fakta menarik tentang tom and jerry

Kanak-kanak tahun 90-an dan 80-an pastinya cukup sinonim dengan tayang kartun Tom and Jerry yang cukup popular satu ketika dahulu. Kartun animasi kanak-kanak yang mengisahkan perseteruan dan persahabatan antara seekor kucing ini  cukup mencuri tumpuan dan menghiburkan. 

Walau bagaimanapun, era kegemilangan Tom and Jerry akhirnya berakhir apabila pihak produser mengambil keputusan menamatkan rancangan ini pada tahun 2005 melalui episod terakhirnya yang bertajuk "The Karate Guard" yang ditayangkan pada 27 September 2005.

Adakah anda seorang peminat siri kartun Tom and Jerry? Mari lihat beberapa fakta menarik (dan mungkin anda sendiri tidak tahu) akan kartun animasi popular di peringkat global satu ketika dahulu ini, 

1. Awalnya dikenali sebagai Jasper and Jinx

sejarah tom and jerry

Apabila animasi pendek pertama untuk siri ini dikeluarkan ke pawagam, duo kucing dan tikus ini asalnya dinamakan "Jasper dan Jinx". Episod ini memaparkan Jasper, seekor kucing jantan, gemar mengganggu tikus yang diberi nama Jinx. Ia juga menampilkan "Mammy Two Shoes", pemilik Jasper, memarahi dan menghukum Jasper kerana perangainya yang nakal itu.

Selepas kejayaan episod pertama siri animasi ini, penciptanya Hanna dan Barbera mahu menukar nama kedua-dua watak ini dan untuk itu, mereka menganjurkan pertandingan intra-studio di mana setiap pekerja mencadangkan nama baharu untuk duo dinamik. John Carr, seorang animator, mencadangkan nama Tom dan Jerry dan memenangi $50 untuk ideanya itu. 

Nama "Tom and Jerry" pada ketika itu merujuk kepada sejenis minuman popular ketika musim perayaan Hari Krismas. 

2. Mula diterbitkan sejak tahun 1940

episod terawal tom and jerry

Walaupun siri animasi kartun ini popular di Malaysia pada tahun 90-an, tidak ramai yang tahu bahawa Tom and Jerry sebenarnya mula ditayangkan sejak tahun 1940 lagi. Ini bermakna, siri animasi ini sudah 50 tahun popular sebelum memasuki Malaysia dan menjadi kegilaan kanak-kanak ketika itu.

Filem pendek Tom and Jerry yang terakhir dikeluarkan pada 27 September 2005 bertajuk "The Karate Guard". Secara keseluruhannya siri animasi ini mempunyai 163 episod dimana episod pertamanya "Puss Gets the Boot" ialah episod terpanjang dengan masa tayangan selama sembilan minit dan lapan saat (9:08).

3. Mempunyai 163 episod dan 3 fasa berlainan

tom and jerry

Siri Tom dan Jerry mempunyai tiga fasa tayangan. Fasa pertama tayangan yang asal telah dicipta oleh William Hanna dan Joseph Barbera, mempunyai 114 episod secara keseluruhan. Ia adalah tayangan teater dan bermula dari 10 Februari 1940, dan berterusan sehingga 1 Ogos 1958.

Fasa kedua untuk siri ini diarahkan oleh Gene Deitch sebanyak 13 episod yang malangnya dikenali sebagai tayangan pendek Tom dan Jerry yang paling teruk. Ia mula dikeluarkan pada 7 September 1961 sehingga 21 Disember 1962.

Fasa ketiga pula dihasilkan oleh Chuck Jones. Beliau menghasilkan 34 episod secara keseluruhan dan ia disiarkan dari 27 Julai 1963, sehingga 8 September 1967. Oleh itu, ketiga fasa tayangan rancangan ini memberikan jumlah keseluruhan sebanyak 161 episod.

4. Muka pemilik Tom hanya ditayangkan sekali sahaja

mammy two shoes

Mammy Two Shoes yang digambarkan sebagai pemilik Tom dalam siri ini kebanyakannya dikenali dengan kakinya dan bukannya dengan wajahnya. Dalam keseluruhan siri animasi ini, wajahnya hanya ditunjukkan sekali sahaja secara ringkas, dalam episod bernama "Saturday Evening Puss" yang dikeluarkan pada 14 Januari 1950.

Wataknya juga merupakan elemen paling kontroversi dalam siri ini kerana dia digambarkan sebagai pembantu rumah berkulit hitam yang bercakap dalam stereotaip orang kulit hitam. Ini dilihat sebagai perkauman oleh sesetengah orang. Kemudian, suaranya dialih suara untuk menjadikan bunyinya kurang stereotaip.

5. Pernah memenangi Anugerah Oscar

tom and jerry anugerah oscars

Tom dan Jerry bukan sahaja digemari oleh penonton daripada pelbagai lapisan umur tetapi juga oleh Academy of Motion Picture Arts and Sciences, iaitu komuniti Oscar. Siri animasi ini telah memenangi tujuh Oscar setakat ini di bawah kategori “Academy Award for Best Short Subject: Cartoons”. Mereka telah dicalonkan untuk enam lagi kategori lagi.

Episod yang memenangi Oscar termasuk "The Yankee Doodle Mouse" pada tahun 1943, "Mouse Trouble" pada tahun 1944, "Quiet Please!" pada 1945, "The Cat Concerto" pada tahun 1946, "The Little Orphan" pada tahun 1948, "The Two Mouseketeers" pada tahun 1952 dan "Johann Mouse" pada tahun 1953.

6. Hampir dihentikan tayangan selepas episod pertama

tonton tom and jerry 683

Apabila Joseph Barbera mengemukakan idea siri komik kucing dan tikus, tiada seorang pun pekerja studio animasi MGM berminat dengan ideanya Mereka merasakan idea itu tidak asli dan terlalu biasa apabila ia berkaitan dengan kartun. Jadi. selepas episod pertama ditayangkan, William Hanna dan Joseph Barbera meneruskan untuk mengusahakan projek bukan "kucing dan tikus" yang lain.

Hanya setahun kemudian, setelah animasi pendek pertama Tom dan Jerry mendapat sedikit populariti barulah kedua mengambil keputusan untuk meneruskan kembali siri animasi ini. Ternyata mereka berdua telah membuat keputusan yang sangat bijak.  

7. Tom asalnya berjalan dengan 4 kaki 

kartun tom and jerry

Tom telah mengalami perubahan besar dalam penampilannya melalui sejarah animasi Tom and Jerry. Apabila pertama kali wataknya dipertontonkan pada tahun 1940-an, Tom kelihatan lebih seperti kucing sebenar. Dia dilihat berjalan merangkak dalam episod awal seperti kucing sebenar.

Selain itu, Tom juga digambarkan mempunyai bulu tebal dan tidak terurus, banyak kedutan di muka serta tanda di kening. Menjelang penghujung tahun 1940-an, penampilan Tom diubah menjadi lebih menarik. Jerry pula sebalikna dan fizikalnya kekal hampir sama sepanjang sejarah rancangan animasi ini.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Fandom
  3. Express UK


Hakcipta iluminasi.com (2017)