Sebagai sukan nombor satu paling popular dunia, perbincangan berkenaan atlet-atlet atau pemain yang terlibat dalam sukan ini pasti akan senantiasa berlangsung.
Isu dan topik melibatkan prestasi, perpindahan, kontrak dan gaji pemain bola sepak profesional sering menghiasi mana-mana perbincangan berkenaan sukan tersebut, dihiasi spekulasi dan bermacam pandangan peminat yang berbeza.
BESARKAN TEKS A- A+
Topik gaji pemain serta kesetiaan pemain menjadi isu paling sensitif peminat, kerana ramai peminat memegang tanggapan pemain seharusnya setia dengan sesebuah kelab - tidak sepatutnya menjadikan habuan duit sebagai fokus utama.
Realitinya yang perlu kita hadam - pemain bola sepak profesional pun manusia biasa macam kita. Ini lima sebab utama yang menampakkan persamaan yang ada.
1. Salahkah pemain mahu gaji lebih tinggi?
"Alhamdulillah. Rezeki aku, gaji naik."
Gaji atau pendapatan pemain selalu menjadi topik yang hangat, kerana ramai beranggapan bahawa seorang pemain bola sepak profesional yang mengutamakan angka gaji yang bakal mereka terima sebagai satu perkara kurang enak.
Adakah anda sebagai pekerja tidak mahu gaji lebih tinggi, itu persoalan utamanya? Kenapa kita memandang serong pemain yang berkeinginan untuk mendapatkan purata pendapatan lebih baik, sedangkan majoriti kita sendiri menyimpan kemahuan serupa?
Pemain bola sepak profesional adalah golongan pekerja juga. Sebab itulah perjanjian mereka dengan kelab digelarkan kontrak. Ramai melihat pendapatan yang tinggi sepatutnya tidak melahirkan pemain yang tamak, mahu mengejar imbuhan lebih besar. Perlu setia kepada kelab.
Tetapi jika anda dalam posisi mereka, tak ke kita pun akan mengambil langkah serupa sehingga sanggup lompat-lompat kerja nak naikkan gaji?
2. Tak bolehkah pemain mahu fasiliti kerja lebih baik?
Seorang pemain mula menyertai akademi negeri pada usia muda. Dia akhirnya naik dari satu tahap umur ke tahap lebih tinggi, sebelum mula menyertai pasukan utama.
Baru sempat satu musim, pemain itu yang dilabelkan 'anak jati kelab' dipancing untuk menyertai kelab lain yang diketahui lebih baik, lebih moden dan lebih terancang pergerakannya. Akibat tindakan tersebut, dia mula dikritik tidak kenang budi.
Kita juga dalam karier mahu bekerja di tempat yang memberikan kita lebih banyak faedah. Jika sebelum ini kita bekerja dalam pejabat yang sempit dan tak ada pendingin hawa, peluang untuk kerja di tempat lebih selesa sukar untuk kita kata tidak pada tawarannya.
Seandainya sebelum ini kita bekerja dengan syarikat bertaraf pemilikan tunggal, tiba-tiba datang tawaran syarikat multinasional yang diketahui lengkap serba-serbi fasilitinya - takkanlah kita nak terus setia dengan syarikat kecil kita?
3. Pemain pun mahu bekerja dengan pekerja yang setara mereka
"Kau officemate aku? Kau?"
Apabila anda dah biasa bekerja dalam pelbagai syarikat baik besar atau kecil, anda pasti sudah menyedari bahawa ada jurang yang ketara dalam perbezaan kualiti rakan sekerja yang bertugas bersama anda - bergantung kepada ketelitian bahagian sumber manusia mereka mencari calon yang sesuai.
Walaupun pedih untuk diakui, bekerja sebagai ketua kepada sekumpulan pekerja yang berkemahiran rendah tak sama dengan bekerja dengan barisan pekerja yang lebih mantap pengetahuan dan kemahirannya. Kita mahu rasa dicabar pekerja lain dan dalam masa sama, kita mahu tahu pekerja lain pun mempunyai keupayaan setanding kita.
