Kaum Aztec purba yang menggelarkan diri mereka Maxica, terkenal kerana mempunyai simpanan emas yang banyak, peradaban yang maju, kemahiran ketenteraan serta cara mereka mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan mereka.

Mereka juga mempunyai sistem penghambaan dan sering menjadikan hamba abdi sebagai korban tuhan mereka. Walaupun begitu, hamba abdi Empayar Aztec ini sebenarnya dilayan dengan agak baik dan mempunyai hak tersendiri. Berikut adalah perkara yang jarang diketahui mengenai hamba abdi sewaktu zaman Empayar Aztec ini.

9. Hamba boleh menebus kebebasan diri sendiri

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam dunia moden, penghambaan adalah sesuatu amalan yang dianggap ganas dan tidak berperikemanusiaan. Manusia dilayan bertentangan dengan kemahuannya dan sering diseksa, tidak diberi peluang untuk lari atau mengubah nasib buruk mereka sendiri.

Ramai beranggapan penghambaan moden ini tidaklah seteruk amalan penghambaan zaman purba. Namun, para pengkaji berpendapat sebaliknya. Terdapat lebih ramai hamba abdi moden ketika Amerika mula dibangunkan jika dibandingkan dengan hamba abdi zaman purba. Bahkan, penghambaan purba kurang ditindas berbanding perhambaan moden.

Dalam penghambaan moden, tawanan perang adalah lebih malang lagi. Jika hamba abdi disabitkan kesalahan, peluang mereka untuk membela diri amatlah tipis. Hal ini tidak bagi penghambaan semasa tamadun Aztec. Mereka yang menjadi hamba abdi boleh menebus kembali diri sendiri untuk kebebasan jika bekerja kuat dan menyimpan wang yang cukup.

8. Ibu bapa kadangkala menjual anak sebagai hamba untuk membayar hutang

aztec jual anak sebagai hamba

Sewaktu ketamadunan Aztec, menjual anak adalah sah di sisi undang-undang bagi sesetengah kes dan perlu melalui beberapa proses. Pertama, anda tidak dibenarkan menjual anak sebagai hamba untuk menjadi kaya. Pilihan ini hanya dibolehkan jika keluarga itu sememangnya miskin dan tidak mampu membesarkan anak itu.

Ini kerana dalam kes di Aztec, ibu bapa masih berharap anaknya mendapat kehidupan yang baik dalam sistem penghambaan mereka yang adil. Mereka juga boleh menebus anak itu kembali apabila mampu kelak. Jika ibu bapa mempunyai hutang yang banyak dan ingin menjual anak mereka, mereka perlulah mendapat kebenaran melalui perbicaraan mahkamah terlebih dahulu.

7. Hamba semasa Empayar Aztec boleh memiliki hamba lain

hamba memiliki hamba lain

Penghambaan moden seperti yang berlaku kepada kaum kulit hitam di Amerika tidak lama dahulu adalah bersifat diwarisi. Jika dilahirkan di dalam keluarga hamba, mereka tidak mempunyai hak dan sepenuhnya milik tuan mereka.

Namun, dalam masyarakat Aztec purba, seorang hamba bukan sahaja boleh membeli kebebasan sendiri malah boleh membeli hamba lain untuk bekerja di bawah mereka. Hamba yang membeli hamba lain ini mungkin menimbulkan tanda tanya bagi anda — jika sudah mempunyai wang yang begitu banyak untuk membeli hamba lain, bukankah lebih baik membebaskan diri sendiri sahaja?

Dalam sesetengah kes di mana hamba itu dimiliki oleh tuan yang berstatus tinggi, mereka akan mendapat banyak faedah dan keuntungan. Ia juga bergantung kepada nilai hamba itu sendiri, kadangkala adalah lebih murah untuk membeli hamba lain untuk bekerja di bawah mereka sementara mengumpulkan wang yang cukup untuk membeli kebebasan sendiri.

