Perniagaan dobi layan diri pada dasarnya nampak mudah.
Sesiapa pun boleh guna tanpa larangan ketat kerana tidak ada sesiapa pun yang ditugaskan menjaga premis perniagaan dobi itu. Walaupun kebanyakan pihak peniaga sudahpun menjelaskan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, jika anda rajin bertanya kepada pekerja yang bertugas menyelia premis, perkara itu tidak mudah.
BESARKAN TEKS A- A+
Sikap tidak bertimbangrasa dalam individu pasti ada. Kes-kes yang kerap berlaku selalunya melibatkan individu yang mencuci kasutnya dengan mesin walaupun sudah diletak amaran untuk tidak melakukan tindakan sedemikian.
Artikel ini ditulis bukan untuk memberikan bukti kenapa orang Muslim betul, tetapi untuk menerangkan kepada anda semua, golongan bukan Muslim kenapa wujudnya keperluan kepada kami mempunyai sebuah dobi yang dapat kami yakini kebersihannya.
1. So, anda orang Muslim kata kami bukan Muslim ni kotor?
Tak. Tidak sama sekali. Banyak hujah karut digunakan, seperti kalau salam tangan dengan bukan Muslim macam mana statusnya, duit yang orang bukan Islam pegang lepas makan babi macam mana statusnya? Semua itu adalah persepsi sempit yang hanya memburukkan keadaan.
Ada sebabnya kenapa ada beza antara bersih anda dan bersih kami. Perbezaannya terletak pada perkara-perkara yang kami perlu elakkan seperti risiko ada bulu anjing di dalam mesin. Ini bukan masalah peluh bukan Muslim itu najis atau orang Muslim rasa diri mereka lebih bersih. Bulu anjing adalah contoh paling mudah. Begitu juga dengan mereka yang membasuh kain lap dapur yang pernah digunakan untuk memasak daging khinzir. Mungkin pada anda, perkara itu biasa, tetapi pada kami seeloknya kami cuba elakkan.
2. Bagaimana kalau ada orang Cina basuh apron yang diguna untuk potong daging babi dalam mesin basuh?
Itulah yang meragukan pada kami. Statusnya sebenarnya mudah - jika kami tahu perkara itu berlaku tanpa ragu, kami akan elakkan guna mesin tersebut. JIka kami tak nampak, kami terima perkara itu sebagai kami tak tahu.
3. Jadi lagi senang orang Muslim buat tak tahu lah kan?
Betul. Exactly. Memang betul lagi senang kami buat tak tahu tapi it is in our human nature untuk elak perkara yang kita takut bila kita dah tahu. Sebagai contoh - anda seorang bukan Islam ke sebuah dobi yang anda saksikan sendiri seorang ibu terus memasukkan seluar anaknya yang mempunyai tahi ke dalam mesin basuh lalu terus memulakan basuhan. Adakah anda masih akan menggunakan mesin itu walaupun itu satu-satunya mesin yang ada?
4. Jadi, kenapa orang Muslim nak ambil tahu?
Itulah yang tak ramai faham. Sebenarnya semua manusia sama saja - kita akan elak bila kita dah tahu tetapi pada kami, Muslim, kami juga perlu melindungi diri kami daripada perkara yang kami tidak tahu akan berlaku. Sebenarnya perkara itu bukan saja eksklusif pada orang Muslim - rasanya kita semua sama saja. Cuma, kami lebih sensitif kerana kami nak elak benda tu berlaku walaupun kami tak tahu. Cegah dari mula lebih baik, lagipun, tindakan ini tidaklah merugikan sesiapa pun.
5. Kalau anda tak tahu mesin itu kotor sebenarnya, itu dimaafkan dalam Islam?
Secara asasnya - jika kami tidak tahu, lebih mudah kami anggap pakaian yang dicuci oleh mesin itu bersih, walaupun sebelum itu ada mak basuh seluar anak dia yang ada tahi kering tak dicuci dahulu dengan air. Sebab kami tak tahu.
