Kredit foto: Instagram Zul Ariffin & Instagram Zahirah Macwilson

Aktor Zul Ariffin mengaku hubungannya dengan pelakon Duda Pujaan Dara, Zahirah Macwilson, berakhir sejak sebulan lalu.

Kata Zul, 31, sejak tahun lalu, umum sendiri dapat melihat pasang surut yang menguji kekuatan cinta mereka.

"Sudah putus. Gelombang hubungan kami sudah diketahui ramai sejak tahun lalu. Diakui, hubungan kami ada masanya putus dan bersambung semula dalam tempoh berkenaan.

"Sebab itu, saya hanya memberi 'samar bayangan' jika ada yang bertanya.

"Hari ini, saya mahu menegaskan, perhubungan itu sudah berakhir dan tidak mungkin bertaut kembali. Jika masih meneruskan hubungan, bermakna saya menganiayai diri sendiri.

"Tiada apa yang mahu disembunyikan lagi," dedahnya kepada BH Online dalam temubual di Bukit Fraser, ketika aktor itu menjalani penggambaran filem Misteri Dilaila arahan Syafiq Yusof.

Mengimbas kontroversi hujung tahun lalu, Zahirah pernah dikaitkan sebagai orang ketiga dalam perhubungan cinta pasangan pelakon, Kamal Adli dan Emma Maembong.

Tidak hanya itu, bapa Zahirah iaitu aktor Zainol Macwilson juga nampaknya tidak merestui percintaan anaknya dengan bintang Tombiruo dan J Revolusi itu.

Begitupun, dapat dilihat betapa Zul mencuba sebaik mungkin mempertahankan hubungan cinta yang mencecah usia tiga tahun itu.

Dalam pada itu, aktor sasa ini mengaku, dia sedikitpun tidak berasa kecewa dengan apa yang ditakdirkan terhadap perhubungan mereka.

zul ariffin menyampah zahirah macwilson swafoto berdekatan arwah ibunya 2

Kredit foto: Instagram Zul Ariffin

"Kecewa, tidak...! Kalau melihat orang 'berselfie' dengan gembira kira-kira 20 meter dari jenazah ibu tanpa rasa sensitif, inikah orang yang layak dibuat pasangan hidup?

"Itulah perasaan saya ketika melihat Zahirah seronok 'berselfie' bersama seorang teman berdekatan jenazah arwah ibu saya ketika dalam masjid.

"Ada beberapa saksi melihatnya, termasuk saya yang ketika itu mahu membuka penutup muka untuk mencium arwah ibu buat kali terakhir.

"Menyampah memandangnya, tetapi saya masih meneruskan hubungan. Saya tidak kejam dan tetap memaafkannya," katanya yang sebelum ini kehilangan ibu, Robiah Nasir pada 5 Disember lalu.

Beliau yang cukup dikenali menerusi drama fenomena, Rindu Awak 200% dan Titian Cinta itu menambah, dia akur keretakan hubungan yang sudah bertemu titik noktahnya.

"Saya tentunya mengharapkan ketenangan dan kebahagiaan dalam membina hubungan cinta.

"Jika terlalu banyak mengganggu kerja dan menjejaskan kehidupan peribadi, tiada guna untuk terus mempertahankannya. Tiada apa yang perlu saya kenangkan lagi," akhirinya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)