Oleh pada 19 May 2017 kategori

Isu pertembungan antara aliran salafi/wahabbi dan aliran asyairah saya ikuti sejak sekolah rendah. Ketika itu sedang hangat debat Dr Maza dan Dr Abdul Aziz Hanafi. Dan kebetulan abang saya yang sulung ketika itu belajar di al-Azhar, beliau banyak berkongsi kepada saya tentang isu ini. 

acah acah mujahidin

Pada waktu yang sama, terdapat juga sahutan-sahutan debat antara Dr Maza dan Tuan Guru Sheikh Nuruddin al-Banjari al-Azhari(digelar al-Azhar al-Thani dan sangat ramai pelajar al-Azhar Malaysia mengambil ilmu dan bertalaqqi dengannya ketika Sheikh mengajar di mesir, termasuklah abang saya sendiri yang khatam pelbagai kitab hadis dengan Sheikh Nuruddin). Kedua-dua figura ini saling berbicara di kuliah masing-masing. Namun setahu saya tidak berlaku debat berdepan antara dua tokoh ini

Waktu berlalu, ketika 5 tahun di sekolah menengah, berlaku pelbagai pertembungan antara kedua aliran ini. Setiap tahun, ada sahaja tokoh baru yang pulang. Yang mana beraliran salafi akan seolah-olah mewakili alirannya, dan yang mana beraliran asyairah akan mewakili alirannya. Debat dan wacana terus berjalan dan diwarnai tokoh-tokoh baru dan muda.

Setiap bulan, pasti ada isu yang didebatkan. Makin panas debat di bulan tertentu yang ada peristiwa tertentu seperti nisfu sya'ban, israk mikraj, awal muharram, dan lain-lain peristiwa.

Itulah yang saya saksikan sejak 12 tahun yang lepas. Saya sangat semangat untuk tahu perkembangan isu-isu ini ketika muda dahulu. Asal berjumpa ustaz di mana-mana kuliah yang saya hadiri, saya akan tanyakan hal ini. Tentang facebook, saya gunakan sejak 7 tahun yang lepas, entah berapa puluh group debat agama saya sertai menggunakan akaun facebook yang berlainan. Namun disebabkan sudah bertahun-tahun, pada saya kita perlu ada disiplin serta imej kita sendiri.

Kita perlu bezakan antara mengetahui isu agama sekadar perbincangan kedai mamak dan perbualan kosong,

Dengan perbincangan agama yang memerlukan kita membaca banyak buku serta karya ulamak.

muslim show khilaf

Kita perlu berhenti mengkeji menghina tokoh yang kita tidak suka. Jika suka satu tokoh, maka ikutilah dia. Dan tidak perlu menghina tokoh lain yang tidak sealiran dengan kita. Mudah.

Kita(orang awam dan pelajar) perlu kurangkan berdebat dan banyakkan membaca. Biarkan isu-isu semasa dijawab para ilmuan yang senior dan tua.

Dalam banyak perkara, diam adalah lebih baik. Lebih selamat dan lebih menjaga hubungan. Maka marilah kita berdiam diri terlebih dahulu sebelum mencapai keyboard dan menulis serta "berperang" dengan idea/perkara/isu yang kita tidak setuju.

Ilmu agama adalah berat. Perlukan fokus, minat, bacaan yang sangat banyak, pembelajaran bersama guru serta adab yang tinggi. Ketahuilah.

Muda; adalah nikmat yang sangat indah dimiliki kita semua, maka hargai waktu muda dengan belajar dan membaca.

Sekadar itu dahulu catatan petang sepanjang 7 tahun di Facebook.

Muhammad Aqil Jamaluddin (Pelajar Jabatan Fiqh dan usul fiqh, UIAM)

Nota editor : Pertembungan ini telah berlaku sekian lama lebih berabad. Persoalannya, sampai bila?


tags : , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)