6. Hamba boleh berkahwin dan penghambaan bukan sesuatu yang diwarisi

perkahwinan hamba aztec

Kelayakan berkahwin bagi hamba bergantung kepada kawasan dan bandar tamadun Aztec, samada hamba itu pernah melakukan kesalahan berulang atau tidak. Akan tetapi, kebanyakan hamba boleh berkahwin jika mereka mahu.

Bagi hamba moden selama satu atau dua abad sebelum ini, anak yang dilahirkan dari keluarga hamba tidak pernah merasai kehidupan seperti yang mereka inginkan. Namun, ia berlainan bagi hamba pada zaman Empayar Aztec.

Bukan sahaja mereka boleh berkahwin, malah anak yang dilahirkan oleh ibu bapa hamba juga dilahirkan sebagai manusia bebas, bukan sebagai hamba. Kaum Aztec percaya bahawa mereka hanya memiliki tenaga kerja hamba yang mereka miliki tetapi bukanlah haknya sebagai manusia.

Dengan cara yang adil ini, ramai orang dewasa yang menjual diri mereka sendiri kepada penghambaan. Ini kerana mereka yakin anak mereka kelak tidak akan menanggung bebanan hutang atas kesalahan yang mereka lakukan sendiri.

5. Tawanan perang akan ditanda untuk menjadi hamba kepada upacara korban

hamba tawanan perang aztec

Tentera Aztec terkenal kerana kekejaman mereka. Mereka selalu ditakuti oleh musuh dengan memakai pakaian aneh yang berwarna-warni berdasarkan haiwan serta kehadiran mereka yang menggerunkan di medan perang. Bahkan juga mereka ditakuti kerana kaum Aztec akan melakukan apa sahaja untuk menangkap musuh hidup-hidup agar dijadikan korban darah serta dihormati kaum sendiri.

Walaupun kebanyakan tawanan musuh dijadikan korban, ada juga yang terselamat. Biasanya tawanan wanita dan kanak-kanak akan menjadi hamba untuk selamanya dan kadangkala dijadikan korban darah juga.

Namun, jika tawanan perang itu bernasib baik tidak dijadikan korban darah, tidak melakukan sebarang kesalahan atau masalah, mereka masih mempunyai peluang untuk dibebaskan suatu hari nanti. Walaupun kaum Aztec ini sangat tegas dan sentiasa menjadikan tawanan mereka sebagai korban darah tetapi dalam banyak hal mereka akan mencuba yang terbaik untuk berlaku adil.

4. Hamba yang tidak patuh dan bermasalah boleh bertukar menjadi korban darah

hamba yang melakukan kesalahan

Walaupun hamba mempunyai banyak persamaan dengan orang merdeka dalam banyak hal, lazimnya mereka tetap perlu rajin bekerja, hormat dan patuh kepada tuan mereka. Jika mereka tidak patuh, tuan mereka boleh melaporkan hal ini kepada penguasa dengan membawa sekali saksi kepada keingkaran atau kesalahan yang dilakukan.

Jika kesalahan ini berulang sebanyak 3 kali, tuan mereka boleh memilih untuk menjual hamba itu semula. Sekiranya hamba yang bermasalah ini dijual semua, ia akan dipakaikan dengan relang leher yang diperbuat daripada kayu sebagai pengajaran dan menyukarkan hamba itu untuk melarikan diri.

Jika mereka dijual sebanyak 3 kali kerana mengulangi kesalahan yang sama, mereka akan dijadikan sebagai korban darah pula untuk upacara pemujaan walaupun kebiasaannya tawanan perang yang akan dijadikan sebagai korban.

3. Tidak adil terhadap hamba adalah satu kesalahan

sistem mahkamah aztec

Dalam penghambaan moden, tuan kepada hamba dilihat mempunyai hak ke atas hidup dan mati terhadap hamba milikan mereka. Mereka melakukan pelbagai ketidakadilan terhadap hamba tanpa dihakimi. Namun, ia berbeza ketika tamadun Aztec purba.

