Oleh pada 19 Sep 2017 kategori

Minuman keras atau beralkohol gemar diminum oleh golongan bukan Islam di negara kita. Negara kita pula tidak mengenakan banyak sekatan kepada mereka untuk mengamalkan corak hidup sedemikian dan larangan kebanyakannya dikenakan pada bentuk pengiklanan, jualan dan premis perniagaan yang dibenarkan apabila bercerita tentang minuman alkohol ini.

Kita semua sudah memahami apa perspektif Islam tentang minuman alkohol. Islam amat jelas dan mudah difahami melarang sekeras-kerasnya penganutnya mengamalkan tabiat ini, tetapi bagaimana pula dengan tiga agama lain paling besar di Malaysia, iaitu agama Buddha, Kristian dan Hindu?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa pandangan asas agama-agama lain tentang tabiat minum arak ini?

Hindu

arak festival mabuk

Agama Hindu sangat menitik beratkan cara hidup seseorang yang digelarkan sebagai Pancha Seela, yang terkandung 5 jenis perbuatan yang sepatutnya dielakkan oleh pengikut cara hidup Hindu iaitu berjudi, melacurkan diri, berbohong, membunuh orang lain dan meminum minuman beralkohol.

Walaupun begitu, terdapat kelonggaran yang diberikan bergantung kepada pecahan-pecahan fahaman dalam penganut Hindu. Secara amnya, penganut Hindu percaya alkohol mampu membuatkan seseorang itu hilang kawalan diri dan perkara yang paling dituntut dalam Hindu adalah untuk seseorang itu hidup dengan minda yang sedar serta mampu mengawal dirinya.

Penganut Hindu sedar keburukan pengambilan alkohol tetapi tidak ada larangan yang spesifik seperti Islam. Dalam agama Hindu, terdapat 5 kategori peringkat minuman keras bermula dengan gudasambandha iaitu sejenis arak ringan yang diperbuat daripada tebu, madhukam iaitu arak yang diperbuat oleh anggur, kaivaram iaitu todi kelapa, thaalajam iaitu todi tulen dan paishtikam yang mewakili minuman bir, wain, wiski dan lain-lain.

Sesetengah fahaman mereka membenarkan pengambilan berdasarkan kategori peringkat tertentu, bergantung kepada cara hidup yang mereka amalkan.

Buddha

apa agama lain kata berkenaan arak

Larangan meminum arak wujud dalam Buddhism menerusi The Fifth Precept of Buddhism yang berbunyi "saya bersetuju untuk menghindarkan diri saya dari alkohol dan arak, yang akan menyebabkan saya hilang kawalan diri." Dalam bahasa Inggerisnya - "I undertake the rule of training which consists in abstention from drink and drugs that cloud the mind."

Agama Buddha sangat menitik beratkan seseorang itu senantiasa berada dalam keadaan sedar. Pengambilan alkohol mampu membuatkan seseorang itu hilang kesedaran dan rasa kasih sayang yang dia ada, selari dengan tuntutan sains yang membuktikan alkohol mengurangkan daya kognitif seseorang serta mampu membuatkan seseorang hilang pertimbangan.

Begitupun, pandangan penganut agama Buddha berbeza-beza dalam isu larangannya secara keseluruhan. Pandangan Buddha tentang arak agak fleksibel dan hanya perlakuan minum keterlaluan sehingga mabuk dan menyusahkan orang lain, adalah perbuatan yang ditegah.

Cabang Thevarada dalam Buddha menganggap the fifth precept sebagai satu larangan berbentuk penuh dan melarang penganutnya minum sebarang bentuk minuman alkohol, sementara dalam cabang Mahayana pula, minum minuman beralkohol dianggap sebagai satu dosa kecil.

Kristian

tabiat minum arak perspektif agama lain

Di kalangan penganut sendiri berbeza-beza pendapat mereka tentang pengambilan alkohol oleh penganut agama Kristian, walaupun banyak panduan tentang larangan alkohol disebut dalam Bible. Secara asasnya, mabuk itu sendiri adalah satu perbuatan dilarang menerusi beberapa ayat dalam Bible contohnya Deuteronomy 21 ayat 20 atau Ecclesiastes 10 ayat 1.

Antara larangan paling kuat menerusi 1 Corinthians 5 ayat 11; "Dan dengan ini aku berpesan jauhilah mereka yang mengaku dirinya pengikutku, tetapi dia seorang yang melakukan seks tidak bermoral, tamak, penyembah berhala, penyebar fitnah, mabuk dan penipu. Jauhilah sehinggakan elakkan makan dengan mereka."

Kebanyakan paderi Kristian tidaklah mengatakan minum minuman alkohol itu salah, namun potensi untuk berlakunya kejadian buruk selepas minuman alkohol itu yang ditakuti mereka. Kisah Paul the Apostle yang diceritakan melalui Romans 14 ayat 14-21 menjelaskan yang beliau sendiri memilih untuk mengelakkan minuman yang mampu membuatkan dia lemah atau apa saja perbuatan yang mampu melemahkan tubuhnya.

Setiap penganut Kristian percaya tubuh badan mereka dipinjamkan oleh Jesus dan membenarkan badan diracuni dengan alkohol adalah satu tindakan yang tidak selari dengan tuntutan agama mereka.

Kesimpulan

Begitulah serba sedikit penerangan ringkas berkenaan isu alkohol dan arak di kalangan penganut agama-agama paling ramai di Malaysia, selepas Islam. Jika dilihat, jelas kebanyakan agama di Malaysia mendidik pengikutnya supaya menjauhkan diri dari minuman yang memabukkan.

Ini kerana risiko yang mampu timbul selepas seorang itu mabuk dan hilang kawalan diri, mampu membahayakan bukan setakat dirinya, malahan mungkin juga boleh melibatkan orang lain.

Sebagai penutup, saya kongsikan yang sebagai orang Muslim, minuman seperti arak ini memang ditegah secara jelas dalam Islam. Setiap umat Islam dididik dengan satu pandangan yang mudah tapi membawa satu maksud yang cukup besar: arak atau sebarang minuman yang memabukkan, adalah punca kepada kejahatan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)