Kredit foto: Instagram Enot

Aktres Enot menyatakan keinginannya untuk kembali berlakon selepas hampir lima tahun tidak mendapat tawaran secara konsisten.

Malah dia mengimpikan watak berbeza daripada kebiasaan, seperti wanita psiko.

Pemilik nama penuh Alliza Abdullah itu berharap tahun hadapan, 2018 akan memberi sinar baru kepada karier seninya.

"Saya bukan mahu meminta simpati tapi saya memang rindu hendak berlakon. Mana tahu dapat jadi heroin berganding dengan Zul Ariffin selepas ini?" katanya berjenaka.

Pun begitu, dia inginkan kelainan, dan tidak mahu hanya terikat dengan karakter komedi.

"Selama 16 tahun saya berkecimpung dalam arena seni, saya asyik ditawarkan watak komedi.

"Dalam hati, saya nak cuba watak lebih serius atau psiko. Saya mahu cabar diri ke tahap yang berbeza.

"Namun, kalau masih ada kepercayaan untuk saya memegang watak komedi, takkan pula ditolak rezeki," katanya yang sudah pulih sepenuhnya daripada penyakit barah usus tahap kedua yang juga menjadi penyebab kehilangannya sebelum ini.

Kemunculan kali terakhir beliau adalah menerusi drama Bibik Bibikku, siaran TV3 pada Jun tahun lalu.

Drama arahan Khalid Nadzri itu antara lain dilakonkan Ungku Ismail, Fasha Sandha, Julia Ziegler, Bienda, Amyza Aznan dan Dottie.

Terkini, Enot yang juga ibu tunggal kepada Andriana Balqis, 16, dan Ariana Qaseh Qistina, 10 menarik perhatian ramai kerana berjaya menurunkan berat badan, sekaligus menjadi petanda dirinya serius untuk kembali aktif dalam dunia hiburan.

Dedah aktres berusia 39 tahun ini, tekad mengurangkan berat badan itu turut dibantu produk pelangsingan badan jenama Lemonex sejak enam bulan lalu.

"Sepanjang tiada tawaran berlakon, alhamdulillah rezeki saya murah dengan menjual produk itu. Berat badan saya susur daripada 129 kilogram kepada 95 kilogram.

"Pada masa sama, saya menjaga pemakanan. Selepas jam 7 malam, saya elak makanan berat. Saya juga ada membuat bisnes kecil-kecilan sebagai perancang majlis sambutan hari jadi dan menjual sambal bilis petai hijau," katanya yang juga duta jenama Lemonex itu.

Sumber berita: BH Online 




Hakcipta iluminasi.com (2017)