Hamba bukan sahaja mempunyai hak untuk merdeka atau diberi harta, pemilik juga mempunyai batasan dalam melayan hamba mereka. Ini kerana mereka melihat seorang hamba itu sebagai seorang manusia dan berhak dilayan seadilnya dan dihormati.

Pemilik hamba perlu menjaga kebajikan hambanya dari segi makanan, perlindungan dan kesihatan. Walaupun anak hamba yang mereka miliki dilahirkan merdeka, mereka juga per membayar untuk kebajikan kanak-kanak itu. Jika seorang hamba itu dapat membuktikan ketidakadilan tuannya di mahkamah, mereka akan dibebaskan.

Hal ini membuatkan pemilik hamba pada masa itu tidak melakukan apa yang mereka mahukan sewenang-wenangnya atau berhadapan risiko kehilangan hamba. Jika pemilik membunuh hamba mereka, kemungkinan besar mereka juga akan dihukum bunuh atau dijadikan korban darah.

2. Pelbagai cara pelik yang lain bagi hamba mendapatkan kebebasan

hamba abdi aztec

Sudah diterangkan di atas bagaimana cara untuk hamba melepaskan diri dari penghambaan, antaranya ialah dengan membeli balik kebebasan. Jika hamba itu berkahwin atau memiliki anak bersama tuannya, dia akan menjadi merdeka serta-merta.

Jika pemilik melakukan ketidakadilan terhadap hamba dan dibuktikan bersalah maka hambanya juga akan mendapat kemerdekaan. Jika penderaan yang teruk dilakukan terhadap hamba, pemilik boleh dijual pula sebagai hamba kerana kesalahan teruk itu. Ini adalah cara yang biasa bagi hamba untuk bebas.

Namun terdapat juga cara yang dianggap pelik. Hamba biasanya terikat untuk berada di kawasan tanah milik tuannya. Jika hamba itu dibawa ke pasar dan berjaya melepaskan diri, berlari keluar dari tembok kota dan terpijak najis orang lain, mereka akan dikira merdeka. 

Jika hamba mereka melarikan diri, hanya pemilik atau anak lelakinya sahaja yang dibenarkan mengejar hamba itu. Jika ada orang lain yang masuk campur, mereka boleh dikenakan hukuman. Bagi hamba yang melakukan kesalahan berulang dan dipakaikan relang pada leher, jika berjaya melepaskan diri walaupun sukar, mereka akan ditempatkan di istana atau kuil.

1. Terdapat dua jenis utama penghambaan di Empayar Aztec purba

Ramai orang keliru apabila bercakap mengenai penghambaan di zaman Aztec purba. Mereka sering memikirkan bagaimana dengan kejam hamba-hamba ini diperlakukan. Namun, sebenarnya terdapat 2 jenis penghambaan dan mereka dilayan dengan sangat berbeza.

Jenis hamba yang pertama adalah mereka yang merupakan tawanan perang yang dijadikan hamba. Mereka ini biasanya dijadikan sebagai korban darah atau dikuburkan bersama-sama mayat tuan mereka sekiranya dia mati. Hamba jenis ini selalunya tidak mempunyai hak dan boleh diperlakukan sesuka hati.

Manakala satu jenis lagi ialah hamba dari masyarakat kaum itu sendiri yang menjual diri mereka sebagai hamba. Mereka ini dilayan seperti manusia, hidup di atas tanah milikan tuan mereka dan dijaga kebajikan disamping mempunyai hak sebagai manusia.

Penghambaan jenis ini tidak dilihat sebagai sesuatu yang buruk. Penghambaan begini boleh menjadi sementara sahaja. Mereka mempunyai peluang untuk menjadi merdeka, kaya dan memiliki status dalam masyarakat kelak. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)