Kredit foto: Beautifulnara

Pelawak Nabil Ahmad bakal membuka bengkel latihan lakonan dan pengacaraan bermula Disember ini.

Menurut Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, ilham itu tercetus atas niat ingin membangunkan kualiti bakat pelakon dan pengacara di Malaysia.

Lebih menarik, harga yang ditawarkan amat berbaloi serta mengikut kemampuan selebriti itu sendiri.

"Saya utamakan bakat. Kalau tak ada bakat tapi ada rupa, apa salahnya masuk bengkel untuk belajar berlakon atau mengacara.

"Saya ada satu perancangan untuk mengadakan bengkel lakonan dan pengacaraan pada hujung tahun ini dengan tagline 'This Is Where You Learn, There Is The Place You Act.

"Pendekatan ini bukan saja-saja, saya mahu meningkatkan kualiti pelakon dan pengacara di Malaysia. Daripada bergaduh dan mengutuk sana sini lebih baik kita berusaha," katanya memetik laporan portal Astro Gempak.

Nabil membuat kenyataan tersebut di Majlis Sidang Media Ceria-iStar yang berlangsung di Talent Lounge, Damansara baru-baru ini.

mahu kurangkan pelakon dan pengacara kayu nabil ambil tindakan 2

Kredit foto: Instagram Nabil

Sementara itu, pengacara Meletop itu berkata, para peserta bengkel mendapat kebebasan untuk menentukan sendiri guru lakonan atau pengacaraan pilihan mereka.

Sesi latihan itu dapat dijadikan persiapan beberapa minggu sebelum menghadapi tugasan dalam karier.

"Seseorang pelakon itu boleh datang ke bengkel saya dua atau tiga minggu sebelum mula penggambaran dan boleh memilih tenaga pengajar yang dikehendaki misalnya Sharifah Amani, Faizal Hussein, Khir Rahman dan Que Haidar untuk mendapatkan tunjuk ajar.

"Belajar dengan skrip sebelum masuk ke set penggambaran pastinya akan lebih bersedia.

"Sama juga bengkel pengacaraan, anda boleh memilih untuk dilatih oleh Sharifah Shahirah atau Raja Azura misalnya sebelum mengemudi sesebuah acara.

"Mana tahu, anda pun boleh berkongsi pentas dengan mereka juga selepas itu," tambahnya.

Bengkel tersebut terletak di lokasi Gymba Studio, Damansara Utama milik Nabil. Manakala yuran yang dikenakan amat munasabah iaitu dari serendah RM300.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)