Oleh pada 12 Sep 2017 kategori

tahnik beri kurma jangan bagi madu pada bayi

Nota : gambar hanya hiasan

Boleh dikatakan hampir semua kanak-kanak sukakan manisan. Tapi tahukah anda, ada satu jenis benda manis yang tidak boleh dimakan oleh anak-anak kecil? Manisan itu ialah madu.

Penulis pernah berpengalaman sendiri melihat seorang wanita warga emas cuba memberikan madu kepada bayi yang baru dilahirkan untuk upacara "membelah mulut". Kejadian itu benar-benar membuatkan penulis berasa kecut perut.

Proses tahnik atau "belah mulut" itu sebenarnya merupakan salah satu sunnah Rasulullah dengan memberikan secalit kurma yang telah dikunyah atau dihancurkan kepada bayi, bukan madu atau manisan lain seperti yang ramai orang sangka. 

tahnik beri kurma jangan bagi madu pada bayi 2

Di negara Asia rata-ratanya menganggap pemberian madu kepada anak kecil itu sebagai satu perkara biasa. Madu dilihat sebagai berkhasiat dan mempunyai unsur semula jadi, maka ia baik untuk bayi. Tapi tahukah anda ia sebenarnya boleh menjadi racun kepada si comel tersebut?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merupakan salah satu kumpulan perubatan yang bersetuju bahawa madu tidak sepatutnya diberikan kepada bayi di bawah 12 bulan. Tidak kiralah sama ada dicampurkan ke dalam susu, digunakan untuk melegakan sakit gusi akibat pertumbuhan gigi ataupun yang ditambah ke dalam produk makanan bayi yang lain.

madu bahaya untuk bayi

Kenapa bayi tidak boleh makan madu?

Masalah memberi madu kepada bayi akan mula timbul daripada mikrobiom yang sedang berkembang. Persekitaran dalam tubuh bayi mengandungi pelbagai mikroorganisma seperti bakteria dan archaea yang membantu pengawalan diet dan mempengaruhi pelbagai fungsi organ.

Sebelum bayi mencecah usia 1 tahun, bakteria dalam usus mereka tidak cukup berkembang untuk menghentikan bakteria berbahaya daripada menjangkiti badan.

Clostridium botulinum merupakan salah satu bakteria yang berpotensi untuk menjadi racun kepada bayi. Selain menyebabkan penyakit seperti botulisme (keracunan makanan), ia kerap dijumpai dalam madu asli yang mentah dan tidak diproses. Satu kajian pada tahun 1998 mendapati sehingga 25% kandungan madu dijumpai mengandungi spora bakteria tersebut.

madu bahaya untuk bayi bawah satu tahun

Botulisme pada bayi

Simptom botulisme pada bayi sebenarnya agak menakutkan. Ia termasuklah boleh melemahkan otot sehingga menyebabkan bayi kelihatan terkulai dan tidak mampu menggerakkan anggota badan. Antara gejala yang lebih ekstrem ialah menyebabkan kegagalan sistem pernafasan.

Walaupun tiada kesan jangka panjang keracunan makanan ini dan rawatan mudah didapati bagi bayi yang mengalami simptom membahayakan nyawa, lebih baik anda elakkan daripada ia terjadi. Orang kata, mencegah lebih baik daripada mengubati.

Jadi, elakkan memberi madu kepada anak-anak di bawah satu tahun ya. Kalau dah terbagi, perhatikan bayi anda. Kalau anda tanda-tanda sesak nafas atau lemah anggota badan, cepat-cepat bawa berjumpa doktor untuk diagnosis lanjut.

Rujukan:

1. Mayo Clinic

2. BMJ Case Report

3. American Academy of Pediatrics

4. World Health Organization

5. Ummah


tags : , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)