Dengan ini kita sebagai individu dan juga pekerja mampu merasakan penambahbaikan dalam kemahiran kita, yang seterusnya membantu memperkembangkan lagi diri kita. Begitulah juga apa yang dihajati pemain bola sepak profesional.
Berapa lama seorang pemain yang handal mampu terus bermain dengan pemain-pemain berkategori kelas dua, sekadar puas dapat mengelak tersungkur ke divisyen bawah? Hendak tak hendak, dia pasti mahu bermain dengan pemain yang berkongsi fokus yang sama tidak puas hanya dengan pencapaian ala kadar setiap masa.
4. Semua orang mahu diurus pengurus terbaik
Dalam arena sukan bola sepak, reputasi pengurus memainkan peranan yang sangat besar dalam menentukan adakah kelab mampu memikat pemain-pemain yang berpotensi.
Semua individu mahu bekerja dengan individu yang kita yakini dapat membantu kita melonjakkan karier dan mempunyai kemampuan untuk menangani apa saja masalah yang bakal kita hadapi.
Kita sebagai pekerja bukan pemain bola sepak pun memasang keinginan sama. Jika kita masuk ke sesebuah organisasi atau syarikat, perkara kedua yang menjadi faktor utama paling penting selepas gaji - adalah 'hajat mendapatkan boss yang OK.'
Tak ada sesiapa selesa bekerja dengan boss yang perangainya terlalu emosi, suka mengarah-ngarah, rasa diri senantiasa betul dan hanya mahu kendalian mereka mendengar 1 per satu 1 arahan tanpa kompromi.
Kita sering mendengar kisah berkenaan pengurus yang boleh dijadikan model, berjaya membawa pemain dan pasukan ke tahap lebih tinggi. Tetapi jarang kita ceritakan tentang pengurus yang menjahanamkan kelab dan semangat pemain, sehingga mengakibatkan karier pendek pemain bola sepak terbantut.
Bayangkan anda terpaksa bekerja dalam suasana sedemikian, tanpa ada jalan keluar kerana kontrak masih berbaki 3-4 tahun dan prestasi anda pula menjunam disebabkan masalah dengan pengurus.
5. Semua orang memasang cita-cita
Bergelar pemain bola sepak profesional mengakibatkan pelbagai sentimen kurang adil diletakkan kepada anda. Anda perlu sentiasa profesional. Anda perlu jaga etika. Anda perlu memberi 100% setiap hari di atas padang.
Semuanya berpunca daripada amaun gaji yang diterima pemain-pemain ini, menyebabkan ramai di antara meletakkan jangkaan luar biasa ke atas pemain bola sepak yang mewakili kelab yang kita sokong.
Adil tak jika anda diletakkan dalam situasi sama? Adakah realistik seandainya orang luar mahu anda memberikan 100% sepanjang anda bekerja dari jam 9 hingga 5 di pejabat? Pasti tak bukan? Pasti ada masa anda pun perlu memperlahankan rentak.
Kita perlu faham kenapa mereka berhak mendapat gaji sebulan yang sama dengan gaji setahun atau dua tahun kita. Mereka bekerja depan puluhan ribu orang yang akan mengherdik mereka, setiap kali ada kesilapan dilakukan. Pengurus mereka senantiasa di tepi memerhatikan semua tindakan mereka.
Di atas padang, ada 11 pemain pasukan lawan yang sanggup melakukan apa saja agar pemain itu gagal melakukan kerja mereka dengan baik. Yang paling penting, hanya dengan berjaya berada di atas padang - dana penajaan akan masuk bagi membantu kelab memperkembangkan pengaruh mereka.
Adakah kita perlu melalui semua itu? Tidak. Apa saja kesalahan kita dalam pekerjaan kita, tak dilaporkan dalam akhbar. Penjaga gol gagal menangkap bola, satu negara mengutuk dia.
Kita tersilap masukkan data sehingga mengakibatkan kerugian kepada majikan, yang tahu hanya kita.
Lagipun, kita boleh bekerja sehingga usia kita 55, 60 tahun sebelum bersara. Pemain bola sepak nak buat duit, tak lama. Biasanya di antara usia 22 hingga 32 tahun saja mereka mampu mendapatkan gaji yang mereka pinta.