Siapa di sini rasa memandu kereta di negara kita, adalah satu pengalaman yang manis boleh angkat tangan tak? Kami andaikan ada lah 1 daripada 10 orang di luar sana yang benar-benar mengangkat tangan.

Selebihnya terpaksa mengakui walaupun pahit; walaupun kita dah cuba jadi pemandu yang berhemah sekalipun, pasti akan ada situasi atau pengalaman buruk yang membuatkan kita menyumpah-nyumpah atas jalan raya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tetapi itu tak menghalang kita daripada terus berkempen untuk menggalakkan pemandu lain mengamalkan sikap tak pentingkan diri sendiri ketika memandu. Berikut adalah lima tabiat sangat mudah, ringkas dan senang nak amalkan; yang kami yakin mampu membantu sikap kita di atas jalan.

1. Amalkan tunggu 2 saat selepas lampu isyarat bertukar hijau

lampu merah tunggu sebelum jalan

Pasti ramai yang mengeluh dengan cadangan ini bukan? "Kalau dah hijau tu, jalan lah cepat!" fikir mereka.

Tetapi sudah ada banyak kemalangan yang berlaku kepada mangsa, akibat daripada tindakan segelintir pemandu yang cuba mengejar lampu isyarat yang sedang bertukar dari kuning ke merah - sehingga mengakibatkan kemalangan berlaku kepada kenderaan yang sepatutnya sudah berjalan.

Lagilah dalam era di mana jalan raya kita dipenuhi penghantar barangan dan makanan yang terkejar masa.

Tak salah untuk kita amalkan sikap sabar, tunggu sebentar walaupun lampu isyarat kita dah bertukar hijau. Beri waktu kepada pemandu paling depan meneliti adakah laluan sudah benar-benar selamat.

Tak perlu rasanya untuk kita terus menekan hon mengarahkan kereta depan cepat sedetik selepas lampu hijau muncul. Anda marah-marah, orang depan anda marah-marah. Semua orang jadi tertekan.

2. Tolonglah guna lampu isyarat belok

lampu belok kuning tabiat selamatkan nyawa

Ini benda asas yang paling penting tapi sayangnya tak ramai yang mampu melakukannya.

Sukar untuk kami memperjelaskan kenapa situasi ini terus berlaku, sehinggakan kadangkala kami rasa adalah lebih baik lampu isyarat ke kiri dan ke kanan ini dijual sebagai aksesori tambahan kerana pemasangannya tidak diaplikasikan.

Bagaimanapun lain pula kisahnya bagi sesetengah pemandu yang menggunakan lampu isyarat belok, bila dia merasakan dah bagi isyarat tu tandanya dia dah ada hak untuk terus membelok. Tidak.

Lampu isyarat belok bukanlah tanda anda perlu diberikan ruang untuk membelok, sebaliknya lampu itu menandakan anda memohon agar diberikan ruang untuk melakukan pusingan.

Bagi pemandu lain yang dah nampak orang depan bagi signal, apa salahnya perlahankan sikit kenderaan anda dan bagi dia masuk? Penulis selalu sangat hadapi bila kita bagi signal, time-time tu la kereta di belakang nak memecut.

Mungkin itu lah agaknya punca ramai antara kita malas nak bagi lampu isyarat belok?

3. Latih brek mengejut

latih brek kecemasan kereta

Penulis dulu sewaktu mengambil lesen, hanya lesen motorsikal memerlukan kita melakukan brek kecemasan. Kereta tak ada.

Ini menyebabkan rata-rata pemandu kereta yang ada dan memandu di jalan raya setiap hari belum pernah melakukan brek kecemasan. Situasi ini agak malang, kerana brek mengejut ini sebenarnya adalah satu kemahiran yang perlu kita biasakan.

Dah biasa dah kita melihat bagaimana kereta yang dihentikan secara paksa hilang kawalan seterusnya terbabas akibat kawalan stereng yang huru-hara. Semua ini berpunca kerana kita pertama kali perlu melakukan brek kecemasan, semasa kecemasan sebenar.

Kita tidak tahu bagaimana reaksi semulajadi kenderaan kita semasa situasi itu berlaku. Nasihat penulis, cuba cari kawasan lapang bertar yang selamat - latih diri anda melakukan brek kecemasan. Tak perlu kelajuan tinggi pun.

Fahamkan bagaimana respon kenderaan anda semasa situasi itu. Adakah refleks anda lebih berat ke kiri atau ke kanan. Berapa pantas kaki anda boleh menakan pedal brek. Sedalam mana kelegaan pedal brek yang perlu diatasi untuk pemberhentian itu layak dikatakan brek kecemasan.

4. Mudahkan orang lain dengan memberikan ruang

cucuk kereta depan ekori rapat

Dalam era PKP, kita dah dibiasakan dengan penjarakan fizikal. Rasa lega juga apabila ketika perlu beratur, tidak ada orang yang berdiri rapat-rapat.

Situasi tersebut boleh juga diaplikasikan kepada pemanduan di atas jalan raya. Amalkan memberi ruang kepada pemandu lain, khasnya pemandu di depan kita.

Yang kita nak rapat sangat dengan dia sampai dia boleh nampak lubang hidung kita di cermin pandang belakang dia, entahlah apa sebabnya. Kekalkan jarak selamat ketika memandu dalam kelajuan tinggi melebihi 70km/j.

Beri juga ruang apabila ada orang lain memberi isyarat menukar lorong. Mudahkan orang lain menyusur masuk ke jalan utama dari persimpangan. Fahamkan betul-betul siapa yang layak mendapat hak 'berjalan dulu' atau the right of way di atas jalan raya.

5. Terima hakikat pemandu teruk biasanya kekal memandu teruk

sikap pemandu sukar diubah kerana mentaliti

Tidak ramai yang sedar memandu kenderaan adalah satu kemahiran yang perlu diasah, sama seperti bermain instrumen, melukis, memasak atau bermacam lagi kemahiran yang ada.

Seorang jurukira di kedai pun perlu belajar mengendalikan mesin kira. Kadangkala jurukira sendiri perlu memohon bantuan bagi menyelesaikan masalah yang timbul. Untuk setiap kemahiran, latihan adalah jalan terbaik bagi mempertingkatkan kemahiran kita.

Begitu juga memandu. Dengan memandu setiap hari, kita sebenarnya melatih diri kita. Bezanya, selepas tamat kursus memandu, latihan kita biasanya berlaku seorang diri. Lebih penting untuk difahami, semasa kita 'berlatih' - nyawa kita jadi taruhan.

Seorang pemandu dianggarkan sudah mempunyai kemahiran yang cukup untuk memandu selepas telah memandu di antara 3 ke 5 tahun. Itupun bergantung kepada kekerapan beliau memandu. Ada yang sebulan sekali pegang stereng pun ada, masuk jalan raya terkedek-kedek nak ikut aliran trafik.

Apa yang penulis sampaikan; kita tidak tahu di atas jalan raya siapa yang memandu dengan berkemahiran dan siapa yang tidak mahir. Lebih mudah untuk kita andaikan semua pemandu di sekeliling kita tidak mahir.

Jadi bila kita anggap semua di sekeliling kita bawa dengan cara berbahaya, secara automatik kita sendiri rasa takut dan akan amalkan pemanduan secara berjaga-jaga.




Hakcipta iluminasi.com (2017)