pengintip cia

Kemajuan teknologi walaupun banyak kebaikannya, tetap mempunyai keburukannya. Dari aspek keselamatan, terdapat peningkatan risiko keselamatan teknologi sesebuah negara diceroboh oleh penggodam untuk mencuri data-data penting terutamanya yang melibatkan keselamatan negara.

Selama lebih dari setengah abad, lebih daripada 100 negara di seluruh dunia mempercayai dan mnggunakan teknologi yang dibangunkan oleh esebuah syarikat untuk merahsiakan komunikasi antara pengintip, tentera dan diplomat mereka.

Syarikat yang dikenali sebagai Crypto AG ini mendapat peluang pertama apabila memperolehi kontrak untuk membina mesin pembuatan kod (enktripsi) untuk tentera Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Kedua.

Kontrak ini membolehkan mereka mengukuhkah kewangan dan melaburkan semula wang untuk kajian-kajian pembangunan teknologi terbaru, seterusnya menjadi pembuat peranti penyulitan yang dominan selama beberapa dekad. Mereka turut membangunkan teknologi navigasi gelombang teknologi dari gear mekanikal ke litar elektronik sehinggalah kepada pembuatan cip silikon dan perisian.

Syarikat dari Switzerland ini membuat berjuta-juta dolar menjual peralatan ke lebih dari 120 negara hingga abad ke-21. Pelanggannya termasuklah Iran, junta tentera di Amerika Latin, dua buah negara yang saling bermusuhan seperti India dan Pakistan bahkan Vatican.

Pemilikan secara kerahsiaan oleh CIA

pentintip cia

Tetapi apa yang tidak diketahui oleh pelanggannya ialah Crypto AG ini sebenarnya dimiliki secara rahsia oleh CIA dalam satu perkongsian yang sangat terperinci dengan perisik Perkhidmatan perisikan BND Jerman Barat. Pemilikan ini tamat pada tahun 2018 apabila syarikat ini menjual kesemua asetnya kepada sebuah syarikat swasta.

Agensi perisik ini dipercayai mempunyai kemampuan untuk mengakses data-data peranti yang dihasilkan syarikat ini sehingga mereka dapat dengan mudah membaca kod yang digunakan negara (pelanggan) untuk menghantar mesej yang disulitkan (encrypted) itu.

Pemilikan secara bersama yang disembunyikan selama puluhan tahun merupakan antara rahsia Perang Dingin yang paling dijaga dan pendedahkan mengenai rahsia ini dinyatakan dalam sebuah laporan sejarah CIA yang diperoleh dan didedahkan kepada orang awam secara bersama oleh pihak The Washington Post dan ZDF, sebuah syarikat penyiar awam Jerman.

Pendedahan ini dibuat setelah pihak The Washington Post telah mendapat akses ke akaun dalaman operasi perisikan CIA mengenai satu projek rahsia yang dikenali sebagai Projek Rubicon. Pendedahan itu skaligus mengesahkan khabar angin mengenai perkara ini yang telah tersebar selama bertahun-tahun lamanya.

Apa itu Projek Rubicon?

projek rubicon

Operasi ini yang pertama kali dikenali dengan nama kod "Thesaurus" dan kemudian "Rubicon" merupakan antara langkah paling "berani dan agresif" dalam sejarah CIA. 

Kerajaan-kerajaan asing membayar jutaan dolar untuk peralatan yang turut sama digunakan untuk mengintip mereka oleh AS dan Jerman Barat. Operasi ini dipercayai turut didalangi negara-negara lain yang menjadi sebahagian daripada apa yang dikenali sebagai pakatan "Five Eyes" iaitu UK, Australia, Kanada dan New Zealand.

Melalui projek ini, pihak CIA dan BND dipercayai menambahkan akses "backdoor" ke dalam produk enkripsi Crypto AG dan menggunakannya untuk tujuan pengumpulan maklumat selama bertahun-tahun lamanya daripada penggunanya. Menurut laporan CIA yang dipetik oleh Washington Post, Rubicon adalah "teknik rampasan kuasa terhebat abad ini."

Sejak tahun 1970 dan seterusnya, CIA dan sekutunya, Agensi Keselamatan Nasional (NSA - National Security Agency), mengawal hampir setiap aspek operasi Crypto AG dengan memimpin dengan rakan Jerman mereka ini untuk mengambil keputusan, merancang teknologinya, mensabotaj algoritma dan mengarahkan sasaran penjualannya.

Syarikat Crypto AG yang menjual teknologi ini didakwa dibeli secara rahsia oleh CIA dan BND pada tahun 1970, dengan BND menjual bahagiannya ke A.S. pada awal tahun 1990-an. Siasatan Washington Post menyimpulkan bahawa CIA mungkin dapat mengeksploitasi Crypt AG melalui akses "backdoor" yang dimiliki sehinggalah pada tahun 2018 ketika syarikat itu akhirnya dijual kepada pembeli swasta.

Maklumat-maklumat rahsia yang berjaya dicuri oleh Projek Rubicon

peranti crpyto

Sehinggalah syarikat tersebut dijual kepada pembeli luar, dipercayai kira-kira 100 buah negara telah membeli dan menggunakan teknologi yang dibangunkan. Antara negara yang menjadi pelanggan syarikat itu termasuk India, Iraq, Nigeria, Pakistan, Arab Saudi, Syria dan Vatican. 

Penggunaan teknologi yang mempunyai backdoor ini oleh Mesir membolehkan kerajaan Amerika Syarikat mengintip komunikasi kerajaan Mesir antaranya komunikasi antara Anwar Sadat dan Kaherah semasa pertemuan perjanjian damai Mesir-Israel di Camp David pada tahun 1978.

Begitu juga intipan terhadap Iran dan maklumat yang diperolehi ini kemudiannya dieksploitasi oleh A.S. semasa krisis tebusan pada tahun 1979. Kerajaan UK juga mendapat manfaat daripada perisikan A.S. yang diperoleh daripada intipan terhadap komunikasi Argentina semasa Perang Falklands.

Walau bagaimanapun, China dan Kesatuan Soviet yang merupakan seteru utama Amerika Syarikat bukanlah diantara pelanggan dan mangsa Projek Rubicon ini. Kecurigaan mereka yang kukuh mengenai hubungan syarikat Crypto AG dengan Barat melindungi mereka daripada menjadi mangsa intipan ini.

Agensi perisik Jerman, BND sedar risiko pendedahan yang terlalu besar mengenai operasi ini dan bertindak meninggalkan operasi ini pada awal 1990-an. Pihak CIA kemudian telah membeli saham agensi perisik Jerman ini dan meneruskan operasi pengintipannya ini hingga 2018 sebelum syarikat tersebut mengambil keputusan menjual kesemua asetnya.

Menyedari akan potensi pengintipan sebegini, maka tidak hairanlah kerajaan A.S. lantang menyekat penggunaan teknologi dan peralatan komunikasi yang dibangunkan oleh Huawei kerana mereka sendiri turut menggunakan kaedah yang serupa untuk mengintip musuh mereka satu ketika dahulu.

Kredit:

  1. FORBES
  2. The Washinton Post
  3. Reuters


Hakcipta iluminasi.com (2017)