Hak cipta dan cap dagangan adalah sejenis perlindungan yang diwujudkan bagi melindungi pencipta dan pemilik sesuatu ciptaan.

Namun, dalam kes-kes tertentu, terdapat pihak yang menyaman pihak lain menggunakan undang-undang ini atas alasan yang tersangat pelik dan tak masuk akal.

iluminasi.com kongsikan 6 tuntutan hak cipta yang paling pelik pernah dilakukan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

6. Mengambil gambar makanan

tuntutan hak cipta terhadap gambar makanan yang diambil di jerman

Jika anda salah seorang daripada mereka yang tidak boleh menyentuh makanan sebelum gambar diambil dan memuatnaik ke Instagram, maka anda mungkin tak mahu melancong ke Jerman.

Jika anda lakukan sedemikian di negara ini, chef tersebut mempunyai hak untuk menyaman anda dan ya, dia akan menang.

Pada tahun 2013, undang-undang Jerman dengan jelas menyatakan:

"Untuk makanan yang disusun dengan teliti di restoran terkenal, chef dianggap sebagai pencipta kerja tersebut. Sebelum ia boleh ditunjukkan kepada umum melalui Facebook atau lain-lain, kebenaran mesti terlebih dahulu diminta daripada chef tersebut,".

Undang-undang ini hanya boleh dikuatkuasakan jika chef tersebut melakukan usaha dalam menghasilkan hiasan hidangan tersebut. Oleh itu, anda mungkin terlepas jika mengambil gambar burger dari McDonald di Jerman.

Namun, jika hidangan itu dihiasi dengan sedikit hiasan, sebagai contoh renjisan daun bawang sekalipun, ia dianggap sebagai seni dan anda tak boleh mengambil gambar tanpa izin.

Setakat ini tiada siapa yang berani mencabar undang-undang ini kemungkinan disebabkan oleh hukuman yang tak sepadan dengan tindakan, namun ia menjadi perbualan orang ramai di negara ini.

Beberapa orang chef mengadu bahawa orang yang mengambil gambar makanan mereka sebagai "mengambil harta intelektual daripada restoran".

Banyak kedai-kedai dan restoran telah meletakkan papan tanda "tidak dibenarkan mengambil gambar" dan jika ada yang disaman, mahkamah tidak mempunyai pilihan selain daripada berpihak kepada pihak restoran.

5. Hak cipta nama seorang wanita

laura luke skywalker matthews

Pada tahun 2014, seorang wanita dari United Kingdom, Laura Elizabeth Skywalker Matthews telah ditolak permohonan untuk memperbaharui passportnya, kerana namanya melanggar hak cipta.

Bagi pembelaan pihak pejabat passport, "Skywalker" bukanlah nama kelahiran Laura. Dia menambah nama tersebut pada tahun 2008.

Perubahan nama tersebut telah diluluskan dan Laura telah menerima lesen memandu dan kad bank baru, serta segala-galanya yang memaparkan nama barunya itu.

Hanya pejabat passport sahaja yang enggan meluluskan pembaharuan passport kepadanya, megnatakan bahawa mereka "tidak mengiktiraf perubahan nama kepada yang tertakluk kepada hak cipta atau cap dagangan".

Dan mereka terus menolak, sehingga Laura melalui peguamnya menyaman pihak pejabat dan memaksa mereka untuk meluluskannya.

Kisah ini sangat pelik, namun ia bukanlah kali pertama seseorang itu disaman disebabkan nama mereka.

Rapper dan penerbit terkenal, Dr. Dre pernah cuba menyaman seorang doktor pakar sakit puan bernama Dr. Drai atas alasan nama doktor tersebut "mengelirukan" membuatkan orang beranggapan itu adalah Dr. Dre.

Kes ini dipanjangkan ke mahkamah, di mana hakim terpaksa menjelaskan kepada Dr. Dre bahawa tak mungkin ada sesiapa yang akan tersilap beranggapan bahawa rapper itu telah bersara dan bertukar profesion kepada seorang pakar sakit puan.

4. Cubaan untuk membaiki traktor sendiri

traktor john deere tidak dibenarkan dibaiki sendiri

Sejumlah petani telah berjuang menentang syarikat John Deere ke atas hak untuk membaiki traktor mereka. Traktor-traktor mereka yang baru dihasilkan dengan komputer terbina di dalam yang menyelia enjin, dan John Deere tidak membenarkan pemilik untuk membaiki enjin mereka sendiri.

Komputer tersebut memiliki kunci digital yang memerlukan anda memasukkan kunci sebelum melakukan apa-apa pembaikan, walaupun masalahnya adalah sekecil tali yang longgar.

Sekiranya traktor rosak, petani sama ada perlu melawat pengedar John Deere yang berlesan atau menunggu kakitangan mereka datang dan memasukkan kunci yang dikenakan bayaran asas RM920 ditambah dengan RM420 untuk setiap jam perkhidamatan pekerja John Deere.

Para petani boleh menggodam sistem komputer tersebut dengan menggunakan program atas talian, namun John Deere bersedia untuk menyaman sesiapa yang cuba melakukannya.

Mereka menganggap ia sebagai kecurian harta intelek dan akan menyaman sehingga RM2 juta dan 5 tahun penjara kepada sesiapa yang berani membaiki traktor milik sendiri tanpa membayar wang kepada mereka.

