Oleh pada 16 Oct 2017 kategori

Umum tahu bahawa lebah adalah antara spesis haiwan yang paling rajin dan berdisiplin di dunia. Namun tak ramai yang tahu bahawa lebah adalah penyumbang terpenting dalam proses pendebungaan dan pertanian.

Masih tidak jelas kenyataan ini kerana ramai tak dapat gambarkan apakah kepentingan pendebungaan dan pertanian kepada dunia?

iluminasi.com ingin berkongsi 8 perkara yang akan musnah dari muka bumi jika lebah mengalami kepupusan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

8. Industri kopi

industri kopi juga bergantung kepada populasi lebah madu 839

Lebah juga agen pendebungaan utama bagi kopi, selain daripada buah-buahan dan sayur-sayuran. Jadi, ini membuatkan bekalan kopi dunia akan semakin merosot menyebabkan industri kopi musnah. Ya, mungkin kopi tidak penting bagi sesetengah orang dan tidak akan menyebabkan kebuluran jika lenyap dari muka bumi. Namun banyak industri-industri lain di dunia bergantung kepada pengeluaran dan penjualan kopi.

Sebagai contoh, keuntungan yang dihasilkan oleh Starbucks pada tahun 2016 sahaja adalah sebanyak RM89 billion, dan mempunyai kakitangan seramai 245,000. Itu baru Starbucks, tak termasuk syarikat kopi lain.

Selain itu, kopi juga merupakan hasil utama negara Amerika Latin terutamanya Guatemala, yang mana kebanyakan populasinya bekerja dalam industri kopi. Jadi, jika kopi lenyap, maka ratusan ribu atau jutaan pekerja di seluruh dunia akan mata pencarian.

7. Industri pakaian

kain kapas adalah bahan paling banyak digunakan dalam pembuatan pakaian

Bahan fabrik yang paling popular di dunia adalah kapas. Dianggarkan 60% daripada pakaian wanita dan 75% daripada pakaian lelaki ketika ini menggunakan kapas sebagai bahan utama. Dan seperti yang anda boleh jangka, ya, lebah adalah agen pendebungaan terbesar bagi kapas.

Tanpa bantuan lebah, kapas boleh menjalankan pendebungaan sendiri namun sangat terhad. Tanpa lebah, industri kapas yang bernilai lebih RM420 billion ini akan merosot dan akhirnya lenyap. Ini secara tak langsung membuatkan penghasilan baju daripada kapas, juga terjejas dan akan lenyap juga. 

Antara pakaian yang paling popular yang diperbuat daripada kapas adalah t-shirt dan juga seluar jeans.

6. Industri biofuel

industri biofuel alternatif bagi sumber petrol dunia

Biofuel bermaksud bahan api yang dihasilkan secara langsung daripada benda hidup. Ia merupakan tenaga yang boleh diperbaharui, dan berfungsi sama seperti bahan api lain seperti petrol. 

Bezanya adalah, ia tidak digali dari dasar lautan, tetapi dihasilkan daripada beberapa tumbuhan yang diproses menjadi etanol. Teknologi ini telah merevolusikan industri bahan api, lantas menghasilkan cara untuk mengekalkan pembekalan kuasa kepada kenderaan. Banyak negara kini sudah mengambil kesempatan ke atas teknologi canggih ini terutamanya Kanada.

Antara contoh paling baik adalah bahan api berasaskan kanola. Ia menjadi pilihan yang lebih baik daripada yang lain disebabkan oleh tahan pada suhu sejuk, tinggi kandungan minyak, dan tidak menghakis. Dan ya, tanpa lebah, minyak kanola tak akan wujud lagi. Lebah mendebunga tumbuhan asalnya (rapeseed) dan membuatkan penghasilan minyak kanola masih boleh bertahan sehingga hari ini. 

Industri yang menjadi penyelesaian kepada masalah terbesar dunia (bahan bakar) ini akan musnah tanpa lebah.

5. Bekalan makanan dunia

bekalan makanan akan merosot jika lebah pupus 829

Terdapat sekitar 100 tanaman utama di atas muka bumi ini yang mana 90% daripadanya menjadi bekalan makanan kepada kita. Antaranya termasuklah adalah bawang, kobis, kelapa, tomato, cili, timun, epal, pisang, jagung dan banyak lagi. Lebah adalah agen pendebungaan utama kepada 70% daripada tanaman-tanaman.

Jika dihitung, 63% daripada tanaman dunia bergantung secara langsung kepada haiwan kecil ini. Ya, memang ada agen pendebungaan yang lain selain lebah, namun ia adalah terlalu sedikit berbanding lebah. Sebagai contoh, kelawar adalah agen pendebungaan kedua terbesar selepas lebah.

