Oleh pada 26 Jan 2018 kategori

Sumber foto: The Malaysian Times

Pengguna disyorkan untuk tidak lagi menggunakan empat produk kosmetik yang didapati mengandungi racun berjadual dan berjumpa dengan pakar kesihatan dengan pantas sekiranya mempunyai apa-apa tanda yang mencurigakan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi sebuah kenyataan semalam, sebahagian produk yang dimaksudkan seperti produk Ori Herbs Coffee Marketing iaitu 'Dnars Yellow Gold Collagen' yang mengandungi merkuri.

Ujarnya, produk Sejagat Global Resources iaitu 'Moleek Skincare Anti Pigmentation Cream Plus', produk Onew Cosmetics iaitu 'Dnars Day Cream', serta produk Arriana Rose Beauty Rersources iaitu 'Luffiya Night Cream 1 dan 2' turut didapati mengandungi hydroquinone dan tretinoin.

senarai terbaru 4 produk kosmetik mengandungi racun berjadual 592

Sumber foto: Bernama Radio

Dr Noor Hisham memberitahu, penjual dan pengedar kesemua produk kosmetik berkenaan diberi peringatan keras agar menamatkan penjualan dan pengedaran produk yang dinyatakan dengan serta-merta.

"Penjual diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," tegasnya.

Jelasnya lagi, sesiapa yang didapati membuat kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan selanjutnya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.

Sumber berita: BernamaUtusan Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)