3. Tunjukkan cara membaiki MacBooks

louis rossmann disaman apple disebabkan macbooks

Kes ini sama seperti kes di atas. Louis Rossman menjana pendapatan dengan menunjukkan kepada orang ramai cara untuk membaiki alat elektronik di Youtube. Tetapi apabila dia memuatnaik video yang menunjukkan cara untuk membaiki MacBooks, Louis hampir kehilangan segalanya.

Pada tahun 2016, Apple telah mengutuskan sepucuk surat kepada Louis yang penuh dengan ancaman, menuduhnya melanggar hak cipta mereka dengan membiarkan orang melihat skema komputer mereka.

Butiran surat itu tidak pernah ditunjukkan kepada orang ramai tetapi Louis menyatakan dengan jelas bahawa Apple telah mengancam untuk menyerang kedainya, memusnahkan perniagaannya dan menutup saluran Youtubenya.

"Kami mempunyai hak untuk memperbaiki "sampah" (MacBooks) yang anda hasilkan," kata Louis di blognya. "Kami berhak membetulkan apa yang anda buat tanpa dikenakan bayaran sebanyak RM2,600 disebabkan terpaksa mendapatkan alat ganti daripada anda," tambahnya lagi.

Apple akhirnya membatalkan tuduhan kemungkinan kerana semua publisiti yang Louis berjaya hasilkan. Apple kemudian meneruskan usaha mereka menyaman perniagaan-perniagaan kecil dengan dakwaan yang sama seperti dikenakan terhadap Louis.

2. Jurugambar yang menggunakan gambarnya sendiri

gambar carol highsmith dicuri getty images

Pada tahun 2016, seorang jurugambar Carol Highsmith menerima surat cease-and-desist (surat agar menghentikan dan tidak memulakan semula perkara yang menyalahi undang-undang) daripada Getty Images.

Getty Images mengugutnya untuk mengheretnya ke mahkamah jika dia tidak menurunkan gambar (seperti di atas) yang dimuatnaik ke laman sesawangnya.

Perkara ini adalah tersangat pelik, kerana Carol adalah pemilik, yang mengambil gambat tersebut, dan dia memuatnaik ke domain awam.

Beberapa tahun sebelum itu, Carol telah mendermakan 100,000 daripada foto-fotonya kepada Perpustakaan Kongres supaya ia boleh digunakan tanpa sebarang bayaran oleh sesiapa sahaja yang mahu menggunakannya.

Perpustakaan Kongres melihat tindakan itu sebagai antara tindakan murah hati dalam sejarahnya, dan Getty Images, melihat ini sebagai satu tindakan yang boleh menjadikan mereka kaya dengan menggunakan hasil kerja orang lain.

gambar carol highsmith dicuri getty images 2

Getty Images memfailkan hak cipta terhadap 18,755 gambar milik Carol itu dan mula menghantar surat ceast-and-desist kepada semua orang daripada menggunakannya, termasuklah Carol sendiri.

Carol dengan penuh kemarahan mengheret Getty Images ke mahkamah dengan saman sebanyak RM4 bilion, namun ia tidak berpihak kepadanya.

Mahkamah menyatakan bahawa: "Hasil kerja domain awam sering dikomersialkan dan pemilik asal tidak mempunyai kuasa untuk menghentikannya,".

Dengan kata lain, walaupun sumbangan Carol telah memberi semua orang hak yang sah untuk menggunakan gambarnya secara percuma, ia tidak dapat menghentikan Getty Images daripada mengancam orang untuk membayar kepada mereka atas penggunaan gambar-gambar tersebut.

Namun, Getty Images mengaku kesilapan mereka kerana menghantar surat tersebut kepada Carol

1. Video asli di Youtube dicuri oleh Family Guy

family guy mencuri video di youtube

Rancangan animasi Family Guy telah menghasilkan satu babak 1 minit ke dalam salah satu daripada episod yang mana melihatkan karekter-karekternya berborak mengenai sebuah video yang dimuat naik ke lama Youtube.

Video tersebut adalah satu rakaman daripada sebuah permainan video lama yang dikenali sebagai Double Dribble, memaparkan bagaimana anda boleh melakukan lontara daripada penjuru gelanggang untuk mendapatkan 3 mata.

Video tersebut langsung tidak disunting, kecuali Family Guy menambah ulasan melalui karekter-karekter tersebut. Dan apa yang mengejutkan adalah, syarikat Fox tidak memohon kebenaran untuk menggunakan video.

Malah, selepas "mencuri" video tersebut, Fox memfailkan tuntutan hak cipta terhadap individu yang memuat naik video itu, orang yang mereka plagiat.

Video tersebut telah dimuat naik 7 tahun sebelum episod Family Guy itu, namun entah bagaimana Fox berjaya menurunkan video itu dan menggantikan dengan notis yang mengatakan: "Video ini mengandungi kandungan dari FOX, yang menyekatnya di atas alasan hak cipta.".

Individu tersebut yang memuat naik video tersebut melalui akaun Youtubenya, "sw1tched", tidak melakukan kekecohan, walaupun dia dengan mudah boleh memenangi tuntuntan terhadap Fox.

Apa yang dia mahukan hanyalah meminta mereka untuk membenarkannya memuatnaik semula videonya. Dia juga berterima kasih kepad Fox kerana mencuri video tersebut, megnatakan ia adalah publisiti percuma.




Hakcipta iluminasi.com (2017)