Namun kelawar lebih tertarik kepada tumbuhan yang mempunyai warna yang pudar termasuklah jambu dan buah ara, yang mana pasaran globalnya adalah sangat rendah. Malah, hasil-hasil ini tidak mampu untuk menampung 7 billion populasi dunia.

4. Industri pengangkutan trak dan lori

kekurangan sumber makanan menjejaskan industri trak dan lori

Bila disebutkan mengenai industri pengangkutan trak, ramai di antara kita tak terfikirkan mengenai buah-buahan dan sayur-sayuran. Tapi realitinya, terdapat permintaan yang sangat tinggi terhadap pemandu trak untuk menghantar makanan di seluruh dunia. 

Jadi, dengan musnahnya 63% daripada bekalan makanan utama manusia, ia akan memberikan impak yang tersangat besar kepada industri pengangkutan lori dan trak. Ia juga akan mencetuskan masalah kebuluran, serta menambahkan jumlah pengangguran di kalangan pemandu lori.

3. Industri daging 

lembu memerlukan nutrien penting untuk tumbesaran sihat termasuklah bantuan daripada lebah

Bagi menternak haiwan ternakan untuk dijadikan sumber makanan, 4 perkara penting perlu ada iaitu pelawas, biji-bijian, bijian minyak dan produk sampingan. Bahan pelawas dan bijian seperti rumput, jagung dan gandum mampu bertahan dengan mendebunga sendiri melalui angin. Produk sampingan pula dihasilkan daripada apa sahaja yang berkhasiat yang membekalkan nutrein dan kalori kepada haiwan ternakan.

Namun, bijian minyak seperti kanola dan bunga matahari, hanya diperoleh daripada tumbuhan yang didebungakan oleh lebah sahaja. Bijian minyak merupakan sumber protein utama kepada haiwan ternakan seperti lembu yang membantu ternakan membesar dengan baik dan sihat seterusnya membekalkan daging yang banyak kepada manusia.

Haiwan ternakan yang kekurangan nutrien dari bijian ini alkan mengalami masalah kesihatan seperti tumbesaran terbantut, pembiakan yang berkurangan dan keinginan untuk makan tanah. Jadi, selain sayuran dan buahan, bekalan daging juga akan semakin merosot tanpa lebah.

2. Ekonomi dunia

lebah madu mampu berikan impak kepada ekonomi dunia

Ekonomi di seluruh dunia sebenarnya agak bergantung kepada kehadiran lebah dalam ekosistem. Ekonomi Amerika Latin sangat bergantung kepada penjualan pisang di mana negara-negara di benua ini mengeksport 13 billion tan pisang setiap tahun. Jumlah ini sangat tinggi berbanding dari Asia sebanyak 2 tan dan 600,000 tan dari Afrika.

Di Asia pula, produk pertanian utama seperi kapas, bijian minyak dan buahan lain menyumbang kepada sebahagian besar ekonominya. Sebanyak 4% daripada produk pertanian ini menyumbang kepada KDNK China. Ekonomi Afrika juga bergantung kepada buah-buahan dan sayur-sayuran serta produk pertanian berasaskan minyak.

Dan kesemua ekonomi ini sangat berharap kepada kerja-kerja lebah dalam mengekalkan kewujudan tumbuhan-tumbuhan tersebut. Jumlah keseluruhan hasil tanaman melalui bantuan lebah melebihi RM126 billion setiap tahun. Jika agen pendebungaan ini pupus, ia akan memberikan impak yang sangat dahsyat kepada ekonomi dunia dan perdagangan antarabangsa.

1. Umat manusia

kemungkinan besar manusia akan pupus selepas pupusnya populasi lebah

Dan akhir sekali, benda yang akan lupus dari muka bumi ini jika populasi lebah lenyap, adalah umat manusia. Banyak jurutera dan saintis percaya bahawa manusia tak mampu untuk meneruskan kehidupan dalam jangka masa yang lama, selepas kepupusan lebah. Namun ramai juga yang ragu-ragu dengan teori ini, antaranya adalah "Science Focus" oleh BBC. Mereka berhujah dan tidak bersetuju dengan kesan yang akan berlaku terhadap manusia jika lebah pupus.

Namun, lebih banyak saintis yang bersetuju dengan teori ini yang mana manusia bergantung kepada lebah secara langsung. Malah, saintis-saintis menggelarkan lebah sebagai spesis paling berharga di dunia, mengatasi kulat, plankton, kelawar, dan juga primata.

Dr. George McGavin dari sebuah NGO, Earthwatch (Penyelidikan alam sekitar) mengakui bahawa dunia tanpa lebah sangatlah membinasakan. Hanya masa yang dapat menentukan sama ada ia benar atau tidak.

Wallahualam.

Rujukan:

1. Science Focus

2. UN

3. Vrse

4. Science ABC

5. Dot Foods

6. Agric

7. Ento

8. Guardian




Hakcipta iluminasi.com (2017)