Sebagai penulis Iluminasi, kami sering menceritakan kepada anda tentang kehebatan kepintaran buatan (selepas ini akan dirujuk sebagai AI atau 'artificial intelligence') yang mampu melakukan bermacam perkara melibatkan kiraan komputer dengan kadar segera.

Walaupun ramai mengagumi kemampuan AI, amaran tentang AI yang semakin pintar disebabkan kemampuannya mentafsir dan mengolah data besar sehingga mampu menggantikan hasil tangan manusia tetap perlu dibunyikan; termasuklah oleh kami di sini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejak setahun dua ini kontroversi berkait AI semakin kerap kedengaran, kerana kepintaran buatan ini sudah mula diterima bagi memecah masuk bidang yang asalnya memerlukan kemahiran manusia sepenuhnya.

Agak menakutkan bagaimana AI sudah diterima pakai, sehingga mampu menggantikan lima kerjaya di bawah dengan hasil kerja yang berbaloi dengan bajet semuanya.

1. Pelukis

pelukis bakal digantikan ai

Sekiranya anda seorang pelukis - apa yang sedang melanda industri pengkaryaan khususnya seni digital ketika ini pasti menggusarkan anda.

Kemampuan AI menghasilkan karya lukisan sudah halus hasilnya, membolehkan sesiapa saja 'mengeluarkan' karya lukisan digital hanya dengan menaip beberapa ayat sebagai kata kunci panduan. Laman web komuniti artis digital di internet semakin kerap diselubungi kontroversi, khususnya apabila membincangkan berkenaan hak cipta.

Sistem AI memerlukan pengkalan datanya mengkaji dan meneliti jutaan karya sedia ada bagi memudahkannya memahami dan menjana karya baru. Namun keperluan ini dikritik pengkarya sebenar, kerana kebanyakan sistem AI tidak mendapatkan keizinan untuk karya-karya ini digunakan sebagai 'ilham.'

Lebih haru, karya yang dihasilkan oleh AI adalah interpretasi berbeza karya-karya sedia ada yang jelas meniru atau merekabentuk semula. Tetapi dek kerana ketiadaan undang-undang hak cipta yang jelas berkaitan AI, pelukislah yang jadi mangsa.

2. Penulis

penulis sastera bakal diganti ai

Kami dah cuba beberapa laman web AI yang mampu menghasilkan penulisan digital berdasarkan kepada input kata kunci. Hasilnya menakutkan kami.

AI untuk penulisan ketika ini mampu menghasilkan penulisan bersifat am yang lebih baik berbanding mana-mana terjemahan Google Translate.

Namun apa yang belum ada adalah 'sentuhan peribadi', elemen yang memberikan karya atau artikel sesuatu identiti. Kami yakin berdasarkan perkembangan yang ada, kelemahan ini dapat diatasi tidak lama lagi.

Apa yang sangat-sangat menakutkan kami, kami takut di masa depan AI sudah mampu menulis artikel berasaskan fakta dengan mudah. Setiap kali kami sebagai penulis hendak menulis, kami perlu merujuk silang sama ada dari laman rujukan di internet dan kadangkala rujukan buku juga.

AI dapat melakukan rujuk silang sekelip mata, kerana data-datanya sudah tersedia.

Seandainya kami memerlukan sehari untuk menulis artikel '5 perkara menarik tentang Malaysia', AI mampu menulisnya tak sampai seminit kerana kemampuannya menarik informasi tak boleh dilawan manusia biasa.

3. Pereka Grafik

pereka grafik tidak relevan

Kisah sedih pereka grafik dibayar murah oleh individu atau syarikat yang berkehendakkan rekaan logo bagi tujuan pembinaan profil korporat, adalah kisah yang kerap kedengaran.

Sedih untuk kami katakan, kisah sebegini mungkin pupus di masa hadapan dek kemampuan AI. Sebuah syarikat kini boleh menggunakan khidmat berbayar AI bagi mereka bentuk logo dan profil syarikat, disiapkan dalam kadar segera dan murah.

logo iluminasi versi ai

Tak perlu lagi syarikat dan pereka bergaduh kerana langgar deadline atau mahukan pembetulan dijalankan. Tengok logo Iluminasi yang kami jana dengan AI di atas.

Berapa lama kami perlu untuk jana ketiga-tiga logo? Tak sampai 2 minit dah siap semuanya. Klik klik klik. Siap tiga.

4. Komposer

komposer gubah lagu

Sama seperti pelbagai jenis format karya yang mampu dihasilkan AI, seni gubahan muzik juga telah mula diterima dalam industri profesional.

Sekiranya AI jadi semakin pintar, tidak ada lagi keperluan untuk syarikat rakaman menggajikan komposer dan penulis yang berbakat mencipta lagu.

Sebaliknya, lagu boleh dihasilkan dengan mudah, taip saja mesej liriknya dan genre apa , tup tup tup terhasillah sebuah lagu untuk dijual kepada pendengar. Lebih menguntungkan, bayaran royalti tidak lagi perlu dikeluarkan kepada komposer atau penggubah lagu.

Keuntungan 100% akan diterima oleh syarikat rakaman atau mungkin jika perlu dikongsi, akan dikongsi dengan syarikat pengendali AI.

Sekiranya anda tinjau, AI bagi penghasilan lagu sudah mempunyai keupayaan untuk menghasilkan album lengkap tetapi rata-rata vokalnya masih memerlukan khidmat suara manusia.

Di masa depan, tak mustahil penyanyi atau vokalis pun tak lagi diperlukan kerana AI sudah mampu menjana suara mengikut ketetapan. Nak lagu berentak Irama Malaysia, tapi dinyanyikan penyanyi dari luar Malaysia? AI boleh melakukannya.

5. Pempengaruh media sosial

pempengaruh media sosial

Dalam tahun 2019, kami telah menerbitkan sebuah artikel berkenaan projek penghasilan pempengaruh atau influencer yang dijana oleh AI.

Jika 3 tahun dahulu prospek itu agak menakutkan, kini situasinya tampak lebih menyeramkan.

Kemampuan AI menjana 'seorang pempengaruh maya' bukan saja terhad kepada penciptaan watak, malahan AI juga mampu merekabentuk kandungan berteraskan identiti seorang pempengaruh popular, yang akan mengakibatkan masyarakat dunia mudah dipesongkan; untuk mengikuti perjalanan karier seseorang yang sebenarnya tiada.

Syarikat pengendali AI sebegini juga boleh menyebarkan apa saja mesej yang mereka suka melalui siaran, tanpa kita sedar kita sebenarnya diperdaya.

Bersandarkan kepada teknologi AI, syarikat pengendali bukan saja mampu 'melahirkan' pempengaruh lengkap serba-serbi berbakat dalam pelbagai bidang, mengacara, menyanyi, berlakon; mampu menggantikan seorang pempengaruh sebenar yang lebih terhad kemampuannya.

Silap-silap ada di antara kita ketika ini sudahpun terjebak mengikuti rutin hidup seorang pempengaruh media sosial, yang sebenarnya hanyalah nilai binari dan angka tetapi diberikan watak ibarat manusia biasa.

Rujukan




Hakcipta iluminasi.com (2017)