanak-kanak yang memaksa diri mereka sendiri untuk berkelakuan seperti orang dewasa. Mereka bertutur menggunakan perkataan orang dewasa yang ada kalanya tidak manis disebut, mereka menonton rancangan tv dan mendengar lagu-lagu yang tidak sesuai untuk kanak-kanak. Mereka cenderung untuk meniru orang dewasa kerana ia bersesuaian dengan imej yang dipaksakan ke atas mereka.

kanak kanak menggayakan pakai seperti orang dewasa

Jika ini berlaku, rugilah kanak-kanak yang 'hurried' atau digesa-gesakan ini kerana mereka terlepas zaman riang kanak-kanak yang tidak mungkin akan berulang kembali. Apabila mereka dewasa nanti, zaman inilah yang akan dikenang dengan ungkapan "Seronoknya menjadi kanak-kanak". Jika mereka dipaksa melalui zaman kanak-kanak mereka dengan menjadi orang dewasa, kenangan 'good old days' itu tidak ada.

Trend ini bukan hanya melibatkan kanak-kanak yang dipaksa berpakaian seksi, berdandan dan mengenakan mekap yang tidak sesuai usia, ada juga yang 'dipaksa' berfesyen menutup 'aurat' sebelum tiba usia kerana comel. Bayi tidak perlu bertudung. Trend anak perempuan dipaksa berpakaian sedondon ibu dengan fesyen fishtail, peplum, jubah beropol dan sebagainya kerana ia menghasilkan imej yang layak-Insta (Insta worthy) juga adalah sebahagian dari sindrom 'Hurried Child' ini.

Kanak-kanak menjadi tua sebelum waktunya kerana memenuhi impian ibubapa yang terpedaya dengan tipu daya peniaga dan pengiklan yang suka mengambil kesempatan ke atas kealpaan kita yang tidak memahami perkembangan kanak-kanak.

Berpada-pada dan berhati-hatilah.

Pesanan: Harap pembaca membaca setiap ayat yang saya tulis supaya tiada salah faham sebelum komen. Terima kasih

Noor Afidah Abu Bakar

Parent Connect Consultancy




Hakcipta iluminasi.com (2017)