6. Jadi kenapa nak halang bukan Islam guna kedai dobi?
Ini kerana bukan semua orang bukan Islam tahu peraturan, adab, dan amalan-amalan orang Islam. Ini sebenarnya sama saja dengan orang Muslim tetapi kerap kali berlaku kes pengguna bawa anjing yang diletakkan atas meja melipat baju, yang hanya dikesan melalui cctv. Begitu juga risiko seorang pembela anjing atau peniaga daging babi membasuh alas anjing atau apron serta pakaian beliau dengan mesin layan diri yang akan digunakan orang lain.
Dengan tidak menggalakkan pengguna bukan Muslim menggunakan mesin tersebut, sekurang-kurangnya hal berkaitan bulu anjing atau darah babi sudah dapat dibanteras lebih awal. Bunyinya sedikit kasar, tapi itu realitinya.
7. Kenapa penting sangat babi dan anjing ni?
Ini kerana dalam Islam, apa saja yang dah tersentuh dengan bahagian babi (tak kira mana satu bahagian) dan anjing yang basah, permukaan tersebut perlu dibasuh menggunakan air bercampur dengan tanah. Basuhan dengan mesin sahaja tidak mencukupi dan pada permintaan Islam- itu belum bersih lagi. Walaupun begitu, ada pendapat-pendapat berbeza tentang isu ini tapi untuk memudahkan penerangan, saya ambil saranan yang paling berhati-hati.
8. Apa yang orang bukan Muslim boleh bantu dalam isu ini?
Menarik soalan ini. Pertama sekali, kami mohon agar tidak ada pihak yang membawa anjing ataupun sebarang binatang peliharaan termasuklah kucing ke kedai dobi. Lagi senang begitu kerana ia lebih adil. Jika anda seorang pembela anjing - bersihkanlah dulu bulu-bulu anjing yang mungkin melekat pada fabrik yang hendak dibasuh,. Walaupun itu sebenarnya pun masih belum memadai, tetapi membantu membersihkan itu pun sudah cukup baik.
Jika boleh, kain kotoran yang digunakan di dapur untuk penyediaan masakan menggunakan daging babi sepatutnya tidak digunakan dalam mesin layan diri yang digunakan orang ramai. Fabrik seperti apron, kain lap, mungkin juga sarung tangan dapur, semua itu seeloknya dibasuh di rumah menggunakan mesin basuh milik sendiri.
9. Apa risiko yang pengusaha dobi Muslim tanggung jika pengguna bukan Islam membawa pakaian berbulu anjing atau bersentuhan babi ke kedai dobi layan diri?
Jika pengusaha itu sudah tahu perkara itu berlaku, dia haruslah mencuci mesin yang telah tercemar dengan air dan tanah. Perkara ini bukan mudah. Sebagai seorang Islam yang bertanggungjawab, itulah yang dia perlu lakukan. Pasti menyusahkan dia jika perkara ini berlaku hari-hari. Untuk memudahkan aspek pengurusan isu ini, jalan terbaik adalah dengan menghadkan penggunaan pada orang Islam sahaja. Saya menulis perkara ini dari pandangan dan pengetahuan yang saya ada, jadi mungkin ada beberapa pandangan lain yang berbeza. Cuma asasnya - apabila dia dah tahu, dia kena bersihkan. Walaupun begitu, perlu diingatkan lagi - saya menulis jawapan ini berdasarkan saranan dan pendapat yang paling berjaga-jaga.
10. Adakah ini isu rasis?
Tidak. Isu ini tidak berkaitan dengan rasisme atau apa saja yang berkaitan dengan perihal permusuhan antara kaum atau agama. Seperti mana kami orang Islam menghormati kewujudan kedai tidak halal, kami berpendapat isu kedai dobi ini juga adalah satu isu kecil yang sebenarnya tidak perlu diperbesarkan. Dalam erti kata lain, lebih mudah sebenarnya jika anda (bukan Muslim) melihat isu ini sebagai satu isu yang tak perlu dibincangkan sesama kita dan biarlah perdebatan ini hanya berlegar antara orang Islam sahaja.
Terima kasih banyak kerana membaca. Kami harap tulisan ini membantu anda memahami serba sedikit tentang isu ini. Mana yang silap atau kurang setuju, sila beritahu pada kami melalui ruangan komen.