Allah swt. jadikan lelaki terangsang tengok wanita.
Cabaran lelaki adalah kawal perasaan itu. Cabaran wanita, adalah elak diri jadi rangsangan. Hakikat yang kita semua terpaksa terima, bukan semua lelaki mampu tahan dan begitu juga perempuan.
Kedua tanggungjawab ini berkait. Bila satu pihak gagal jalankan peranan, memang saranan tak akan berjalan.
Lelaki boleh suruh perempuan tutup aurat dan perempuan boleh suruh lelaki tundukkan pandangan. Itu pesanan yang selalu kedengaran disebut oleh masyarakat kita tetapi alih-alih jadi perdebatan yang tak akan berkesudahan.
Kita berhujah panjang lebar tentang jantina mana lebih bertanggungjawab, tetapi yang selalunya berlaku sebaliknya - lelaki pula berebut nak perempuan buka aurat dan perempuan pula boleh gembira tayang tubuh minta lelaki sambil tengok dia.
Ini berlaku kerana kita percaya pihak lagi satu perlu bertindak dahulu dan lebih sibuk menyalahkan tanpa mengakui tanggungjawab masing-masing.
Boleh lihat di negara yang terbuka anjuran amalan seksnya, seperti di Korea Selatan yang ada 3 taman tema berunsur seks penuh zakar gergasi, negara Belanda yang amat terkenal dengan 'red light district'-nya atau Jerman yang amat terbuka dalam industri pornografi, pelacuran dan terkenal sebagai negara pengasas Love Parade.
Jenayah pencabulan dan rogol masih tinggi di sana, mengapa?
Di kalangan negara maju yang mencatatkan statistik rekod jenayah rogol tertinggi adalah Kanada, Perancis, Jerman, UK, Sweden dan Amerika Syarikat, selain dari negara-negara Afrika yang kerap mendahului carta dunia. Terbaru yang masuk senarai adalah Australia. Sementara bagi negara Islam, Pakistan dan India juga mengalami masalah yang sama.
Kita fokuskan pada negara maju.
Di kebanyakan negara maju ini, subjek pendidikan seks sudah pun diperkenalkan untuk pelajar sekolah mereka. Subjek-subjek ini pula direka bukan untuk menghalang seks, tetapi lebih kepada mendidik amalan seks selamat untuk pelakunya.
Persoalannya, mengapa kita beraspirasi nak jadi seperti mereka sangat? Amat jelas sekali pemahaman sekular yang dipegang mereka tidak membantu - tindakan membenarkan pelacuran, mengindustrikan pornografi, membenarkan ekspresi seks secara terbuka, semuanya gagal dalam membendung masalah jenayah seks di negara mereka.
Kenapa nak diambil apa yang sudah dibuktikan gagal dan kita dah boleh nampak sia-sia?
Islam sudah menggariskan dua benda asas - cabaran lelaki adalah kawal fitrah yang datang dari nafsu dan cabaran wanita pula adalah elak diri jadi rangsangan dunia. Islam amat menitikberatkan kepentingan lelaki dan wanita menjalankan dua tanggungjawab ini bersama.
Tetapi mengapa segelintir ahli masyarakat masih terus membenarkan dirinya dieksploitasi?
Apa pula peranan kita? Adakah kita tak rasa terganggu melihat imej wanita dicetak besar-besar untuk jadi pelaris produk? Adakah kita tak rasa tersinggung melihat gambaran bonjolan zakar lelaki dicetak pada setiap kotak seluar dalam?
Isunya, mengapa kita menghalalkan eksploitasi?
Sebagai masyarakat beragama, kedua-dua jantina di negara kita perlu main peranan dan berusaha cipta situasi yang tidak membenarkan masyarakat kita dieksploitasi dan minda kita dikawal dengan visual-visual eksploitasi.
Adakah darjat wanita diangkat apabila mereka dijadikan pelaris produk?
Kaum wanita ada di dunia bukan untuk diambil gambarnya lalu dicetak supaya dipamerkan untuk tontonan orang ramai, apatah lagi untuk dicabul kehormatannya.
Berdiam diri membenarkan eksploitasi diteruskan samalah seperti menyokong supaya diteruskan amalan menjadikan manusia sebagai pelaris produk kerana tubuh badannya.
Bukankah itu juga satu bentuk pencabulan?
Ada banyak lagi cara kreatif boleh digunakan dalam medium pengiklanan, yang tidak mengeksploitasi tubuh badan atau kecantikan bagi melariskan jualan.
Persoalannya, berapa ramai yang mahu menukarkan amalan yang telah lama dipertahankan?