Oleh pada 10 Dec 2017 kategori

alasan mereka kenapa bunuh ibu bapa

Bukan setiap hari kita dengar kisah ibu bapa yang dibunuh dengan kejam oleh anak sendiri. Namun, kes-kes seumpama ini masih berlaku di seluruh dunia dan ia semestinya amat membimbangkan kerana menunjukkan betapa tertekannya kehidupan anak-anak ini. Orang yang normal tidak mungkin boleh berkelakuan begitu, mesti ada sesuatu yang menyebabkan mereka sanggup bertindak sedemikian sehingga mencabut nyawa kedua-dua orang tua.

Kami kongsikan 7 punca anak-anak mampu menyebabkan dan membiarkan ibu bapa mereka mati:

1. Bertahun menderita

stacey lannert bunuh ibu bapa dengan kejam

Stacey Lannert membunuh bapanya ketika dia berusia 18 tahun. Menurut Stacey, dia dan adiknya Christy telah bertahun-tahun menderita menjadi mangsa penderaan seksual. Akhirnya, dia tidak mampu bertahan lagi dan menembak mati bapanya ketika dia sedang terbaring di sofa akibat mabuk. Hakim menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup namun dia dibebaskan awal selepas peguamnya mengeluarkan satu petisyen. Dalam satu temuramah dengan ABC News selepas pembebasannya pada 2009, Stacey memberitahu yang sesiapa sahaja yang sanggup memegang dan merogol anak perempuannya sendiri adalah syaitan bertopengkan manusia. (Sumber)

2. Cinta terhalang

jasmine richardson bunuh ibu bapa dengan kejam

Jasmine Richardson hanya berusia 12 tahun ketika berkenalan dengan lelaki berusia 23 tahun yang mengaku dirinya seekor serigala jadian berusia 300 tahun. Kedua-duanya jatuh cinta, namun setelah ibu bapa Jasmine mendapat tahu, mereka dihalang daripada berjumpa. Jasmine kemudian bersekongkol dengan buah hatinya dan merancang untuk membunuh ibu bapanya dengan menikam tubuh mereka berkali-kali di rumah mereka di Alberta, Canada. Rancangan itu berjaya. Mereka juga membunuh adik lelaki Jasmine kerana berasa kasihan sekiranya meninggalkan dia sendirian tanpa ibu dan ayah. Selepas menjalani hukuman penjara selama 10 tahun iaitu hukuman maksimum bagi pesalah di bawah umur, Jasmine dibebaskan. (Sumber)

3. Masalah kewangan

roberto marinero bunuh ibu bapa dengan kejam

Ketika berusia 25 tahun, Roberto Martinez-Marinero telah memukul ibunya sampai mati menggunakan kayu besbol dan mencampakkan adik lelakinya berusia 4 tahun dari atas jambatan. Dia sanggup berbuat demikian selepas bergaduh dan terlalu geram dengan sang ibu yang mengalami masalah kewangan. Roberto juga telah 'membuang' adiknya yang masih lagi seorang bayi berusia 11 bulan di dalam tong sampah. Hakim menjatuhkan hukuman penjara dua kali seumur hidup atas kesalahan membunuh ibu dan adiknya. Teman wanita Roberto juga didapati telah bersubahat dalam kes ini. (Sumber)

4. Keputusan peperiksaan teruk

tyler blansit bunuh ibu bapa dengan kejam

Tyler Blansit merupakan seorang pelajar kolej di University of Alabama semasa bergaduh dengan ibunya tentang keputusan peperiksaan pada tahun 2015. Pergaduhan itu berakhir dengan kematian ibunya selepas dipukul menggunakan kayu besbol. Pada September 2017, Tyler mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun. (Sumber)

5. Terlalu mahukan kesempurnaan

esmie tseng anak bunuh ibu bapa dengan kejam

Ibu bapa Esmie Tseng adalah imigran dari China yang sentiasa meletakkan standard yang terlampau tinggi buat anaknya. Esmie sering mengemas kini laman blognya di mana dia menceritakan segala layanan buruk yang diterima daripada kedua-dua orang tuanya. Esmie pernah dikurung kerana mendapat markah 96% dalam peperiksaan selain diugut membuang piano kesayangan Esmie sekiranya tidak memenangi pertandingan peringkat daerah. Pada tahun 2005, Esmie yang ketika itu berusia 16 tahun tidak mampu bertahan lagi dan menikam ibunya yang berusia 55 tahun sehingga mati. Esmie telah dikenakan hukuman penjara selama 8 tahun. (Sumber)

6. Obses dengan keganasan

kipland kinkel anak bunuh ibu bapa dengan kejam

Kipland Kinkel sememangnya seorang yang amat sukakan bom dan bahan letupan sejak dari kecil. Bapanya membelikan dia senapang ketika masih berada di sekolah menengah dengan harapan dia akan berlatih hobinya dengan selamat. Namun, ketika berusia 15 tahun, Kipland telah menembak kedua-dua ibu bapanya. Dia pergi ke sekolah seperti biasa pada hari berikutnya dan membunuh 2 orang lagi pelajar serta mencederakan 25 yang lain. Hakim telah menjatuhkan hukuman penjara selama 112 tahun kepada Kipland tanpa parol. (Sumber)

7. Tidak rasional

lowell lee anderson anak bunuh ibu bapa dengan kejam

Walaupun pengakuan Lowell Lee Andrews yang mengatakan dirinya gila pada tahun 1958 ditolak, dia telah didiagnos menghidap skizofrenia dan tidak pernah berasa menyesal selepas membunuh kedua-dua ibu bapa serta adik perempuannya. Lowell ketika itu merupakan seorang pelajar kolej dan sedang bercuti Thanksgiving di rumah. Dia selesai membaca sebuah buku, sempat bercukur, memakai baju baru dan berjalan menuju ke ruang tamu untuk membunuh keluarganya. Dia membuat pengakuan kepada seorang paderi namun tidak menunjukkan penyesalan. Menurutnya, perbuatan tidak rasional itu disebabkan dia terlalu mahu mewarisi ladang keluarga. Pada tahun 1962, Lowell dihukum gantung sampai mati. (Sumber)

Kenapa anak sanggup membunuh ibu bapa?

Itu adalah antara punca-punca yang menyebabkan anak-anak sanggup membunuh ibu bapa sendiri. Di Malaysia, kebanyakan kes yang kita sering dengar anak membunuh ibu bapa adalah disebabkan berada di bawah pengaruh dadah (Sumber #1, #2). Namun, ada juga kes di mana anak sanggup mengelar leher ibu akibat enggan membelikan telefon pintar.

Kini, sudah terlalu ramai anak-anak yang menjadi tuan kepada ibu bapa. Tiada langsung rasa hormat dalam diri. Bukan saja boleh mengherdik dan bersikap kurang ajar dengan kedua-dua ibu bapa, bahkan sanggup mencabut nyawa mereka.

Di manakah silapnya? Adakah salah asuhan dan didikan dari kecil? Ataupun anak zaman kini dibesarkan dalam masyarakat yang terlalu mengikutkan perasaan? Silap sikit, dikecam. Silap sikit, ditikam.

Apa pendapat anda?


tags : , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)